Saturday, May 31, 2014

hukum mencela

Hukum mencela orang lain



AJARAN Islam tidak membenarkan umatnya merendahkan kaum atau sesuatu puak.


SOALAN: Assalamualaikum Ustaz. Sejak akhir-akhir ini saya lihat ramai individu dan segelintir pihak yang gemar memperlekehkan orang lain. Malah, mereka tanpa rasa bersalah turut mencela para ulama yang muktabar secara terbuka di media massa dan sosial. Apa pandangan ustaz mengenai sikap sebegini?
JAWAPAN: Waalaikumsalam. Ketahuilah bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Mencela seorang Muslim adalah kefasikan dan membunuhnya adalah kekufuran."(Hadis Riwayat Muslim).
Sikap suka mencela orang lain seperti mana yang terkandung di dalam hadis adalah jelas menunjukkan bahawa ia sangat dilarang dalam Islam kerana ia menggambarkan sikap keji yang boleh memecah-belahkan masyarakat.
Firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 58 yang bermaksud: "Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata."
Di dalam ayat ini, Allah Taala menggambarkan bahawa orang yang menyakiti mukmin lain tidak kira dengan lidah atau tangannya, sebenarnya telah memikul satu dosa yang sangat besar. Islam melarang umatnya memburuk-burukkan orang lain kerana ia sikap yang akan mengundang perpecahan dalam masyarakat.
Perpecahan
Percayalah. Kalau kita mengkaji sejarah lalu, kita akan dapati perpecahan dalam kalangan umat Islam bermula dengan lidah iaitu dari sikap suka mencela dan mengeji golongan lain.
Pandangan dan pendirian Islam dalam menjaga maruah, kemuliaan dan kehormatan diri seseorang amat tegas.
Islam tidak membenarkan seseorang Muslim menyakiti perasaan saudara sesama muslim dengan perkataan menghina, sama ada di hadapan atau di belakangnya.
Dalam riwayat Imam Muslim ada menyebut: "Sesungguhnya ada seorang bertanya Nabi SAW, orang Islam manakah yang lebih baik?
"Maka Baginda SAW menjawab, orang-orang Islam yang terpelihara daripada gangguan lidah dan tangannya."
Pada hari ini kita melihat suasana umat Islam yang semakin runcing dengan perpecahan. Lebih dahsyat, masing-masing ingin mempertahankan pendirian mereka.
Lalu, terus mencela golongan yang tidak sependapat dengannya. Seharusnya kita kembali mengingati firman Allah dalam surah al-Hujuraat ayat 11:
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) boleh jadi puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban sesetengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk.
(Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim."
Kesimpulannya, saya menyeru umat Islam agar berdiri di atas landasan Islam yang teguh, di samping memperkukuhkan akhlak yang terpuji seperti mana akhlak Baginda Rasulullah SAW.
Mencela orang lain sebenarnya adalah mencela diri sendiri. Hormati dan jagalah maruah saudaramu. Seandainya Rasulullah SAW masih hidup, pasti Baginda akan merasa tersangat kasihan melihat keadaan umatnya pada zaman ini.

No comments:

Post a Comment