Peneroka Felda dapat dividen
Perdana Menteri berkata, pemberian dividen interim berasaskan kepada nilai keuntungan 5.5 sen sesaham adalah hasil daripada dua bentuk dividen yang diterima oleh pihak peneroka iaitu melalui 800 unit saham dikhususkan kepada mereka serta Dana Amanah Peneroka.
''Pertama, mereka akan terima dividen melalui 800 unit saham yang telah diperuntukkan kepada mereka dan jika kita hitungkan 800 unit saham tersebut ia akan memberi pendapatan sebanyak RM44 iaitu selepas didarabkan dengan 5.5 sen.
''Kedua melalui Dana Amanah Peneroka. Sebanyak 20 peratus yang diperuntukkan di dalam dana ini dikhaskan untuk peneroka. Jumlahnya adalah sebanyak 370 juta saham dan apabila ia didarab dengan 5.5 sen bererti pendapatannya adalah sebanyak RM40.1 juta,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Raya Aidilfitri warga Felda bersama Perdana Menteri di Menara Felda di sini, hari ini.
Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan; Pengerusi Kumpulan Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dan Presiden FGV, Datuk Sabri Ahmad.
Pengumuman ini sekali gus menangkis tohmahan pembangkang yang menyatakan peneroka Felda akan kerugian berikutan penyenaraian tersebut di papan utama Bursa Malaysia pada 28 Jun lepas.
Pembayaran dividen ini adalah tambahan kepada peneroka yang menerima durian runtuh RM15,000 kepada setiap peneroka Felda seluruh negara.
Harga saham FGV hari ini ditutup pada RM5.02 sesaham iaitu lebih tinggi daripada harga tawarannya RM4.55.
Mengulas lanjut Perdana Menteri berkata, daripada RM40.1 juta itu setelah dibahagikan kepada setiap peneroka, setiap mereka bakal menerima RM356.
''Sekiranya dicampur dengan pendapatan RM44, bererti melalui dividen interim tersebut setiap peneroka akan menerima RM400. Ini merupakan pendapatan dalam tempoh dua bulan sahaja sejak saham ini disenaraikan di Bursa Malaysia,'' katanya lagi.
Menjawab satu soalan, Perdana Menteri berkata, FGV dijangka membayar dividen kepada semua pemegang sahamnya buat kali kedua pada akhir tahun ini.
''Ini merupakan dividen interim. Insya Allah akan ada satu lagi pengisytiharan dividen pada hujung tahun ini. Ini bermakna terdapat dua kali pemberian dividen,'' katanya lagi.
Dalam pada itu, Najib yang juga merupakan Menteri Kewangan yakin pihak FGV mampu mencapai keuntungan seperti mana disasarkan iaitu bersandarkan kepada prestasi memberangsangkan oleh pihak syarikat.
''FGV kini berada atas landasan dalam usahanya mencatatkan keuntungan seperti mana yang telah kita sasarkan,'' jelasnya.
Perdana Menteri dalam sidang akhbar sama turut mengumumkan keputusan Felda memberi pinjaman tanpa faedah kepada semua peneroka bagi membantu mereka memiliki 800 unit saham FGV.
''Langkah ini melibatkan peruntukan sebanyak RM360.7 juta. Dengan ini para peneroka tidak perlu meminjam atau mengeluarkan duit sendiri untuk memiliki saham ini. Mereka cuma dikehendaki membayar sebanyak RM50 sebulan sahaja sehingga selesai dijangka dalam tempoh lima tahun.
No comments:
Post a Comment