ARKIB : 11/04/2012
Share on facebook Share on twitter Share on email Share on print More Sharing Services 2
Isu PTPTN cuba raih sokongan
Oleh NORIZAN ABDUL MUHID
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 10 April - Parti pembangkang mempolitikkan isu memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) semata-mata untuk meraih sokongan pengundi muda menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 .
Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata, tindakan tidak bertanggungjawab pembangkang itu mengakibatkan golongan muda khususnya mahasiswa yang terpedaya dengan dakyah pihak terbabit memandang serong kepada kerajaan.
Menurutnya, pembangkang sengaja mahu mempolitikkan isu tersebut kerana menyedari ia satu perkara yang mudah mendapat perhatian umum.
''Kita tidak mampu menghalang mana-mana pihak terutama pembangkang membesar-besarkan isu ini, sebenarnya rakyat sendiri harus memahami dengan jelas isu yang ditimbulkan sekarang'', katanya selepas merasmikan Rundingan Meja Bulat Mahasiswa Nasional anjuran Pemuda UMNO di sini hari ini.
Bengkel selama tiga hari bermula hari ini disertai kira-kira 200 peserta terdiri daripada pemimpin mahasiswa dan wakil pengurusan PTPTN bertujuan mengenal pasti rumusan terbaik bagi menangani isu berkaitan PTPTN.
Selain itu kata Razali, rakyat perlu bijak menilai dan mendapatkan maklumat daripada sumber sahih berhubung isu berkenaan dan tidak mempercayai sepenuhnya dakyah pembangkang.
Beliau berkata, pendirian pihak berkenaan juga tidak jelas memandangkan menerusi Buku Jingga pembangkang sebelum ini, pihak itu berhasrat mencari pendekatan baru bagi mengurangkan beban peminjam
''Jika pembangkang mahu menghapuskan PTPTN bagaimana dengan 83 peratus peminjam yang sudah membayar balik pinjaman mereka?
''Isu ini hanya diperbesarkan oleh pembangkang memandangkan hanya 17 peratus peminjam sahaja yang bermasalah dalam membayar balik pinjaman, golongan ini yang sepatutnya kita bantu,'' kata beliau.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan memberitahu, pelbagai kemudahan ditawarkan oleh PTPTN bagi memudahkan peminjam antaranya mengecualikan pembayaran balik pinjaman terhadap 11,764 peminjam yang mendapat ijazah kelas pertama sehingga Disember 2011 melibatkan bayaran kira-kira RM339 juta.
Tawaran itu katanya, berjaya dinikmati 8,818 pelajar berketurunan Cina; 2,347 (Melayu); 456 (India); 50 (Bumiputera Sabah) manakala 34 pelajar Bumiputera Sarawak.
Pada masa yang sama ujarnya, seramai 600,000 peminjam ditawarkan membayar balik pinjaman dengan faedah satu peratus dan daripada jumlah itu, seramai 137,000 orang menerima tawaran tersebut.
''Ini membuktikan peminjam tidak mempunyai masalah untuk membayar balik pinjaman kerana lebih ramai peminjam memilih membayar balik pinjaman mereka dengan faedah tiga peratus'', katanya
No comments:
Post a Comment