GO-KL City mulai hari ini
Idea memperkenalkan GO-KL City secara percuma kepada warga kota itu dicetuskan sendiri Perdana Menteri di bawah Program Tranformasi Kerajaan (GTP) bagi mempertingkatkan kemudahan perkhidmatan awam lebih baik kepada orang ramai.
Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Azhar Ahmad berkata, GO-KL City diperkenalkan kepada warga kota sebagai usaha penambahbaikan sistem pengangkutan dalam bandar, selain dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Menurutnya, selain pekerja, golongan suri rumah, pelajar dan pelancong asing antara golongan saaran yang menggunakan perkhidmatan tersebut dengan purata pengguna antara 10,000 hingga 20,000 sehari.
"Bagi fasa pertama sebanyak 15 buah bas mesra pengguna disediakan meliputi 13.9 kilometer secara keseluruhan melibatkan 25 hentian," katanya pada sesi taklimat mengenai pengenalan GO-KL City kepada media, di sini.
Turut hadir, Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar.
Azhar berkata, bagi memudahkan orang ramai mengenalpasti jajaran bas berkenaan pengunaan dua warna iaitu hijau dan ungu diperkenalkan.
"Bagi jajaran hijau, ia meliputi KLCC-Bukit Bintang-KLCC melibatkan 13 perhentian dengan jarak keseluruhan 7.4 kilometer (km) dan tempoh masa perjalanan pula kira-kira 38 minit.
"Manakala bagi jajaran ungu meliputi Jalan Sultan Muhamad- Bukit Bintang-Jalan Sultan Muhammad pula melibatkan jarak perjalanan kira-kira 6.5km, 14 perhentian bas dan tempoh perjalanan kira-kira 36 minit sahaja," katanya.
Tambah Azhar, bas yang beroperasi seawal 6 pagi hingga 11 malam itu bukan sahaja dilengkapi dengan kemudahan WiFi, tetapi juga mempunyai jadual kekerapan setiap lima minit pada waktu puncak, manakala 15 minit pada waktu biasa.
Katanya, selain Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), SPAD turut bekerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan kelancaran sepanjang tempoh pelaksanaannya.
No comments:
Post a Comment