- Zulhairi Fetani ALTANTUYA: MALAYSIA DARUL FITNAH
Setelah membaca pendedahan Razak Baginda melalui temuramah yang disiarkan portal Malaysian Insider, saya mengucap panjang sambil menggelengkan kepala. Malaysia walaupun negara Islam dan dihuni majoriti rakyat beragama Islam, tetapi negara ini lebih layak dipanggil sebagai MALAYSIA DARUL FITNAH.
Pengfitnah itu tidak ramai, tetapi yang merisaukan saya ialah TERLALU RAMAI rakyat Malaysia yang percaya kepada fitnah.
Sukar untuk digambarkan kisah pembunuhan seorang wanita Mongolia ini sepatutnya hanya berkisar ugutan peribadi antara beliau dan Razak Baginda. Namun ia telah dirampas dan dipergunakan oleh pihak berkepentingan dalam politik negara dengan cara memasukkan kisah rekaan yang tidak langsung masuk akal.
Sangat menghairankan bagaimana kisah sejelek itu dengan perincian jalan cerita persis mitos Hikayat Puteri Gunung Ledang boleh dengan mudahnya diterima si tolol dan si bahlol.
Tidak perlu mengulas panjang, bayangkan kewujudan watak Altantuya kononnya seorang jurualihbahasa kepada Kementerian Pertahanan dalam urusan pembelian kapal selam, padahal apa perlunya seorang wanita dari Mongolia dicari untuk urusan berkaitan bahasa perancis. Altantuya sendiri tidak pernah sampai ke perancis dan tidak tahu berbahasa perancis. Malah orang perancis kini sangat moden dan fasih berbahasa inggeris.
Jika kisah ini pun terbukti fitnah maka adalah lebih baik masyarakat tidak lagi mempedulikan langsung pelbagai teori dan persepsi liar lain. Jika benar tidak mahu ada orang teraniya maka datangkanlah bukti mana tahu sumbangan itu dapat membebaskan mereka. Bukan sekadar menabur kebencian yang hanya menguntungkan pihak yang berkepentingan politik. Jika tidak ada bukti, berpegang sajalah kepada proses pembuktian oleh pakar yang telus dimahkamah.
Rekaan kisah sebegini ada sutradaranya. Jalan ceritanya mestilah memenuhi kehendak dan matlamatnya yang saya rasa tidak sukar untuk ditelek apakah yang dihajatkannya. Namun yang sebenarnya diuji dan ditelanjangkan ialah RAKYAT MALAYSIA. Mereka dengan semberono terlalu mudah percaya dengan fitnah. Mungkin ia sekadar satira dan bahan bual kosong sambil memuaskan nafsu politik. Namun hendaklah kita selalu diperingatkan agar tidak lekang dari terus berdoa dijauhkan dari bahaya fitnah. Kerana apabila telah terbiasa dengan fitnah kemungkinan besar kita akan terhindar dari hidayah dan petunjukNya.
Bahaya yang dimaksudkan bukanlah bahaya dianiaya atau dizalimi ketika hidup di dunia ini. Ia adalah perhitungan kita atas sekecil-kecil amalan yang tetap akan dipertanggungjawabkan di alam sana.
Kecil atau besar kesalahan yang dilakukan bukan bergantung kepada apa yang kita sangkakan. Fitnah adalah semudah-mudah dosa untuk dikongsi pada zaman serba moden ini dan ia juga adalah sebesar-besar kesengsaraan yang sama hukumannya dengan dosa mereka yang MEMBUNUH.
No comments:
Post a Comment