Budaya baru provokasi demonstrasi
Oleh MOHAMAD ABDULLAH
PENULIS ialah Timbalan Pendaftar, Pejabat Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia
Laporan media tentang tiga letupan yang berlaku selepas mahkamah mengumumkan keputusan kes berprofil tinggi di Kompleks Mahkamah, Jalan Duta Kuala Lumpur sangatlah meresahkan kita terutamanya bagi mereka yang menyintai kedamaian.
Ini adalah sesuatu yang amat menakutkan dan jika dibiarkan akan menjadi satu budaya baru seperti yang sering kita saksikan dalam filem-filem Bollywood dan Hollywood. Tentunya tidak adil jika kita menuding jari kepada pihak berkuasa sedangkan ia adalah tanggungjawab semua pihak yang berkaitan.
Sebagai rakyat marhaen, kejadian seperti ini merupakan satu amaran penting agar semua pihak menghormati undang-undang dan menjaga kesopanan dan kesusilaan dalam apa jua tindakan yang dilakukan.
Tindakan melakukan provokasi, membuat persediaan untuk memberikan tindak balas terhadap keputusan mahkamah sebelum hakim membuat keputusan dan menjadikan isu peribadi seseorang sebagai isu yang melibatkan orang awam merupakan tindakan yang sangat tidak wajar.
Bukanlah tujuan untuk menuding jari atau menyalahkan sesiapa, tetapi siapa jua yang melakukannya atau memberi idea dan menggerakkannya harus bertanggungjawab dan sedar akibatnya kepada masyarakat. Mereka yang terlibat perlu menyedari peranannya dalam mengekalkan kesejahteraan dan kesentosaan yang ada.
Segenap rakyat yang mencintai keamanan perlu menolak budaya baru ini yang boleh menimbulkan huru-hara dan kesusahan kepada semua orang dan boleh pula diambil kesempatan oleh mereka yang mempunyai kepentingan termasuk dalam memburuk-burukkan negara. Ia sangat menakutkan dan seharusnya mendapat perhatian suara majoriti rakyat. Adakah kita merestui matlamat yang menghalalkan cara dalam mencapai cita-cita besar dan begitu peribadi kepada seseorang?
Nampaknya kita semakin tidak peduli dengan orang lain yang tidak berdosa dan tidak kena-mengena dalam isu peribadi yang dihadapi oleh orang tertentu termasuk dalam kalangan ahli politik. Biarkanlah mahkamah dan undang-undang menentukan keadilan dengan sewajarnya. Biarkanlah sesuatu masalah diselesaikan dengan cara dan mengikut saluran yang betul.
Janganlah menghantar "isyarat" yang salah kepada generasi muda dan anak-anak kita bahawa inilah cara kita menyelesaikan masalah atau menyatakan sokongan kepada seseorang tokoh yang berhadapan dengan perbicaraan melalui keganasan yang menakutkan.
Kita perlu mula menanamkan budaya perdamaian dengan cara yang betul agar keamanan dan kesejahteraan masyarakat akan sentiasa terpelihara.
Kita sudah cukup banyak masalah yang mengancam kesejahteraan dan kebahagiaan rakyat. Kes-kes jenayah yang berlaku di sekeliling kita walau pun berjaya diselesaikan dengan pantas oleh pihak berkuasa, namun saban hari kita berhadapan dengan kes-kes baru yang dilakukan oleh mereka yang mengambil jalan mudah untuk mencari kekayaan mahu pun terikut dengan runtunan nafsu yang mendorong perlakuan hal-hal yang di luar perikemanusiaan.
Walau pun sebelum ini ada kes-kes mahkamah yang berprofil tinggi yang melibatkan ahli politik mahu pun tokoh-tokoh masyarakat, namun kes letupan di khalayak ramai seperti ini adalah di luar pemikiran dan bayangan kita. Jika ini menjadi satu lagi budaya baru, maka ia sangatlah membimbangkan kita rakyat biasa.
Janganlah perjudikan nasib dan masa depan orang ramai. Bersikap matanglah dalam apa jua yang dilakukan. Kita selalu menuding jari dan memberikan pelbagai alasan untuk merasionalkan tindakan yang dibuat. Tetapi masalahnya ialah kesan yang ditinggalkan dan ketakutan yang timbul dalam kalangan mereka yang tiada kena mengena dalam isu yang dibangkitkan amat tidak wajar.
Rakyat dan orang ramai juga harus membuat penilaian yang munasabah bila berhadapan dengan isu yang berkaitan dengan keselamatan orang ramai. Letaklah kepentingan dan kemashlahatan orang ramai sebagai keutamaan yang tertinggi dalam apa jua yang dilakukan. Inilah asas utama dalam kepercayaan agama jika seseorang itu ikhlas dalam perjuangannya. Mengorbankan orang yang tidak berdosa amatlah tidak adil dan wajar dalam keadaan apa sekali pun.
Sebagai orang yang berilmu serta sayangkan negara dan bangsanya, maka wajarlah rakyat dan orang ramai mengutuk keras sebarang percubaan seperti ini. Ia tidak wajar menjadi budaya baru yang mengancam kesejahteraan masyarakat.
Malah, para pengikut dan mereka yang berada di belakang kejadian-kejadian ini juga perlu memastikan tindakan-tindakan yang dilakukan tidak akan menggugat kedamaian dan keamanan. Ini adalah kunci kebahagiaan masyarakat dan orang ramai. Lakukanlah apa sahaja mengikut proses yang diperakui oleh undang-undang dan sistem demokrasi yang diterima pakai selama ini.
Yang tidak kurang pentingnya juga, janganlah pengaruhi anak-anak muda kita untuk menerima budaya keganasan dan kemarahan yang boleh mengancam masa depan negara dan nantinya mengheret mereka dalam pelbagai aktiviti termasuk demonstrasi.
Hentilah kegiatan-kegiatan yang menakutkan dan meresahkan ini. Kedamaian dan kesejahteraan negara terletak di tangan kita, apatah lagi dalam kalangan para marhaen yang juga mempunyai hak untuk berkongsi meneruskan kehidupan, mencari rezeki dan membangunkan kebahagiaan di tanah tumpah darahnya ini.
No comments:
Post a Comment