Bekas homeguard kaum Cina kecam Mat Sabu
BERA 8 Sept. - Beberapa bekas pengawal kampung atau homeguard kaum Cina di daerah ini mengecam Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu kerana menjulang komunis dalam tragedi Bukit Kepong.
Tan Kim Hock, 81, berkata, sedangkan komunis amat kejam kerana mereka tiada istilah bertolak ansur dan sesiapa yang menentang akan disembelih atau terus ditembak tanpa sebarang perbicaraan.
"Jangan mimpilah orang Melayu nak memerintah negara seperti sekarang jika komunis berkuasa. Sebab itu hanya mereka yang gila dan hilang akal sahaja yang sokong komunis.
''Sebab itu saya berharap pemimpin pembangkang jangan bermain politik dengan menjual bangsa dan negara. Jagalah negara ini, sokonglah kerajaan yang ada, banyak faedah sudah kita dapat setelah negara merdeka 54 tahun lalu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Seorang lagi bekas homeguard, Mohamed Tan Abdullah, 82, berkata, sepatutnya Mat Sabu perlu sedar yang anggota keselamatan termasuk Homeguard mempertaruhkan segala-galanya termasuk nyawa demi keamanan negara ini.
Mohamed yang memeluk Islam selepas negara mencapai kemerdekaan berkata, dia berjaya membunuh 15 komunis semasa menyertai beberapa operasi dan bertempur dengan komunis di sekitar Kemayan, Triang dan Mengkarak.
''Kenyataan Mat Sabu yang menganggap komunis sebagai wira membuktikan dia bukan sahaja biadab dan buta sejarah tetapi sudah hilang akal," katanya.
Mohamed yang kini mengutip tin minuman dan besi buruk bagi membesarkan empat orang anaknya yang masih bersekolah hasil perkahwinan keduanya berkata, komunis biasanya menyerang pada waktu malam dan subuh.
Tambahnya, kebiasaannya mereka menyerang antara 15 minit atau setengah jam sahaja bertujuan menakutkan polis dan orang awam ketika itu.
"Setiap kali berlaku serangan, polis dan anggota homeguard akan memberikan tentangan hebat sehingga memaksa komunis berundur," katanya dengan penuh semangat.
Seorang lagi bekas bekas polis bantuan, Koe Ten, 79, berkata, mereka yang tidak pernah bertempur dengan komunis tidak tahu azab dan seksanya ketika itu.
"Kami bukan sahaja bermandikan darah malah tidak tidur siang dan malam memburu pengganas.
"Walaupun bilangan komunis ramai, kami memberi tentangan hebat dan berjaya membunuh beberapa komunis yang sangat kejam," katanya.
No comments:
Post a Comment