Friday, July 26, 2013

penjelasan gb tentang murid makan di tandas

Guru Besar SK Seri Pristana buat laporan polis


KUALA LUMPUR 25 Julai - Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pristana di Sungai Buloh yang dilanda kontroversi berhubung penyebaran gambar murid bukan Islam makan di bilik persalinan hari ini membuat laporan polis kerana mendakwa dia telah difitnah.
Mohamad Nasir Mohd. Noor membuat laporan di Balai Polis Saujana Utama pada pukul 11 pagi.
Mohamad Nasir ketika dihubungi berkata, beliau membuat laporan kerana kecewa dengan sikap ibu bapa murid dan beberapa pihak lain yang memfitnah dan menuduhnya bertindak secara tidak bertamadun.
"Saya menerima panggilan telefon yang mencerca dan termasuk mengugut berikutan fitnah tersebut," katanya.
Sebuah blog sebelum ini melaporkan murid-murid bukan beragama Islam di sekolah berkenaan telah ditempatkan di tandas sewaktu rehat pada bulan Ramadan.
Laporan itu telah menimbulkan kemarahan pelbagai pihak.
Menurut Mohamad Nasir, beliau telah menempatkan murid-murid di bilik persalinan berkenaan sejak tiga bulan lalu.
Katanya, hal ini kerana kantin sekolah berkenaan kecil dan tidak mampu memuatkan jumlah murid yang ramai.
"Pada sebelah pagi matahari memancar terus ke kawasan kantin dan murid-murid tidak mahu makan di kawasan berkenaan kerana panas dan mereka makan di tepi longkang.
"Saya lihat tempat berkenaan tidak bersih, jadi saya tempatkan mereka di bilik persalinan yang kebetulan tidak digunakan sepenuhnya," katanya.
Kata beliau, murid-murid jarang menggunakan bilik persalinan kerana mereka dibenarkan memakai pakaian sukan jika terdapat mata pelajaran Pendidikan Jasmani atau aktiviti kokurikulum.
Pada masa yang sama beliau telah meletakkan notis melarang murid-murid membuang air di bilik berkenaan dan paip air di bilik berkenaan telah dikunci.
Menurutnya, bilik persalinan berkenaan telah dibersihkan dan mempunyai sink untuk digunakan bagi mencuci tangan sebelum makan.
Mohamad Nasir memberitahu, beliau diarahkan supaya bercuti rehat selama seminggu dan sebarang tindakan oleh Jabatan Pelajaran akan diputuskan selepas itu.

No comments:

Post a Comment