Tuesday, December 3, 2013

tarik tali kerajaan dengan mmc

Nasib pelajar perubatan Mesir


SAYA sangat berbesar hati dan berterima kasih yang tidak terhingga sekiranya pihak tuan dapat menyiarkan rintihan saya sebagai bapa kepada pelajar-pelajar perubatan daripada universiti di Mesir.
Sebagaimana dimaklumkan bahawa krisis di Mesir memaksa kerajaan membawa pelajar dari Mesir balik ke Malaysia untuk tujuan keselamatan pelajar. Dianggarkan 100 peratus pelajar adalah pelajar Melayu dalam jurusan perubatan.
Pada krisis kedua di Mesir, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak setelah keputusan Kabinet telah membuat keputusan bahawa semua pelajar yang tidak mahu belajar di Mesir boleh menyambung pengajian mereka di mana-mana institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kalau ada kekosongan secara one off yakni kalau tidak memasuki tahun ini tahun-tahun akan datang tidak diterima tanpa kena mengikut syarat-syarat kemasukan biasa.
Ekoran dari itu satu penerangan khas telah dibuat mengenai apa yang dimaksudkan dengan one off tersebut yang disampaikan oleh Ketua Setiausaha II Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang di RTM tempoh hari.
Menurut Dr. Zaini, one off tersebut adalah:
1. Pelajar-pelajar dari Mesir boleh belajar di mana-mana universiti tempatan menggunakan tahun pengajian di Mesir iaitu tolak satu tahun iaitu mana-mana pelajar tahun dua masuk tahun satu (kerana tahun satu di Mesir dianggap sebagai foundation bagi pelajar-pelajar yang biasa untuk mengikuti kursus perubatan). Bagi pelajar tahun tiga di Mesir turun tahun dua. Untuk pelajar tahun 4 dan tahun 5 mungkin sukar untuk ditempatkan tahun 3 dan 4 kerana bagi universiti di Malaysia tahun 3 telah memulakan praktikal.
2. Syarat-syarat asas biasa untuk membuat foundation atau matrikulasi adalah dikecualikan untuk pelajar-pelajar Mesir tahun ini.
Malang sekali dua anak saya dan kira-kira lebih 200 lagi anak-anak Melayu telah ditolak permohonan mereka untuk memasuki ke IPT dan disuruh balik ke Mesir kerana tidak layak. Tidak layak kerana tidak ada foundation dan matrikulasi atau SPM sebagaimana ditetapkan oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC) . Bagi MMC mereka mengatakan tidak terlibat dengan janji-janji one off oleh Kementerian Pendidikan ataupun keputusan Kabinet yang diumumkan oleh Najib.
Pihak Kementerian Pendidikan pula tidak dapat meluluskan anak-anak saya dan pelajar-pelajar Melayu lain untuk belajar di IPT kerana tidak mengikut syarat MMC.
Kesimpulannya, kedua-dua pihak Kementerian Pendidikan dan MMC bermain tarik tali dan tidak mengikuti keputusan Perdana Menteri. (Malang sekali pihak Universiti Segi telah diberi amaran oleh MMC akan menarik lesen kursus perubatan mereka sekiranya terdapat pelajar-pelajar yang ditolak mengikuti kursus di sana). Anak-anak saya dan para pelajar lain berminggu-minggu tinggal di hostel tanpa buat apa-apa. Ada yang telah pulang semula ke Mesir menyambung pengajian dan ada yang duduk di rumah.
Di sini saya merayu kepada Perdana Menteri untuk membuat keputusan dan arahan yang tepat kepada Kementerian Pendidikan atau MMC demi masa depan anak-anak Melayu beragama Islam yang memilih untuk menyambung pengajian di Malaysia melalui syarat one off yang diputuskan oleh Kabinet.
BAPA PRIHATIN
Sg. Siput Utara, Perak

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Forum/20131126/fo_01/Nasib-pelajar-perubatan-Mesir#ixzz2mNSA2R8I
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment