Syukuri nikmat kelangsungan Felda
LEMBAGA Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang diusahakan 112,635 keluarga sejak 50 tahun lalu bakal melangkah ke zaman baru demi kelangsungan tanah rancangan dan juga melindungi masa depan generasi baru Felda.Kini merangkumi 1.6 juta penduduk, warga Felda beralih dari kehidupan yang penuh jerit pahit di awal sejarah peneroka bagi membasmi kemiskinan kepada kehidupan lebih sejahtera dengan menjana kekayaan di peringkat glokal dan global.
Datuk Seri Najib Tun Razak yang mewarisi wawasan dan azam Allahyarham ayahanda beliau yang mengasaskan Felda berharap, 50 tahun berikutnya bakal membuka minda warga Felda bukan sahaja sebagai peneroka malahan selaku juara industri sawit negara dan dunia.
Tidak cukup dengan bermacam imbuhan, bonus dan duit raya, semalam tanggal 8 Mei 2012 menyaksikan Perdana Menteri mengumumkan satu lagi durian runtuh untuk semua pringkat warga Felda.
Di hadapan 50,000 warga peneroka dan keluarga mereka di Felda Jengka 8, agihan RM1.689 bilion diumumkan untuk setiap ketua keluarga, isteri dan juga anak-anak.
Sebanyak RM15,000 bakal diagihkan mengikut fasa iaitu RM5,000 untuk ketua keluarga untuk fasa pertama, disusuli fasa kedua RM5,000 untuk isteri dan fasa ketiga RM5,000 untuk generasi kedua Felda.
Tidak dilupakan, para pegawai dan kakitangan Felda yang masing-masing bakal menerima bonus dua bulan setengah gaji.
Maka, tidak menghairankan apabila ramai yang mencemburui nasib warga Felda kini yang menikmati pelbagai imbuhan dan kemewahan selepas berpuluh tahun peneroka membanting tulang dan bermandi keringat.
Bagaimanapun, tidak kurang juga yang cuba mengambil kesempatan ketika Felda berada di kemuncaknya dengan menghasut peneroka dan generasi muda dalam usaha merampas kuasa dan juga 'menumpang' kenikmatan hasil tanah-tanah rancangan Felda di seluruh negara.
Melalui dakwaan berlakunya penipuan oleh kerajaan, menidakkan hak peneroka mahupun menimbulkan rasa tamak dengan menuntut imbuhan lebih besar daripada yang diumumkan, sejauh manakah warga Felda akan termakan dengan hasutan dan helah pihak yang mempunyai agenda tersembunyi itu?
Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Anuar Abdul Manap yang turut serta ketika pengumuman bersejarah Perdana Menteri itu menyatakan rasa syukur dan terima kasih di atas satu lagi nikmat yang dapat dikongsi bersama seluruh warga Felda.
"Apa yang lagi menarik berbanding pengumuman imbuhan lain sebelum ini, Perdana Menteri bukan sahaja memberikannya kepada ketua keluarga, malahan kepada isteri dan juga generasi kedua Felda.
"Inilah transformasi yang dikata-katakan, kita dapat melihat sendiri keprihatinan yang diberikan beliau dan kerajaan kepada semua peringkat," katanya.
Dengan pengumuman itu tegasnya, bukan sahaja satu generasi yang merasa pulangannya malahan generasi baru juga mendapat durian runtuh.
Walaupun beliau merasakan agihan imbuhan kali ini sebagai adil kepada semua peringkat, Anuar mengakui masih ada suara-suara sumbang yang menyatakan ianya tidak mencukupi dan sepatutnya lebih daripada apa diumumkan.
"Perdana Menteri sudah bagi imbuhan dan akan ada banyak lagi insentif lain seperti bonus dan duit raya tetapi bagi golongan itu, ia tetap tidak mencukupi.
"Duit yang diberikan ini hasil kejayaan Felda sendiri, bukannya duit kerajaan atau duit lain tetapi fikirlah sendiri, jika Perdana Menteri dan kerajaan tidak jalankan tugas dengan betul, mampukah kita nikmati semua ini," soal beliau.
Menurutnya lagi, pembangkang sememangnya tidak mahu majlis pengumuman imbuhan terbaru itu berlaku dan mereka juga telah buat bermacam usaha untuk menggagalkan proses penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) di Bursa Malaysia.
Tegasnya, warga Felda yang terlibat juga tidak perlu disuruh keluar dari Felda tetapi diharap dapat menilai semula segala manfaat yang sudah mereka sekeluarga nikmati selama ini.
"Saya nasihatkan mereka duduk bersama isteri dan anak-anak, renung kembali dan bincang dengan keluarga apa yang anda telah dapat dari Felda selama ini.
"Selepas menilai semula segala manfaat dan nikmat hasil dari Felda, golongan itu perlu membandingkannya dengan apa yang tidak dirasai individu dan keluarga di luar tanah rancangan. Kepada yang suka tabur fitnah, cukup-cukuplah buat kerja gila ini," ujarnya.
Bagi Profesor Ekonomi, Fakulti Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Datuk Amir Baharuddin pula, mereka yang bakal menerima imbuhan besar itu sepatutnya berterima kasih kepada pemerintah.
"Bukannya mudah untuk dapat imbuhan besar seperti ini. Oleh itu, warga Felda termasuk kakitangannya patut berterima kasih terutamanya di kalangan mereka yang memang memerlukannya.
"Mungkin ada yang dalam kesusahan ketika ini, mempunyai keluarga besar, perbelanjaan pendidikan anak di sekolah dan universiti mahupun untuk puasa dan raya tidak lama lagi, bertuah tiba-tiba dapat imbuhan," katanya.
Tambahnya, di samping kini memiliki harta sendiri, peneroka juga mendapat bantuan serta imbuhan dan tidak lama lagi FGVH pula bakal disenaraikan di Bursa Malaysia.
Oleh itu tegasnya, peneroka perlu bersyukur dan berterima kasih dengan semua yang mereka perolehi kini berbanding orang lain yang tidak menikmati kelebihan yang sama.
"Pekebun luar pun tidak merasa seperti warga Felda, pegawai tinggi lain juga tidak merasa, adik-beradik sekalipun tidak akan berikan wang sebanyak yang diumumkan itu.
"Namun, orang luar juga tidak boleh iri hati kerana generasi awal peneroka Felda telah banyak menderita menebas hutan dan lalang dengan upah tidak seberapa serta makan nasi berlauk kuah," ujarnya.
Beliau bagaimanapun mengingatkan, jangan ada warga Felda yang tidak bersyukur dengan apa yang dinikmati kini mahupun tidak berterima kasih kepada orang yang memberi.
"Kalau nak lihat (kelebihan dinikmati), mereka dapat bandingkan diri dengan orang di luar. Tapi, kalau tidak mahu 'lihat', bacalah al-Quran.
"Janganlah lihat 'ada udang sebalik batu', orang memberi kita perlu menerima dan berterima kasih," tegasnya.
Amir turut menyanggah pemberian terbaru Perdana Menteri kepada warga Felda itu sebagai taktik memancing undi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
"Pasti ada yang akan kata ini taktik pancing undi tapi mungkinkah 'umpan' begitu mahal untuk 'hasil tangkapan' yang tidak banyak?
"Jika mahu pancing undi, tentu semua rakyat menerima 'umpan mahal' juga. Imbuhan baru ini adalah hasil usaha dan kejayaan Felda sendiri," jelasnya.
Oleh itu, beliau sekali lagi mengingatkan warga Felda ingat kepada Allah dan bersyukur dengan segala nikmat dan kelebihan yang diterima sehingga kini.
No comments:
Post a Comment