Jangan gadai pendidikan anak bangsa demi politik
SAYA sebagai pendidik dan bapa kepada anak-anak yang sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) memang akan berasa cukup gembira jika pihak kerajaan sanggup menyediakan pendidikan percuma di peringkat pengajian tertinggi untuk rakyatnya.Namun, sebagai sebuah negara yang masih membangun dan menuju kepada negara maju, adakah Malaysia sudah mampu untuk memberi pendidikan percuma di peringkat tertinggi kepada semua rakyatnya?
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah satu usaha murni yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk membantu pelajar melanjutkan pengajian di peringkat tertinggi tanpa memberi beban kepada sesiapa sahaja, tanpa mengira agama dan bangsa.
Pinjaman PTPTN amat mudah dan terdapat pelbagai cara untuk mengutipnya semula. Kutipan semula hanya dibuat selepas enam bulan sehingga peminjam mempunyai pekerjaan. Difahamkan pihak kerajaan mengeluarkan pinjaman sebanyak RM48 bilion. Sehingga kini 83 peratus peminjam membuat bayaran pinjaman secara berkala. Cuma 17 peratus sahaja masih ingkar untuk membuat bayaran.
Bayangkanlah jika PTPTN tidak dilaksanakan oleh kerajaan, bagaimana ibu bapa hendak mengeluarkan bayaran yang tinggi untuk anak-anak mereka melanjutkan pengajian tinggi? Ini terutama bagi ibu bapa yang kurang berada atau anak-anak yang mempunyai pencapaian pendidikan di tahap sederhana.
Mungkin untuk pelajar cemerlang, mereka mudah mendapat biasiswa atau tajaan. Begitu juga dengan ibu bapa yang berada, pasti mampu menyediakan insurans pendidikan anak-anak mereka.
Pinjaman yang diberi kepada lebih 100,000 pelajar IPTA atau swasta (IPTS) ini perlulah dibayar semula sebagai modal pusingan untuk pinjaman pelajar lain pula. Hutang ini dikutip balik sebenarnya adalah untuk mengisi semula tabung sedia ada bagi kegunaan pelajar pada masa akan datang.
Bukankah membayar hutang sesuatu yang wajib dijelaskan seperti tuntutan agama? Urusan pengutipan semula sebenarnya tidak membebankan kerana pelajar diberi peluang sehingga mempunyai pekerjaan untuk membayar semula pinjaman.
PTPTN akan menganugerahkan secara percuma pinjaman tersebut sekiranya pelajar mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) cemerlang. Oleh itu, pelajar perlu membuktikan kemampuan mereka mendapatkan anugerah CGPA cemerlang supaya pinjaman PTPTN dijadikan sebagai biasiswa. Ini memberi motivasi kepada mereka untuk terus mengekalkan kecemerlangan dalam pengajian mereka.
Mengapa PTPTN menjadi mangsa cemuhan dan kritikan? Sebagai penjaga yang berpendapatan sederhana, saya setuju PTPTN diteruskan demi kebajikan dan kesinambungan nasib bangsa Malaysia.
Janganlah pendidikan dan masa depan anak bangsa digadai atas kepentingan politik. Janganlah politikkan pendidikan negara.
No comments:
Post a Comment