Anwar The Renaissance Man, Pas plastik dan P. Pinang milik UMNO!
Oleh Zaini Hassan
SATU jam 45 minit Brother Anwar Ibrahim berucap dalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kelmarin. Seperti biasa, itulah Anwar Ibrahim. Semasa dia menjadi Timbalan Perdana Menteri dulu dan Menteri Kewangan dan sebelum itu Menteri Pelajaran, ucapannya cukup berbunga-bunga dan berfalsafah.
Dia memang pandai bermain dengan ayat sejak dulu lagi. Kadang-kadang semasa mengikuti beliau membuat liputan dalam dan luar negeri dulu, kami sudah cukup ‘masak’ dengan cara ucapannya ditulis.
Difahamkan ramai penulis ucapannya, pada masa itu. Tapi yang pasti, beliau mahu ucapannya itu ditulis dalam bahasa yang tinggi, berjargon, berfalsafah – yang kadang kala para wartawan yang mahu menulis beritanya, pening lalat.
Semasa membela diri (yang tidak boleh disoal balas), Anwar membacakan keterangannya. Pernyataan itu bertaip setebal 32 muka surat dan seperti kebiasaan, menyelitkan beberapa potongan ayat al-Quran, ucapan bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela, Shakespears dan banyak lagi.
Anwar menyelit kata-kata Mandela? Dia mahu dikenali sebagai Mandela Malayakah?
Itulah Anwar yang kita kenali. Jika dia menggunakan bahasa Inggeris, bahasa yang digunakan cukup tinggi, berbeza dengan bosnya masa itu, Dr. Mahathir yang hanya menggunakan bahasa paling sempoi, baik Melayu atau Inggeris.
Anwar mahu orang mengenalinya sebagai the renaissance man, atau manusia madani atau pembaharuan di zaman milenium ini. Buku yang ditulisnya juga ada kaitan dengan renaissance bertajuk The Asian Renaissance.
Renaissance man di zaman pertengahan dulu ialah Michelangelo. Antara ukiran patung paling bernilai Michelangelo ialah bernama David. David ialah lelaki muda yang berdiri sambil berbogel bulat. Patung David ada di hadapan Galeri Accademia, Florence, Itali.
Leonardo da Vinci juga dikenali sebagai the Rennaissance man. Leonardo juga ada melukis gambar tersohor Vitruvian Man, seorang lelaki berbogel bulat dalam keadaan mendepa tangan dan kaki.
Mengapa Michelangelo dan Leonardo suka lelaki berbogel bulat dan anak-anak muda yang tampan? Untuk keterangan lanjut baca biografi kedua-dua tokoh zaman pertengahan itu dan untuk gambar patung David dan lakaran Vitruvian Man lihat: http://en.wikipedia.org/wiki/Renaissance.
Kelmarin, di hari pertama Anwar dipanggil membela diri – dia membela diri dalam kandang tertuduh – yang tidak memerlukan dia mengangkat sumpah. Satu persatu dia mula menghentam. Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah, hakim yang gagal dinyahkannya, adalah orang yang paling teruk kena hentam.
Seperti biasa juga dia menganggap perbicaraannya penuh dengan konspirasi politik. Perlu diingat ini adalah pertuduhan keduanya membabitkan kes liwat. Sekali mungkin benar, tapi ini sudah dua kali.
Hakim kelihatan menggeleng kepala beberapa kali mendengar asakan Anwar. Sedangkan sepanjang tempoh perbicaraan kes liwat membabitkan Mohd. Saiful Bukhari Azlan itu, hakim yang mendengar perbicaraannya telah membenarkan penangguhan sebanyak kira-kira lebih 55 kali.
Rakyat sendiri berang kerana kes itu terlalu kerap ditangguhkan. Perlu diingat perbicaraan itu dijalankan dengan wang rakyat. Jika di United Kingdom setiap saat waktu perbicaraan akan dikira sebagai kos membabitkan wang rakyat. Lagi pun dalam undang-undang ada istilah berbunyi justice delayed is justice denied atau keadilan yang dilewat-lewatkan ialah seperti menafikan keadilan itu. Rakyat mahu kes itu diselesaikan secepat mungkin.
Yang kita tahu, hakim begitu toleran (bertimbang rasa) dalam kes ini dan mengikut kehendak political games Anwar dan Karpal Singh.
Diandaikan kes ini membabitkan orang biasa macam kita, macam mana agaknya? Mungkin hukuman akan dijatuhkan dengan begitu cepat sekali.
Alahai...
Perjuangan plastik Pas
SAYA cukup hairan Pas tidak respons langsung dengan isu cubaan memurtadkan kanak-kanak Melayu Islam di Jalan Klang Lama yang didedahkan minggu lalu.
GAMIS, atau Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia, yang dikaitkan dengan Pas juga senyap menyepi dalam bulan Ramadan Al-Mubarak ini.
Biasanya merekalah yang lantang.
Masing-masing tidak berani ke hadapan bagi memperjuangkan isu akidah umat Islam ini. Isu Gereja Methodist Damansara Utara (DUMC) juga disenyapsepikan oleh mereka.
Isu konsert di I-City Selangor pun tiada siapa pun yang tergerak hati untuk membuat demonstrasi (yang lazimnya dipekikkan sebelum ini).
Baju kuning Bersih kan masih ada lagi dalam almari, pakai baju itu dan berdemolah di situ.
Banyak perkara yang tidak betul dalam Selangor sekarang terus didiamkan, seolah-olah tiada apa yang berlaku.
Jika semasa kerajaan dulu, pandai pula mereka bising itu dan ini, tapi kini mereka terus berdiam diri – walaupun ia membabitkan soal agama kepercayaan mereka sendiri.
Tapi yang peliknya, dalam ceramah-ceramah, mereka masih lagi terus-menerus menghentam itu dan ini, walaupun orang yang dihentam itu tidak lagi berkuasa di negeri yang mereka perintah itu.
Alahai, sedihnya bangsaku ini. Perjuangan mereka selama ini hanya bersifat plastik.
Ketua Menteri Pulau Pinang untuk UMNO?
SEBAGAI orang media (arus perdana), saya pun kurang arif kenapa dan mengapa Koh Tsu Koon selaku Presiden Gerakan dan Pengerusi BN Pulau Pinang kena gasak sakan.
Kiri kanan dia kena hentam. TV (arus perdana) pun menyiarkan cerita dia dihentam. Masa dia bagi penjelasan pun, dia kena hentam.
Apa cerita ni?
Sepatutnya BN Pulau Pinang jangan buat kecoh. Tumpuan ialah mengambil balik negeri itu. Yang kecoh sekarang ialah Lim Guan Eng. Mengapa beliau disenyapkan sahaja?
Sepatutnya perbincangan sekarang ialah untuk memberi balik pusingan Ketua Menteri kepada UMNO yang menang semua kerusi yang ada dalam DUN sekarang.
Jika semua pihak setuju UMNO akan menjadi Ketua Menteri selepas pilihan raya umum kelak ini, saya yakin Pulau Pinang akan berjaya diambil semula.
Untuk rekod, kedudukan kerusi dalam DUN Pulau Pinang sekarang ialah: UMNO 11 kerusi, Gerakan (0), MCA (0), MIC (0). DAP (19), PKR (19) dan Pas (1).
Jika semua pihak setuju maka, undi Melayu yang diberi kepada PKR itu akan kembali kepada UMNO dan UMNO pastinya akan menerajui semula negeri itu kelak.
Walaupun ada yang kata idea ini seperti mimpi di siang hari atau mustahil kerana orang Cina tidak akan bagi, tapi dalam politik ia boleh berlaku.
Tak payah bising-bising. Gerakan jangan buat kecoh. Senyap dan tumpukan kepada pilihan raya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment