Retrospektif Pemikiran Didi Miya dan Anak Muda Melayu
Saya terbaca satu komentar seorang gadis Melayu menggunakan akaun Facebook Didi Maya mengagung-agungkan perbuatan biadap David Teoh dalam majlis bersama Perdana Menteri.
Karangan beliau yang huru-hara tatabahasa tersebut antara lain membawa maksud "padan muka Najib Razak yang menyusahkan rakyat."
Saya berasa kasihan kerana anak muda Melayu seawal usia 20-an sudah mendapat gambaran yang salah terhadap cabaran kehidupan dalam dunia. Saya fikir pemikiran beliau ini mewakili sebahagian besar anak muda Melayu yang benci Perdana Menteri Najib Razak dan Kerajaan.
Beliau marah dan benci Najib Razak kerana percaya Perdana Menteri merupakan punca kesengsaraan hidup beliau hari ini.
Saya meneliti garis masa FB beliau, melihat gaya hidup beliau, saya sangat terharu bahawa makna kesengsaraan di Malaysia sudah ditafsirkan dalam keadaan sangat berbeza dan bertentangan dengan makna sebenar.
Jika di Afrika kesengsaraan bermaksud tidak dapat makan berhari-hari, terpaksa mengemis, pakaian tidak bertukar, mandi pun mungkin sebulan sekali. Di Amerika Syarikat kesengsaraan sering kali dikaitkan dengan tinggal di dalam kotak, di bawah jambatan, malah di dalam terowong tikus tinggalan bangunan lama.
Namun, di Malaysia, kesengsaraan bagi anak muda Melayu ialah apabila mereka punya masa berjam-jam bermain facebook, makan di restoran, bertukar pakaian setiap hari, tetapi kekurangan wang untuk hidup seperti dalam drama Melayu.
Hasil indoktrinasi pembangkang, sebahagian anak muda Melayu percaya kesengsaraan hidup mereka kerana Perdana Menteri, Mohd Najib Razak.
Pesanan saya buat Diya Miya dan adik-adik lain:
"Anda tukarlah Mohd Najib Razak dengan siapa pun, jika anda malas, tidak merebut peluang dan lebih banyak merengek di Facebook; berbanding membanting tulang empat kerat dan memerah akal anda, lupa ajaran sebenar agama Islam; selagi itulah anda akan menjadi manusia yang gagal dan sengsara fizikal atau mental."
Sedarlah adik-adik,
"Tiada kerajaan di dunia boleh memuaskan hawa nafsu duniawi anda kecuali anda sendiri berusaha keras untuk menjadi kaya raya."
Perdana Menteri hanya gagal jika negara ini tiada peluang pekerjaan dan perniagaan untuk direbut. Tiada peluang pendidikan tinggi untuk rakyat biasa. Tiada bantuan kesihatan apabila anda sakit dan memerlukan rawatan.
Tapi semua itu ada di negara ini dan jauh lebih baik dari kebanyakan negara dan pentadbiran lalu. Justeru jika anda sengsara, ia adalah pilihan anda untuk menjadi sengsara, bukan salah Perdana Menteri mahu pun ibu bapa anda.
Belajar menjadi manusia yang bertanggungjawab ke atas diri sendiri, bukan menyalahkan orang lain atas kemalasan anda.
No comments:
Post a Comment