Bimbang politik diadun isu agama
SHAH ALAM - Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyuarakan kebimbangan terhadap politik negara ini berikutan isu politik kini ‘diadun’ dengan isu agama.
Menurutnya, perkara itu boleh dilihat pada pendirian pihak berkuasa agama dalam menangani isu penganut agama bukan Islam memasuki masjid dan penganut agama Islam memasuki gereja.
“Pihak berkuasa agama bimbang apabila ada orang Islam pergi ke gereja. Risau nanti mereka terpengaruh dengan Kristian. Peliknya kenapa dulu mereka menghalang orang bukan Islam masuk ke masjid? Apakah mereka juga bimbang bukan Islam terpengaruh dengan Islam?” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai perkembangan isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama yang disyaki wujud gerakan memesongkan akidah orang Islam.
Ogos tahun lalu, isu larangan terhadap bukan Islam memasuki masjid menjadi isu hangat selepas Anggota Parlimen Serdang Teo Nie Ching memasuki surau di Kajang bagi menyampaikan sumbangan.
Jais antara pihak pertama dilaporkan mengkritik tindakan itu atas alasan orang bukan Islam tidak dibenarkan memasuki masjid dan surau kerana mereka dikategorikan seperti wanita yang didatangi haid.
Mengulas lanjut, Dr Asri berkata larangan pihak berkuasa agama itu menjadikan orang ramai semakin tidak faham dengan politik negara ini apabila ia ‘diadun dengan agama’.
“Kalaulah masuk ke gereja mempengaruhi seseorang kepada Kristian, patut masuk masjid akan mempengaruhi seseorang kepada Islam. Mengapa kita halang? Apakah kita tidak suka mereka terpengaruh dengan Islam?
“Akhirnya, kita pening siapa yang jujur, siapa yang sebaliknya. Siapakah yang hendak menegakkan keadilan dan siapakah yang hendak bermain dengan isu?” katanya.
Menurutnya, antara jalan penyelesaian dicadangkan pengajaran dan dakwah di negara ini perlu disemak semula.
“Islam sebagai agama hujah, pengajaran dan dakwah Islam sepatutnya mampu menangani isu berkenaan tanpa memerlukan tindakan seumpama itu daripada Jais.
“Bukan hendak mmpertikai Jais, namun untuk renungan kita umat Islam di Malaysia; sehingga bila kita hendak bergantung dengan undang-undang?. Ertinya, pengajaran dan dakwah kita perlu disemak semula,” kata beliau.
No comments:
Post a Comment