Saturday, September 23, 2017

1mdb...penjelasan dari TS Khalid



TAN SRI KHALID IBRAHIM MENULIS MENGENAI 1MDB


1. Saya ingin berterima kasih kepada PAS kerana melibatkan saya di dalam perbincangan meja bulat bersama pengurusan utama 1MDB pada Selasa lalu. Saya juga merasa bersyukur kerana kedua-dua wakil dari PAS dan 1MDB sangat mesra dan professional sepanjang perbincangan berlangsung. Ia merupakan sebuah perbincangan secara telus dan terbuka.

2. Sebagai rakyat Malaysia, keprihatinan saya tertumpu kepada keupayaan 1MDB untuk beroperasi tanpa menanggung kerugian, kegagalan yang mana akan membebankan negara dan para pembayar cukai. Timbul dakwaan bahawa usaha rasionalisasi oleh kerajaan kepada 1MDB adalah sama seperti pelan penyelamat mega berjumlah US$42 bilion. 1MDB juga telah dituduh melakukan penyelewengan serta salah guna dan sekaligus menyebabkan ia gagal melaksanakan komitmen dan keperluan kewangan mereka.

3. Sejajar pertuduhan tersebut, saya memfokuskan perbincangan mengenai rancangan penstrukturan semula hutang 1MDB yang telah dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dan ahli lembaga yang baru dilantik.

4. Ketika perbicangan berlangsung, saya melihat bahawa 1MDB beroperasi dengan modal ekuiti yang kecil atau rendah, sementara ia bergantung kepada pengimbangan kewangan bagi menyokong pelaburan mereka dengan potensi pulangan modal dalam terma jangka sederhana – berlandaskan kepada sokongan sosial dan politik dari kerajaan bagi menambah nilai dan keuntungan ke atas projek yang dilaksanakan.

5. Cabaran utama yang dihadapi oleh syarikat ini adalah obligasi mereka bagi pembayaran faedah pada ketika projek dijalankan, iaitu ketika peringkat permulaan dan fasa pembangunan.

6. Ia merupakan sesuatu yang membanggakan apabila 1MDB telah membuat pembayaran faedah berjumlah lebih US$10 bilion berbanding modal ekuiti RM 10 juta dan sehingga ke hari ini, 1MDB masih berupaya membayar hutang serta membiayai komitmen kewangan.

7. Namun drama politik, ditambah pula dengan penyebaran fakta terpesong serta maklumat palsu terutamanya di rangkaian media sosial telah memberikan gambaran kononnya 1MDB berada dalam keadaan kucar-kacir dan dituduh dipergunakan untuk aktiviti politik.

8. Harus diperjelaskan pada ketika Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) telah berjaya membuat penilaian terhadap operasi 1MDB, ia masih tidak jelas sama ada syarikat ini mampu untuk bertahan. Pada perbincangan tersebut, Arul telah memberikan penerangan mengenai kedudukan kewangan terkini syarikat dan menunjukkan penyata kira-kira 1MDB, susulan dari pelan penstrukturan yang telah dilaksanakan oleh pihak pengurusan.

9. Kesimpulannya, nilai bersih terkini bagi aset yang dimiliki 1MDB mampu untuk menampung liabiliti terkini dan masa hadapan, malah ia turut menghasilkan lebihan. Bagi mengelak sebarang kesulitan dalam mengendalikan operasi aset 1MDB pada masa akan datang, aset terbabit akan dipindahkan kepada Perbadanan Kementerian Kewangan (MOF Inc) yang bertindak sebagai pemilik, sebagaimana dalam pelan penstrukturan. 1MDB akan membuat pembayaran bagi hutang seperti yang dikehendaki apabila transaksi aset disalurkan kepada MOF Inc daripada 1MDB.

10. Pengurusan penstrukturan 1MDB perlu memastikan nilai bersih terkini aset dikekalkan agar tiada gangguan terhadap pembayaran hutang dan komitmen kewangan. Tentu sekali, nilai aset 1MDB seharusnya lebih tinggi daripada nilai aset terkini memandangkan transaksi dilakukan di luar nilai sebenar, akibat dari serangan publisiti politik yang buruk diterima 1MDB.

11. Mengambil kira senario ini, penstrukturan ini dilihat berjalan lancar dan dakwaan ‘bailout’ ke atas 1MDB tersebut adalah tidak relevan.

12. Sebagaimana yang dijelaskan Arul, menjelang penghujung 2017, perlaksanaan transaksi aset dan kesinambungan pembayaran hutang serta unjuran komitmen 1MDB akan ditransformasikan kepada entiti baharu atau melalui pembubaran. Ini akan menjadi titik kepada entiti pelaburan yang dianggap mengelirukan.

13. Satu lagi isu yang dibincangkan adalah berkenaan hutang 1MDB kepada IPIC. Penyelesaian kepada IPIC tidak dilaksanakan kerana 1MDB telah membuat pembayaran kepada Aabar BVI, syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh IPIC. Bagaimanapun, pembayaran itu tidak disalurkan Aabar BVI kepada syarikat induk, IPIC. 1MDB bernasib baik kerana berjaya membuktikan perjanjian yang dibuat antara dua pihak dan urusan keduanya kini berada di landasan.

14. Bagi menjawab gembar-gembur terhadap usaha dilakukan Peguam Negara Amerika Syarikat untuk mendapatkan aset dikatakan milik Malaysia di mana 1MDB dikatakan terlibat dalam transaksi yang menyalahi undang-undang, Arul telah menjelaskan bahawa tiada wang atau aset milik syarikat atau anak syarikat 1MDB terlibat. Mereka turut dinasihatkan untuk tidak mengendahkan drama perundangan yang dibangkitkan di Amerika Syarikat.

15. Hakikatnya, cubaan Amerika Syarikat untuk ‘menyelamatkan’ aset Malaysia adalah sama dengan alasan yang diberikan Amerika Syarikat sebelum ini, yang kononnya negara itu mahu menyelamatkan dunia dengan cara mengebom Saddam Hussein dan rakyat Iraq. 

Apabila bercakap mengenai Amerika Syarikat, tiada apa yang diberikan percuma.

TAN SRI KHALID