Monday, April 9, 2012

ptptn

'Tak wajar kerajaan tanggung penuh kos'
AZIZAN INCHE HARUN
9 April 2012
ptptn
Khaled: 'Tak wajar kerajaan tanggung penuh kos'
PASIR GUDANG – Pembiayaan pendidikan ke peringkat pengajian tinggi tidak pernah diberikan secara percuma kepada mana-mana pelajar bukan sahaja di Malaysia, tetapi begitu juga di negara-negara lain, kata Menteri Pengajian Tinggi.
Menurut Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, walaupun ada beberapa negara yang memberi pembiayaan pendidikan percuma, tetapi kos itu terpaksa ditanggung oleh rakyat.

Menurutnya, tidak wajar kerajaan yang terpaksa menampung kos pendidikan sedangkan pelajar mendapat pulangan peribadi apabila memperoleh pekerjaan selepas menamatkan pengajian kelak.

“Contoh ada beberapa negara seperti Jerman yang membiayai pendidikan percuma, tetapi cukai pendapatan di negara berkenaan tinggi dan tidak mempunyai sebarang subsidi berbanding negara kita yang mengenakan cukai pendapatan hanya dua peratus dan menampung subsidi minyak dan sebagainya.

“Pelajar di negara kita, hanya perlu membayar 10 peratus pinjaman pendidikan kerana 90 peratus lagi telah disubsidikan oleh kerajaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup KPT-UITM cabaran Orienteering 1Malaysia Edisi ke-3 di sini, hari ini.

Hadir sama, Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Profesor Ir. Dr Sahol Hamid Abu Bakar; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Datuk Dr Abdullah Mohamed Said dan Yang DiPertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang, On Jabbar @ Jaffar.

Mohamed Khaled berkata, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang menyediakan pembiayaan pendidikan termasuk kos sara hidup untuk memberi keselesaan kepada pelajar yang kurang berkemampuan.

Menurutnya, kerajaan ingin menggalakkan pelajar mula menabung dari peringkat sekolah rendah sebagai persediaan kewangan pada peringkat awal supaya pinjaman pendidikan tidak dibuat terlalu besar.

“Pinjaman pendidikan menjadi tinggi kerana termasuk kos sara hidup, sedangkan yuran pengajian sekitar 40 peratus sahaja.

“Kalau tidak mahu menanggung beban yang tinggi, pelajar tidak perlu membuat pinjaman pendidikan termasuk kos sara hidup.

“Kita percaya PTPTN telah menggunakan pelbagai agensi untuk mempermudahkan urusan pembayaran balik kepada pelajar,” katanya.

Dalam pada itu beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang berkata, seramai 1,500 pelajar berbilang kaum telah menyertai Program KPT-UiTM Cabaran Orienteering 1Malaysia Edisi ke-3 yang berlangsung selama tiga hari di Pasir Gudang.

“Program kesukanan seperti itu wajar dicontohi IPT lain kerana ia bukan sahaja mengasah bakat kepimpinan dan bekerja berpasukan dalam kalangan pelajar, tetapi melatih mereka menggunakan kemahiran membaca peta dan kompas,” katanya.

No comments:

Post a Comment