Wednesday, February 5, 2014

lelaki malas

Lelaki malas punca wanita maju di Kelantan


SAYA teruja membaca laporan akhbar Utusan Malaysia baru-baru ini mengenai sikap suami yang dikatakan sama taraf dengan kedudukan 'ayam jantan' kerana hanya mengharap kepada kudrat isteri dalam urusan rumah tangga termasuklah dalam beban pencarian nafkah keluarga.
Kenyataan itu dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau Negeri Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud semasa menyampaikan kuliah pagi Jumaat di Kota Bharu.
Beliau menganggap semakin ramai lelaki kebelakangan ini, khususnya di Kelantan pemalas dan tidak mengambil peduli keperluan isteri dan anak-anak, sangat perlu diambil perhatian.
Malah, beliau dilaporkan telah membandingkan golongan lelaki seperti ini seperti 'bapa ayam' yang punya banyak 'ibu ayam' tetapi tidak bertanggungjawab melindungi dan mencari makanan anak-anak ayam, sebaliknya tugas itu ditanggung sepenuhnya oleh 'ibu ayam'.
Sungguh tepat perbandingan yang diberi Exco Kerajaan Pas itu kerana inilah realiti yang berlaku sejak dahulu lagi sehingga kadang-kadang ia mungkin disalah tafsir oleh 'orang luar' sebagai satu budaya di Kelantan.
Sebagai seorang wanita, saya menghargai usaha Mohd. Nassurudin membela wanita melalui bidasan tajam kepada kaum lelaki dan ia sebenarnya satu kesinambungan kepada seorang lagi pemimpin 'feminis'.
Sebelum ini, bekas Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, seringkali melempar kritikan nyilu kepada lelaki Kelantan yang tidak bertanggungjawab.
Malah Nik Abdul Aziz dalam satu ucapannya pernah melahirkan rasa malu apabila diberitahu bahawa ibu bapa dari luar negeri ini biasanya mengelak bermenantukan orang Kelantan kerana bimbang anak gadis mereka lunyai dibuli suami dan keluarga mertua.
Saya percaya, setiap daripada kita pasti mengenali secara dekat paling tidak pun seorang lelaki yang 'malas' mencari sumber pendapatan untuk keluarga, tanpa sebab yang kukuh jika mengetahui isterinya berkemampuan meskipun terpaksa berhempas pulas dengan kudrat wanita yang lemah.
Memetik kata Mohd. Nassuruddin; "Semasa musim hujan kita boleh lihat 'ibu ayam' bersusah payah melindungi anak daripada kesejukan dan banjir, tetapi mana pula si bapa ayam. Dia (suami) seronok main dam aji di kedai kopi".
Mungkin kerana faktor 'pemalas' ini jugalah menjadi sebab wanita Kelantan begitu gah dalam dunia perniagaan dan mendominasi pasar-pasar yang ada di negeri ini termasuk pasar ikon, Pasar Siti Khadijah dan melakukan pelbagai pekerjaan dalam satu masa kerana mereka tahu tidak boleh bergantung kepada suami.
Lebih malang, bukan sedikit golongan lelaki negeri ini yang sudah bergelar suami dan bapa terlibat dalam kegiatan jenayah dan menjadi penagih dadah malah kes terbaru baru-baru ini di mana seorang ibu muda yang baru habis tempoh pantang dikapak di kepala kerana enggan memberi duit RM100 kepada suaminya bukanlah sesuatu yang memeranjatkan.
Justeru, keberanian pemimpin untuk mengakui bahawa 'kita ada masalah' adalah sesuatu yang patut dipuji supaya kita tidak alpa dan masing-masing sama ada kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin masyarakat dan institusi keluarga wajib berusaha mencari jalan penyelesaian.
Benar fenomena ini wujud merata-rata tetapi janganlah kita cepat membuat alasan isu sama juga berlaku di negeri lain kerana itu seumpama seorang ibu atau bapa yang dimaklumkan tentang anaknya yang nakal oleh jiran dengan jawapan 'anak kau pun apa kurangnya'.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Forum/20140205/fo_02/Lelaki-malas-punca-wanita-maju-di-Kelantan#ixzz2sOaJb1Gd
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment