Tuesday, August 9, 2011

asrama


Jangan gelapkan masa depan anak bangsa

DATUK BADRUL HISHAM ABDUL AZIZ ialah bekas Ahli Parlimen Hulu Langat


Empat orang wakil alumni Asrama Yayasan Selangor, berkumpul di hadapan asrama menyatakan bantahan dan rasa sedih apabila pihak Yayasan Selangor ingin merobohkan Asrama Tun Doktor Ismail (lelaki) dan Asrama Toh Puan Norashikin (Perempuan) di Kuala Lumpur. - utusan/ Amin Farij Hasan

Salam dan selamat berpuasa kepada Yayasan Selangor (YS) dan para pentadbir atau pengurusnya yang bijaksana. Saya menulis dan meluahkan rasa hati ini selaku bekas pelajar YS, anak YS pertama menjadi Ahli Lembaga Pemegang Amanah dan anak Selangor jati yang terhutang budi kepada kerajaan negeri (yang dahululah pastinya).

Keputusan YS untuk menutup dua buah asrama pusatnya iaitu Asrama Tun Dr. Ismail - ATDI (lelaki) dan Asrama Toh Puan Norashikin - ATPN (Perempuan) di Kampung Pandan, amat menghiris hati.

Penutupan kedua-dua asrama berkenaan dan kemudiannya memindahkan pelajar ke asrama-rama daerah seperti di Klang dan Sabak Bernam adalah sesuatu yang bertentangan dengan dasar dan matlamat penubuhan YS pada tahun 1970.

Jika Allahyarham Datuk Harun Idris masih ada... dia pasti akan menitis air mata kerana usahanya membuka asrama pertama YS pada tahun 1971 iaitu Asrama Dr. Latiff (ADL) di Pesiaran Gurney Kuala Lumpur selaku perintis, diikuti ATDI dan ATPN mahu dinyahkan begitu sahaja.

Tokoh cendekiawan dan pendidikan negara, Tan Sri Ainuddin Wahid selaku pemegang amanah yang terkanan dan paling lama berkhidmat juga pasti geleng kepala memikirkan tindakan YS yang mengundur ke belakang kerana mahu menghantar pelajar sedia ada di bandar raya Kuala Lumpur kembali ke sekolah luar bandar.

Bekas-bekas penghuni asrama YS yang kini berjaya meletakkan diri di teraju-teraju utama, seperti Datuk Dr. Jamil Maah (Timbalan naib Canselor Universiti Malaya), Datuk Yusli Yusof (Bursa Saham), Hud Abu Bakar (arkitek terkemuka), Lt. Kol Emilia Kamaruddin (juruterbang wanita pertama negara), rakan-rakan doktor yang memiliki hospital (bukan sekadar klinik) sendiri dan ratusan usahawan dan penjawat lain pasti terasa hiba dan sedih juga dengan pendirian dan keputusan YS yang pelik ini.

Luahan rasa hati masing-masing yang tersiar dalam facebook Alumni Yayasan Selangor serta Asrama Dr. Latiff Alumni Network (ADLAN) menjadi bukti kepada keresahan, kerisauan dan rasa tidak setuju mereka terhadap langkah merobohkan asrama-asrama berkenaan.

Bekas penghuni Asrama Dr. Latiff adalah yang lebih terasa kerana asrama perintis dan berjasa di tebing Sungai Klang itu sudah lama menjadi sejarah kerana memberi laluan penambahbaikan laluan air dan laluan trafik di kawasan itu.

ADL memang tidak dapat bertahan lagi dan sebagai pengubat, ahli alumni sering berkata: "Tak apalah sebab ATDI dan ATPN masih ada..."

Namun ATDI dan ATPN pun kini mahu dirobohkan dan tidak kedengaran langsung usaha untuk menggantikan kerana YS berpendapat menghantar para pelajar ke sekolah mana sekalipun adalah sama sahaja kerana semua guru berijazah.

Demikianlah fahaman pentadbir YS seperti mana diuar-uarkan Pengurus Besarnya sendiri, Ilham Marzuki. Kata Ilham, jiran selokasi saya di Bandar Baru Bangi, anaknya yang dipindahkan dari Malay College Kuala Kangsar (sekolah kebanggaan beliau sendiri) tetap cemerlang walaupun belajar di Sekolah Menengah Jalan Tiga, Bandar Baru Bangi!

Saudara Ilham... fahamilah bahawa Sekolah Menengah Jalan Tiga itu sebenarnya adalah sekolah dalam bandar yang pada asalnya mahu dijadikan sekolah berasrama penuh oleh kerajaan pusat. Itulah sebabnya sekolah itu ada asrama.

Namun oleh kerana keperluan mendesak dan SM Jalan Dua BBB tidak dapat menampung permintaan bilangan pelajar yang begitu besar dan terus meningkat, sekolah itu dijadikan sekolah harian biasa.

Oleh kerana sekolah itu mempunyai kemudahan asrama, saya selaku Ahli Parlimen ketika itu, dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah bagi pihak YS telah berbincang dengan pihak Pejabat Pelajaran Daerah dan juga sekolah untuk menempatkan 20 orang tajaan YS di sekolah itu.

Pada mulanya, dicadangkan para pelajar dari sekitar Hulu Langat sahaja diambil kerana sekolah-sekolah menengah amat terhad dan pengangkutan awam ke sekolah amat sulit. Cadangan diterima dan mulalah pelajar-pelajar tajaan YS bersekolah di situ.

Mereka pula hanya mempunyai 3A dan 2B dalam Penilaian Darjah Lima kerana yang dapat 4A atau 5A sudah ada sekolah-sekolah tertentu yang berminat. Jika pelajar dengan 3A dan 2B ini tidak diberi peluang, mereka mungkin terus menjadi penoreh seperti ibu bapa mereka sahaja ataupun meningkat sedikit menjadi pekerja kilang di sekitar Beranang dan Bandar Baru Bangi.

Pelajar-pelajar berkenaan berjaya meningkatkan prestasi dengan sekolah terpilih itu. Sekolah Menengah Jalan Tiga memang terkemuka di Selangor dan kerana itulah ia menjadi rebutan.

Saya tak tahu pula anak Ilham masuk ke sekolah itu kerana berhampiran dengan rumahnya ataupun melalui kuota YS (harap-harap tidaklah). Jadi sekolah itu memang terkemuka dan menjadi pilihan.

Jika Ilham percaya dan yakin bahawa semua sekolah menengah sama sahaja kerana guru-gurunya berijazah, kenapa anak beliau tidak ditempatkan ke Sekolah Menengah Ungku Hussin di kampung halamannya di Semenyih? Saya amat yakin, Ilham sendiri tidak mahu menghantar anaknya ke sana!

Bukan bermaksud mahu menghina sesuatu sekolah, saya percaya para ibu bapa 463 pelajar ATDI dan ATPN sekarang pun tidak mahu anak-anak mereka di hantar ke sekolah-sekolah di Sabak Bernam, Klang atau Kuala Kubu Baharu, apatah lagi Batang Berjuntai, asrama dicadangkan menempatkan 1,500 pelajar. Kalau ke desa-desa itu, mereka boleh hantar sendiri tanpa perlu urusan YS.

Khabarnya, mulai tahun depan, tiada pengambilan pelajar baharu ke tingkatan satu kerana perobohan kedua-dua asrama itu. Pelajar sedia ada pula mahu diselitkan ke asrama di sekolah masing-masing.

Saya dimaklumkan bahawa Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan tidak dapat memenuhi hasrat YS ini kerana kekangan dan kepadatan di asrama sekolah-sekolah berkenaan.

Apa pilihan yang ada pada YS selain daripada menyewa bangunan untuk dijadikan asrama? Ada bajet atau ada duit ke? Kalau setakat gunakan duit hasil penjualan tapak asrama pusat tu... jawabnya habis tak tentu fasal sajalah wang yang ada!

Empat tahun lagi, bermakna YS tidak akan ada pelajar luar bandar untuk dicemerlangkan di bandar kerana tak ada asrama. Apakah fungsi YS ketika itu... penjual bangunan dan tanah yang disediakan oleh Tan Sri Muhammad Muhd. Taib dan Tan Sri Abu Hassan Omar (dua bekas MB yang prihatin)?

Wahai rakan-rakan baharu di YS... inilah akibatnya YS nyahkan pegawai-pegawai berjiwa besar yang mengetahui dan menjiwai semangat Datuk Harun dalam yayasan. Mereka faham akan hasrat Datuk Harun, hasrat orang Melayu di kampung dan ibu bapa serta anak-anak YS sendiri amat bangga dengan peranan YS.

Memetik perbualan saya dengan Datuk Jamil Maah baru-baru ini, katanya, "Kalau YS tak kutip Abang Jamil pada tahun 1971 dulu, Abang mungkin kerja kilang sekarang ni." Renungkanlah.

YS juga pernah terlibat dengan penubuhan Kolej Inpens dan Univeristi Industri Selangor (Unisel). Kolej Inpens dijadikan landasan kedua untuk menampung para pelajar lepasan sekolah menengah yang tidak berjaya mendapat tempat yang lebih tinggi.

Kerana itu Inpens menyediakan kursus peringkat sijil dan diploma. Ini termasuklah para pelajar lepasan tajaan YS yang pernah tinggal di asrama-asramanya. Unisel pula ditubuhkan sebagai landasan yang menyambungkan pelajar Inpens dan institusi-institusi seumpamnya meneruskan pengajian peringkat ijazah. Ringkasnya ada kaitan dari sekolah menengah hingga ke universiti.

Sekarang Inpens terumbang-ambing dan Unisel sedang menghadapi masalah kepimpinan kerana tekanan politik.

Saya berharap YS juga tidak dipolitikkan atau mempolitikkan diri sendiri. Tindakan membawa Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tujuan politiknya seperti pada 19 Julai lalu harus dihentikan. Biarlah YS hadkan peranannya kepada urusan pendidikan sahaja, walaupun Pengurus Besar boleh terus mengagumi parti serban yang ditaksubinya.

Saudara Ilham dan rakan-rakan, lupakan fahaman politik kita, sebaliknya perjuangankanlah amanah sebenar yang diletakkan di atas bahu masing-masing.

Saya masih ingat betapa bangganya kami diberikan sebuah banglo di Kampung Pandan sebagai pejabat Persatuan Anak Yayasan Selangor (PAYS) dahulu. Kami akan tetap mengingati tapak itu dan saya cukup khuatir jika tapak asrama pusat Kampung Pandan nanti dibasahi kencing para alumni YS.

Saudara Ilham, renungkanlah... YS telah jauh menyimpang. Saya tidak mahu sentuh lagi mengenai perbelanjaan sempena sambutan 40 tahun YS. Muhasabahlah. Saya juga berdoa, agar roh Datuk Harun sentiasa tenteram...

No comments:

Post a Comment