Jalan Tok Guru: Minta Nik Aziz berundur?
oleh Yulpisma Asli
pengarang@utusan.com.my
Penulis ialah Ketua Biro Utusan Malaysia di Kelantan.
"PANDAI betul pemimpin Pas Kelantan, dia namakan Jalan Tok Guru supaya Nik Abdul Aziz (Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Nik Mat) letak jawatan. Ini kerana, dia menjadi liabiliti kepada parti Pas dan tidak ada mana-mana pemimpin yang berani menegurnya apabila mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh menjejaskan Pas."
Demikian kenyataan seorang teman dalam nada bersahaja tetapi penuh makna baru-baru ini mengenai tindakan Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menukar nama Jalan Pengkalan Chepa kepada Jalan Tok Guru.
Sebelum ini, sebuah bazar di Jalan Sultan Ibrahim telah dinamakan Bazar Tok Guru dengan alasan memberikan penghargaan kepada tok-tok guru yang ada di negeri ini.
Pun begitu, pembinaan bazar itu oleh Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) diselubungi pelbagai kemelut dikatakan berikutan kegagalan kerajaan Pas negeri tidak menunaikan janji-janji yang dibuat kepada ratusan peniaga di Pasar Lama MPKB menjelang pilihan raya, selain dakwaan penyalahgunaan wang rakyat.
Mengenai Jalan Pengkalan Chepa, pertukaran nama jalan tersebut mungkin tidak disedari oleh banyak pihak kerana tiada hebahan umum dibuat mengenainya.
Tidak dinafikan, kuasa untuk menama atau menukar nama pada mana-mana jalan di bandar Kota Bharu terletak di bawah bidang kuasa MPKB-BRI selaku pihak berkuasa tempatan.
Umum sedia maklum, bahawa amalan meletakkan nama seseorang individu atau tokoh pada jalan, bangunan atau apa sahaja, dibuat sebagai menghormati jasa dan pengorbanannya. Lazimnya, ia dibuat selepas individu atau tokoh terbabit sudah tidak ada atau telah meninggal dunia.
Lantaran itu, tindakan menukar nama Jalan Pengkalan Chepa kepada Jalan Tok Guru tentulah mengundang pelbagai andaian di kalangan banyak pihak. Ini kerana, bagi masyarakat umum atau sesiapa sahaja yang datang ke Kelantan, gelaran Tok Guru tidak merujuk kepada mana-mana tok-tok guru di pondok atau madrasah.
Bagi rakyat Kelantan, Tok Guru adalah Nik Abdul Aziz dan Nik Abdul Aziz adalah Tok Guru. Jika ada pun gelaran itu merujuk kepada tok guru sesebuah pondok, selalunya ia akan disebut bersekali dengan nama individu terbabit.
Walaupun ia mungkin cuba dinafikan oleh pihak MPKB-BRI, namun itulah hakikat yang perlu diterima iaitu Tok Guru di Kelantan merujuk kepada Nik Abdul Aziz.
Justeru, jika persepsi rata-rata rakyat sudah sedemikian, maka apakah niat sebenar pihak MPKB-BRI menjenamakan semula Jalan Pengkalan Chepa kepada Jalan Tok Guru?
Jika menghormati tok-tok guru, kenapa perlu menunggu sehingga lebih 20 tahun baharu MPKB-BRI hendak memberikan penghargaan sedemikian rupa kepada mereka?
Seperti kata Pengerusi Biro Aduan MCA Kota Bharu, Ong Han Sein, kenapa baharu sekarang kerajaan Pas Kelantan hendak memberikan 'pengiktirafan' sedemikian?
"Sebut Tok Guru, mestilah orang merujuk kepada Menteri Besar. Takkanlah dah bagi jalan nama dia, dia masih hidup lagi kerana kebiasaannya kita meletakkan nama seseorang pada jalan atau sesuatu premis selepas dia telah meninggal dunia sebagai tanda mengenang jasanya. Jika bukan Menteri Besar, jalan itu rujuk kepada siapa, kenapa baru sekarang nak buat?" soalnya pandang lebar.
Begitu juga pandangan yang disuarakan oleh Ketua Pemuda UMNO Kota Bharu, Rosmadi Ismail apabila melihat pertukaran nama itu lebih bermotifkan politik bagi mempromosi parti atau individu tertentu dalam Pas.
"Kita mahu tahu kenapa nama jalan ini ditukar dan tok guru mana yang dimaksudkan oleh MPKB-BRI. Kalau hendak ditujukan kepada tok guru pondok, di sepanjang jalan ini tidak ada pondok.
"Sekiranya ia ditujukan kepada Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, namakan terus Jalan Tok Guru Nik Aziz. Tetapi lazimnya untuk mengenangkan nama tokoh ia hanya diberi selepas tokoh itu bersara atau pun meninggal dunia," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Mungkin benar apa yang dinyatakan rakan penulis itu, bahawa mesej tersirat di sebalik penjenamaan semula Jalan Pengkalan Chepa kepada Jalan Tok Guru sebenarnya gesaan halus pihak tertentu dalam Pas Kelantan sendiri supaya Nik Abdul Aziz segera berundur dari arena politik di Kelantan, walaupun Menteri Besar itu pernah membayangkan kesediaannya untuk terus bertanding.
Ini kerana, selain faktor usia, Nik Abdul Aziz kebelakangan ini juga dilaporkan kerap tidak dapat menghadiri majlis-majlis rasmi akibat masalah kesihatan.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment