Friday, April 6, 2012

kerinchi hampir selesai

Baki penduduk flat Kg. Kerinchi terima kunci PPR


Sukiman Surahman (empat dari kiri) bersama sebahagian daripada baki penduduk rumah pangsa empat tingkat Kampung Kerinchi yang menerima anak kunci rumah PPR pada majlis penyerahan di Pantai Dalam, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR 4 April - Baki 35 keluarga di rumah pangsa empat tingkat Kampung Kerinchi, Pantai Dalam yang enggan berpindah sebelum ini menerima kunci Projek Perumahan Rakyat (PPR) hari ini.
Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sukiman Surahman berkata, 25 daripadanya akan ke PPR Kampung Muhibbah di Bukit Jalil dan bakinya ditempatkan di PPR Seri Cempaka di Pantai Dalam.
"Bagaimanapun, masih ada 13 penghuni yang belum mengambil kunci hari ini dan mereka ada masa sehingga Jumaat ini untuk berbuat demikian," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan kunci perumahan tersebut pada majlis yang turut dihadiri oleh Pengarah Suez Domain, Yasran Hussain selaku wakil syarikat yang akan membangunkan semula kawasan rumah pangsa yang telah uzur itu.
Menurut Sukiman, mana-mana penduduk yang gagal berpindah selepas tempoh pengosongan pada 10 April ini akan menghadapi risiko bekalan air dan elektrik dipotong.
Katanya, kenderaan mengangkut barang turut disediakan untuk melancarkan proses perpindahan penduduk tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menjelaskan, isu ketiadaan nama penduduk di PPR dan rumah tidak siap sebagai dakwaan yang tidak benar.
"Semua dakwaan yang dibuat itu tidak betul kerana masalah utamanya ialah mereka yang enggan berpindah. Malah kami juga telah membaiki rumah yang mengalami sedikit kerosakan serta menyediakan pintu pagar besi untuk mereka," katanya.
Sebelum ini, kesemua keluarga berkenaan telah menerima pampasan sebanyak RM73,000 menerusi Akta Pengambilan Tanah.
Sementara itu, seorang penduduk, Muhammad Zahaimi Muhamad Saleh, 65, berkata, dia bersama keluarganya akan berpindah dalam masa terdekat setelah selesai mengangkut semua barang.
"Kami bukan tidak mahu berpindah sebelum ini tetapi pampasan yang diterima tidak setimpal namun akhirnya terpaksa juga untuk keluar dari rumah yang telah lama didiami ini," katanya.
Bagi Hashim Selim, 67, dia tiada halangan lagi untuk berpindah memandangkan kunci rumah dan surat tawaran pemindahan sudah diterimanya.
"Cuma kami perlukan masa juga untuk menguruskan perpindahan sekolah anak-anak, sebab itu ada yang memohon untuk dilanjutkan tempohnya," ujarnya.

No comments:

Post a Comment