Thursday, January 16, 2014

peniaga melayu yang malang

Malangnya nasib peniaga Melayu

SEBAHAGIAN peniaga dan pekerja kedai makan berkumpul membantah tindakan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mengeluarkan notis untuk merobohkan gerai mereka di Jalan Bukit Mertajam-Kulim, Pulau Pinang pada 10 Januari lalu.
PAGI Jumaat lalu hampir mencatatkan sejarah hitam dalam hidup lapan peniaga kecil-kecilan di Jalan Bukit Mertajam-Kulim, Pulau Pinang.
Jika tidak kerana campur tangan UMNO Bahagian Bukit Mertajam, gerai perniagaan mereka yang sudah diusahakan sejak lebih 20 tahun lalu bakal menyembah bumi dirobohkan kerajaan negeri.
Kisah menyedihkan kumpulan peniaga kecil yang dihalau dari tapak perniagaan mereka yang diusahakan sejak sekian lama bukan isu baru di negeri ini.
Sejak kerajaan negeri diambil alih DAP pada 2008, nasib peniaga kecil-kecilan yang majoritinya orang Melayu ini seolah-olah tidak mendapat pembelaan sewajarnya.
Sebelum ini, peniaga-peniaga Melayu yang sudah berniaga di Persiaran Gurney juga lebih 20 tahun lalu turut menerima nasib serupa.
Difahamkan, peniaga-peniaga Melayu di beberapa lokasi lain antaranya di Pantai Jerejak ketika ini juga hanya menunggu masa untuk dihalau dari tapak perniagaan mereka.
Begitulah murahnya harga peniaga-peniaga kecil yang majoritinya Melayu di Pulau Mutiara ini.
Dari satu sudut, kerajaan negeri mungkin mempunyai alasan kukuh untuk menghalau peniaga kecil-kecilan ini. Antaranya kerana berniaga di atas tanah kerajaan negeri.
Namun, alasan itu tidak seharusnya menjadi lesen besar kepada kerajaan negeri untuk sewenang-wenangnya menunjukkan kekuasaan dengan menafikan hak golongan tersebut mencari sumber rezeki.
Apatah lagi, kebanyakan peniaga yang dihalau itu sudah mengusahakan perniagaan mereka sejak berpuluh-puluh tahun lamanya. Tidakkah ada pihak dalam kerajaan negeri yang memikirkan bagaimana peniaga ini mahu meneruskan kehidupan selepas satu-satunya punca pendapatan mereka dinafikan?
Dalam tindakan menghalau peniaga-peniaga ini juga, kerajaan negeri langsung tidak menunjukkan pendekatan yang prihatin.
Ambil sahaja contoh peniaga di Jalan Bukit Mertajam-Kulim yang dihalau minggu lalu. Sudahlah hanya diberi notis mengosongkan premis dalam tempoh cukup singkat iaitu dua hari, mereka juga tidak ditawarkan pilihan untuk meneruskan perniagaan di kawasan lain.
Dalam situasi ini, mereka dibiarkan terkontang-kanting tanpa sebarang bantuan.
Lebih menyedihkan, kira-kira 30 anggota penguat kuasa bersama jentolak sudah bersiap sedia merobohkan gerai tanpa sempat mereka mengadu nasib dan berbincang mengenai masa depan perniagaan mereka.
Apakah ini contoh kerajaan negeri yang bertanggungjawab?
Namun, apa yang lebih menjadi persoalan adalah tindakan kerajaan negeri yang dilihat lebih berminat memberi tekanan di kawasan-kawasan yang majoritinya adalah peniaga Melayu.
Kerajaan negeri sudah semestinya setegas mungkin menafikan persepsi sebegini. Tetapi melihat kepada kejadian-kejadian peniaga dihalau sebelum ini, itulah realiti yang tidak boleh disembunyikan.
Jika sebelum ini kerajaan negeri kerap menggunakan alasan terpaksa menutup kawasan perniagaan yang majoritinya diusahakan orang Melayu kerana mengganggu persekitaran. Bagaimana pula dengan tapak perniagaan di New Lane, Weld Quay dan Lebuh Chulia yang majoriti peniaganya bukan Melayu?
Mengapa lokasi-lokasi perniagaan itu bebas daripada perhatian kerajaan negeri sedangkan turut mengganggu persekitaran seperti menyebabkan kesesakan teruk?
Sikap pilih kasih sebeginilah yang sebenarnya mengundang kemarahan peniaga Melayu kerana jelas menunjukkan dasar tidak adil kerajaan negeri.
Malah, tindakan kerajaan negeri yang hanya memberi kompaun kepada peniaga bukan Melayu atas kesalahan tertentu tetapi mengambil tindakan drastik merobohkan gerai peniaga Melayu seperti yang dipertikai banyak pihak sebelum ini juga masih menjadi tanda-tanya.
Apa yang pasti, episod malang peniaga kecil-kecilan Melayu dihalau dari lokasi perniagaan mereka meskipun sudah berniaga berpuluh-puluh tahun lamanya di negeri ini diyakini tidak akan berakhir setakat ini. Lebih ramai lagi peniaga Melayu dikhuatiri bakal menerima nasib serupa atas pelbagai lagi alasan pada masa depan.
Sudah semestinya dalam situasi ini, tiada apa yang mampu mereka lakukan melainkan menyerahkan nasib mereka kepada kerajaan negeri.
Persoalannya, adakah kerajaan negeri masih lagi bersimpati?

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140115/re_06/Malangnya-nasib-peniaga-Melayu#ixzz2qYQdKPrr
© Utusan Melayu (M) Bhd

kantin sekolah

Semak tender kantin sekolah

SETIAP hari kedengaran keluhan demi keluhan tentang harga makanan di kantin sekolah yang semakin naik.
Apabila harga makanan semakin tinggi, perbelanjaan sekolah untuk anak- anak secara tidak langsung meningkat.
Bayangkan jika seorang murid terpaksa membawa RM4 sehari, apa akan ditanggung ibu bapa yang ada empat anak yang bersekolah.
Sudah tentu kos sara hidup meningkat semakin tinggi.
Hal ini berlarutan dari tahun ke tahun, harga makanan di kantin tidak pernah turun. Ia semakin meningkat mengikut rentak kedai- kedai makanan di luar.
Tambahan pula ada kantin yang diusahakan oleh pengusaha yang sama dengan pekedai makanan di bandar-bandar. Alasan yang diberi ialah kos bahan mentah semakin naik.
Sehubungan itu, saya berpendapat sistem tender yang diamalkan pihak sekolah patut dikaji semula dan dilaksanakan seperti tahun-tahun dahulu.
Sistem yang ada sekarang seolah-olah menggalakkan pengusaha kantin meletakkan harga yang tinggi terhadap sajian mereka.
Amalan sekarang, pengusaha yang boleh memberi sewa bulanan yang tinggi kepada pihak pengurusan sekolah akan dipilih.
Sistem sewa ini menyebabkan pengusaha kantin tiada pilihan selain meletakkan harga tinggi untuk menampung kadar sewa yang hendak diberi kepada pihak pengurusan sekolah.
Oleh itu adalah wajar jika sistem pemilihan dan tender ini diubah. Jangan lagi memikirkan banyak mana wang yang masuk ke akaun sekolah tetapi fikirkan harga patut yang boleh diberi yang tidak membebankan ibu bapa.
Sistem tender perlu diubah kepada pengusaha yang boleh meletakkan harga terendah akan dipilih. Dengan cara ini sudah tentulah pengusaha yang berminat akan memikirkan harga paling minimum untuk murid-murid di sekolah.
Dahulu sistem ini diamalkan dan ia berjaya, cuma pihak pengurusan sekolah harus berkorban melupakan sewa bulanan seperti yang diperolehi sekarang.
ILHAM SYAKIMA,
Yan, Kedah.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Forum/20140115/fo_05/Semak-tender-kantin-sekolah#ixzz2qYPhUNKY
© Utusan Melayu (M) Bhd

kuin lagi

Usah layan kerenah di Kuin


SAYA terpanggil untuk menyatakan pendirian yang tegas berhubung tulisan Insan Tulis, Alor Setar dalam ruangan ini yang bertarikh 9 Januari 2014, di bawah tajuk 'Masalah Kuin masih seperti di zaman PAS?'
Baru-baru ini, saya berkesempatan mengikuti satu bengkel pertubuhan bukan kerajaan selama dua hari di Kolej Universiti Insaniah (Kuin).
Bengkel tersebut selain dihadiri waris para pelajar, ia juga turut dihadiri pelajar-pelajar tahun akhir pengajian serta beberapa sukarelawan luar.
Saya berkesempatan berinteraksi dengan beberapa waris pelajar bertukar pandangan dengan beberapa pelajar dalam berbagai bidang di Kuin.
Dalam masa yang sama, saya juga mempunyai seorang anak yang sedang menuntut di tahun akhir di Kuin.
Daripada perbincangan dan bual mesra dengan mereka, rata-rata saya boleh simpulkan mereka mempunyai pandangan yang positif tentang perpindahan Kuin ke Kuala Ketil.
Mereka ternyata kecewa apabila Kuin dijadikan alat politik dalaman segelintir pihak tertentu yang berkepentingan peribadi kerana tidak mahu bersusah payah untuk berpindah sedikit jauh ke Kuala Ketil.
Mungkin Insan Tulis adalah salah seorang insan yang tidak mahu berpindah ke Kuala Ketil dengan memberi seribu alasan.
Saya dapat menyelinap isu yang tersirat di sebalik tulisan Insan Tulis ia adalah luahan kekecewaan beliau apabila kerajaan negeri Kedah yang baru yang lebih objektif, tidak termakan perangkap beliau.
Alasan yang beliau berikan itu bukan cerminan kehendak keseluruhan staff, pensyarah, pelajar dan para waris tetapi ia adalah agenda beliau dan segelintir staf Kuin yang masih keras kepala tidak mahu berpindah ke kampus baru di Kuala Ketil.
Apabila agenda peribadi Insan Tulis tidak dilayan oleh pentadbiran baru Kuin, beliau mula melancarkan serangan media untuk membuat onar menjadi 'pengacau' untuk memporak perandakan imej Kuin seperti yang beliau lakukan di bawah pengurusan terdahulu.
Beliau cuba menggunakan modus operandi yang sama serta atas alasan yang sama tak ubah seperti 'pelesit' hilang tuan.
Saya berharap pihak pengurusan terbaru Kuin dan kerajaan negeri Kedah di bawah kepimpinan Datuk Paduka Mukhriz Mahathir tidak melayan mereka ini kerana ia adalah perangkap agenda peribadi mereka.
Saya berani menyatakan kami di pihak para waris pelajar menyokong penuh pembaharuan Kuin untuk berpindah ke kampus baru Kuala Ketil kerana suasana kampus yang kondusif, selamat dan bersesuaian untuk anak-anak kami menuntut ilmu di samping keindahan kampus yang tersergam.
Hakikatnya, Kerajaan Negeri Kedah dan pengurusan Kuin harus memberi keutamaan kehendak kami sebagai waris kerana kami lah yang menanggung perbelanjaaan anak-anak kami melalui hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Kami ingin melihat kejayaan pengajian anak-anak kami tanpa diganggu-gugat golongan yang tidak mahu pembaharuan di kampus baru.
Kepada golongan yang tidak mahu bersusah payah sedikit berpindah ke Kuala Ketil, mereka boleh mencari majikan lain yang lebih dekat dengan rumah dan keluarga mereka di kampung.
WARIS PEMUSNAH PELESIT
Alor Setar

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Forum/20140115/fo_01/Usah-layan-kerenah-di-Kuin#ixzz2qYPFQh36
© Utusan Melayu (M) Bhd