Demonstrasi agenda kuasa asing
Kuala Lumpur yang sentiasa "hidup" tiba-tiba mati. Premis perniagaan di pusat bandar terpaksa ditutup dan rutin hujung minggu warga kota tergendala. Sebaliknya yang memenuhi pusat bandar adalah perusuh yang merempuh sekatan polis untuk menjayakan demonstrasi haram itu.
Istilah "perhimpunan aman" karut semata-mata. Tidak ada istilah perhimpunan aman kecuali berhimpun untuk menonton konsert percuma di Dataran Merdeka. Itupun belum tentu aman kerana sikap liar sesetengah penonton. Inikan pula demonstrasi yang dianjurkan pembangkang untuk memberi tekanan kepada kerajaan.
Demonstrasi haram semalam tidak memberi hasil kecuali membuktikan ada rakyat membuka pintu kepada kuasa asing menentukan acuan politik negara ini. Ia disalurkan berupa dana oleh NGO yang mempunyai hubungan dengan kuasa asing. Sebabnya Malaysia antara dua tiga negara yang masih bebas dari cengkaman kuasa asing.
Modus operandi ini telah dilakukan di dunia Arab dan berjaya meruntuhkan kerajaan yang dipilih rakyat. Lalu media Barat memberi istilah "musim bunga di Arab" yang membawa maksud keindahan, kemenangan dan kesejahteraan. Demonstrasi haram yang berakhir dengan tragedi pembunuhan bukanlah musim bunga. Ini adalah penjajahan neokolonialisme dengan menggunakan rakyat untuk meruntuhkan kerajaan sendiri.
Demonstrasi haram semalam berselindung di sebalik perjuangan membersihkan sistem pilihan raya. Perkara tersurat adalah baik untuk memberi penambahbaikan sistem pilihan raya sekaligus menaiktaraf demokrasi. Tetapi yang tersiratnya jahat sekali untuk meruntuhkan negara. Membersihkan sistem pilihan raya bukan di jalan raya. Ini yang banyak orang salah faham. Menjadikan jalan raya sebagai acuan demokrasi adalah gerakan politik baru yang merebak di dunia Arab. Ini satu manipulasi politik untuk tujuan jauh lebih besar iaitu menguasai me wujudkan pemimpin boneka.
Memanglah tujuan asal di Mesir atau Libya menentang ketidakadilan bawah kuku besi pemimpin autokratik. Dasar langit terbuka telah mempromosikan liberalisasi politik Barat sebagai satu acuan politik dunia. Maka tindakan singkatnya ialah turun ke jalan-jalan raya dan membuat tuntutan kemudian melakukan keganasan yang dianggap sebagai "satu tindakan adil."
Agenda kuasa asing di dunia Arab bermula dengan kebangkitan rakyat Tunisia pada Oktober 2010. Kuasa asing berselindung sebalik perjuangan demokrasi akhirnya bukan sahaja meruntuhkan kerajaan tetapi mengorbankan 233 nyawa. Demonstrasi haram yang berakhir dengan rusuhan ganas di Tunisia memang berjaya. Ia berjaya meruntuhkan kerajaan pilihan rakyat. Di mana demokrasinya apabila pilihan rakyat dikorban dalam rusuhan di jalan raya?
Selepas Tunisia, Mesir menjadi mangsa kuasa luar apabila Hosni Mubarak berjaya digulingkan dan semua tahu di belakang kebangkitan rakyat itu adalah Amerika Syarikat (AS). Politik baru yang digerakkan oleh teknologi komunikasi terkini memang rakus dan terlalu laparkan "demokrasi."
Autokratik
Hosni Mubarak memang autokratik. Tetapi apakah bezanya antara era Hosni Mubarak yang tiada demokrasi dengan sekarang? Mesir terus dibelenggu kehancuran kerana idealisme gerakan politik baru bukanlah penentu timbangtara demokrasi yang realistik. Selepas demonstrasi di Mesir mengorbankan 846 nyawa, selain berjaya menumbangkan Hosni Mubarak, apakah kejayaan bagi rakyat untuk meneruskan hidup?
Demonstrasi di Yemen mengorbankan lebih 2,000 nyawa, di Libya lebih 35,000 nyawa dan Syria lebih 13,000 nyawa. Gelombang kebangkitan ini terancang dan cepat merebak. Di Libya, campur tangan AS sangat jelas dan media asing memperagakan seolah-olah lahir Libya yang baru selepas tumbangnya Muammar Gaddafi. Tetapi apakah benar wujud demokrasi hasil demonstrasi ganas itu? Hingga sekarang kerajaan sementara di Libya terus bercakaran sesama sendiri dan peluang AS untuk mengstrukturkan politik Libya terbuka luas.
Keruntuhan negara-negara di dunia Arab membuktikan kegagalan gerakan politik baru untuk menzahirkan demokrasi menerusi kebangkitan rakyat. Perjuangan pendemokrasian politik memang diperlukan malah sangat penting. Kerajaan juga mesti sedar bahawa keadilan, saksama dan tahap demokrasi perlu dipertingkatkan dari masa ke masa. Sebabnya keruntuhan negara-negara di dunia Arab disebabkan oleh pemimpin yang autokratik. Tetapi masa yang sama untuk mendepani pemimpin autokratik bukanlah dengan membawa rakyat ke jalan-jalan raya.
Pendemokrasian politik yang diburu akhirnya hilang di tengah jalan. Sebabnya demonstrasi begini membuka peluang kepada kuasa asing mencampuri hal ehwal dalam negara secara tanpa sedar. Inilah yang berlaku di Tunisia, Libya, Mesir atau Yemen. Sudut pandangan politik perlu menyelongkar lapis demi lapis, apa lagi gerakan politik baru yang mendapat acuan dari liberalisasi politik di Barat.
Memang tidak dinafikan kesedaran politik kalangan generasi muda telah meningkat. Antara faktornya ialah bertambahnya saluran maklumat dengan teknologi komunikasi masa kini. Tetapi kesedaran politik sahaja tidak akan membawa mereka ke mana-mana kecuali disaring dengan kewarasan dan melihat yang tersurat dan tersirat.
Mengambil demonstrasi ganas yang menumbangkan Hosni Mubarak dan Muammar Gaddafi sebagai acuan untuk dilakukan di negara ini adalah suatu di luar kewarasan. Landskap politik dan sosial kedua-dua negara itu berbeza dengan Malaysia. Malangnya mereka yang turun ke jalan-jalan raya membuat demonstrasi ini tidak melihat di sebaliknya. Mereka terlalu taksub dengan demokrasi.
Demonstrasi semalam boleh diibaratkan membasuh kain kotor di halaman rumah. Mereka menagih sokongan kuasa asing yang menyediakan petugas-petugas media ke negara ini untuk membuat liputan. Kalau benar sistem pilihan raya negara ini tidak demokratik, adakah ini satu tindakan yang dilakukan sekelompok kecil ini yang menyalak di tengah-tengah Kuala Lumpur itu demokratik? Demokratikkah kerajaan sekiranya melayan tuntutan perusuh ini padahal mereka bukan mewakili rakyat?
Kalau mahu mendapat kuasa dalam pilihan raya, berlawanlah dalam lingkungan sistem yang ada. Sistem ini juga telah memberi kemenangan kepada pembangkang jauh lebih baik dari sebelumnya. Kalau sistem ini tidak demokratik, apakah makna kemenangan pembangkang yang luar biasa sebelum ini? Bukankah agenda utama pembangkang mahu merampas kuasa di luar sistem pilihan raya? Bukankah itu yang dimahukan oleh kuasa asing untuk menentukan siapa pemimpin boneka mereka?
No comments:
Post a Comment