Friday, April 27, 2012

cina pun dap tak tolong

ARKIB : 22/04/2012

Ibu tunggal lega dapat rumah baru

Zainal Abidin Osman mendengar keluhan Teoh Yong King (kiri) semasa mengadakan pertemuan dengan ibu tunggal itu di Perkampungan Jawi, Nibong Tebal, Pulau Pinang, semalam.
NIBONG TEBAL 21 April - Seorang ibu tunggal yang menumpang di sebuah tokong di Perkampungan Jawi di sini sejak tiga bulan lalu gembira kerana mendapat rumah baharu yang dibina menerusi peruntukan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Rumah tiga bilik dan sebuah bilik air berharga RM40,000 itu dibina pelatih Pusat GiatMara sejak pertengahan Mac lalu dan siap baru-baru ini.
Teoh Yong King, 57, berkata, dia dan anak keempatnya, Tan Hun Chow, 26, serta dua cucunya terpaksa menumpang di tokong tersebut kerana tidak mampu menyewa atau membina rumah baharu setelah rumahnya musnah dalam kebakaran pada 14 Januari lalu.
"Semua peralatan rumah tidak dapat diselamatkan dalam kebakaran itu. Saya ada meminta bantuan kerajaan negeri, tetapi tidak mendapat sebarang maklum balas sehinggalah pemimpin Barisan Nasional (BN) prihatin dan mendapatkan saya sebuah rumah baru," katanya selepas menerima kunjungan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman di Perkampungan Jawi, di sini hari ini.
Yong King berkata, dia amat berterima kasih kepada kerajaan BN kerana membantu meringankan bebannya dengan membina sebuah rumah baharu.
"Saya ucapkan terima kasih atas keprihatinan Kerajaan Pusat membina rumah baru dan menyediakan kelengkapan rumah untuk keluarga saya," katanya.
Sementara itu, Zainal Abidin berkata, banyak rungutan kini timbul kerana kerajaan negeri gagal membantu rakyat yang menghadapi kesusahan.
"Atas dasar keprihatinan kepada rakyat, Kerajaan Pusat membantu membina semula rumah baru untuk keluarga ini," katanya.
Beliau yang juga penasihat kementerian itu berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual menyerahkan kunci rumah kepada Yong King semasa mengadakan lawatan kerja ke Pulau Pinang, Ahad ini.
Menurutnya, Perdana Menteri juga akan menghadiri Kenduri Rakyat 1Malaysia membabitkan 20,000 rakyat di pekarangan Sekolah Agama Rakyat, Simpang Tiga, Sungai Acheh, di sini.

No comments:

Post a Comment