Monday, April 13, 2015

taat pada pemimpin


MENENTANG PUN JANGAN SAMPAI MENGGADAIKAN AKIDAH!!!



Daripada ‘Auf bin Malik al-Asyja’ie r.a kata beliau: Rasulullah s.a.w bersabda:

“Sebaik-baik kamu dan sebaik-baik pemerintah kamu adalah mereka yang kamu cintai dan mereka mencintai kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu, sedangkan seburuk-buruk kalangan kamu dan seburuk-buruk pemimpin kamu adalah orang yang kamu benci akannya dan dia benci pula akan kamu, kamu mengutuk mereka dan mereka juga mengutuk kamu”.

Ditanya kepada baginda: “Apakah tidak boleh sahaja kami mencabut mereka (menggulingkan mereka)?” Maka Jawab baginda: “Tidak boleh selama mana mereka mendirikan solat yang lima, barangsiapa yang dipimpin oleh seorang pemimpin kemudian dia melihat pemimpinnya itu melakukan maksiat kepada ALLAH maka hendaklah dia membenci maksiat kepada ALLAH yang dilakukan itu tetapi jangan pula dia mencabut tangan daripada ketaatan”. [Muslim, Ahmad, Ibn Hibban dll dan lafaz adalah untuk Ibn Hibban].

Daripada Ummu Salamah r.ha Isteri Rasulullah s.a.w bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Akan ada nanti para pemerintah yang mana ada tindakan mereka kamu setujui dan ada yang kamu ingkari, maka barangsiapa yang dapat mengenal pasti (antara yang baik dan buruk perbuatan mereka) maka dia akan terlepas (dari maksiat), barangsiapa yang mengingkarinya akan selamat, tetapi mereka yang reda dan mengikut (maka dia binasa)”. Kata Sahabat: Apakah tidak wajar kami memerangi mereka? Jawab baginda s.a.w: “Tidak boleh, selama mereka mendirikan solat”. [Muslim, Abu Daud, & al-Tarmizi].

Ketahui juga wahai para Hamba ALLAH, Rasulullah s.a.w telah meletakkan taat kepada pemerintah itu sebaris dengan taat kepadanya dan taat kepada baginda adalah Taat kepada ALLAH sebagaimana sabda baginda s.a.w:


“Barangsiapa yang mentaati aku maka dia telah mentaati ALLAH, dan barangsiapa yang menderhakai aku maka dia menderhakai ALLAH, barangsiapa yang mentaati pemerintah maka dia telah mentaati aku dan barangsiapa yang menderhaka kepada pemerintah maka dia telah menderhaka kepada aku” [Muslim].

Ini sudah jelas kepada kita bahawa memberontak kepada pemimpin yang dilarang oleh Rasulullah s.a.w dengan apa cara sekalipun sama ada dengan perbuatan mahupun perkataan sebagaimana yang dijelaskan para Ulama, mencacatkan akidah dan Iman kita terhadap Rasulullah s.a.w dan Mutabaah kita terhadap Sunnah baginda.

No comments:

Post a Comment