Kerajaan DAP rampas tanah
Oleh Faridzwan Abdul Ghafar
faridzwan@bharian.com.my
2012/04/16
Guan Eng didakwa ugut guna Akta Pengambilan Tanah 1960
GEORGETOWN: Kira-kira 200 penduduk Kampung Pokok Asam, Jelutong di sini, meminta Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Jelutong, Ooi Chuan Aun melepaskan jawatan masing-masing dan keluar dari Pulau Pinang.
Penduduk terbabit tidak berpuas hati dan kecewa selepas mengesyaki Kerajaan DAP Pulau Pinang berkomplot dengan pemaju swasta ‘merampas’ tanah mereka menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960.
Pengerusi Badan Bertindak Penduduk Jelutong Timur, Zarus Yusof, berkata kerajaan negeri menerusi Pejabat Daerah dan Tanah Timur Laut menggunakan pelbagai kaedah bagi memaksa penduduk keluar dari kampung berkenaan.
“Kami disuruh keluar dari rumah sendiri sebab ingin memberi laluan kepada pemaju membina jalan raya yang menghubungkan projek pembinaan dan kami mendapati Chuan Aun atau Jeff Ooi terbabit membantu pemaju.
“Orang kampung sudah lama bersabar dengan sikap Guan Eng yang langsung tidak prihatin dengan nasib penduduk kampung dan Jeff Ooi yang berpakat dengan pemaju halau kami dari tanah sendiri,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Pada Februari lalu, penduduk kampung itu mendakwa kerajaan negeri cuba 'merampas' lapan lot tanah milik persendirian di kampung itu dengan alasan untuk membina projek perumahan awam dan meluaskan tanah perkuburan.
Penduduk mendakwa kerajaan negeri bertindak mengugut akan menyaman mana-mana pemilik lot tanah yang enggan menyerahkan hak milik masing-masing menggunakan akta berkenaan.
Sehubungan itu, penduduk melaporkan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat sama ada wujudnya penyelewengan kuasa oleh kerajaan negeri bagi mengambil tanah penduduk.
Zarus berkata, penduduk kampung turut merayu campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, supaya menyelamatkan tanah dan rumah penduduk daripada menjadi mangsa kerakusan kerajaan negeri pimpinan Guan Eng.
“Penduduk sudah tidak tahu lagi kepada siapa ingin mengadu dan harapan kami hanya kepada Perdana Menteri saja supaya dapat berbuat sesuatu untuk selamatkan tempat tinggal ini.
“Jika boleh kami mahu kampung ini diwartakan sebagai tapak warisan kerana usianya sudah mencecah 350 tahun dan penduduk mahu mewariskan tanah ini kepada generasi akan datang,” katanya.
No comments:
Post a Comment