Hairan bayaran jualan kayu getah tidak sama
Saudara pengarang,SAYA ingin menarik perhatian pihak pengurusan Felcra Berhad mengenai ketidaktelusan soal pembayaran wang hasil jualan kayu getah di kalangan peserta Felcra Sungai Kambang, Lipis.
Untuk pengetahuan pengurusan berkenaan, seramai lapan daripada 56 peserta masih tidak memperoleh wang hasil jualan kayu getah bernilai hampir RM18,000 seorang.
Apabila salah seorang peserta bertanya isu berkenaan, agensi itu tidak menyatakan sebab yang konkrit, apatah lagi kami penduduk miskin amat mengharapkan bantuan menerusi pendapatan berkenaan untuk menyara kehidupan keluarga.
Saya amat berbesar hati apabila Felcra Berhad atau mana-mana agensi memajukan kawasan luar bandar dengan tanaman komoditi sawit dan getah kerana projek berkenaan antara kemudahan yang melestarikan kebajikan penduduk miskin di luar bandar.
Tetapi, sejak dari dahulu lagi, agensi berkenaan seolah-olah tidak telus dalam melaksanakan pembayaran dividen dan agihan pendapatan seperti sumber jualan kayu getah.
Malah, peserta terbabit tertanya-tanya status pembayaran dividen yang tidak sama nilainya antara sesebuah tempat (projek) di daerah Lipis.
Dalam konteks pembayaran dividen, keluasan projek sama, tetapi peserta berkenaan diberi dividen yang berbeza nilai.
Contohnya, ada yang menerima RM700, RM800 dan RM15,000 malah, ada yang mencecah angka yang lebih lumayan apabila dibayar secara berperingkat.
Kekeliruan itu berikutan ketidaktelusan pengurusan Felcra Berhad, sekali gus memberi impak psikologi dan rasa tidak puas hati di kalangan peserta yang rata-ratanya terdiri daripada warga emas dan penduduk miskin lain.
Ketidaktelusan dan kelemahan beberapa perkara agensi berkenaan akan memberi kesan pemikiran penduduk luar bandar dan masalah berkenaan mudah 'dicium' parti pembangkang sebagai umpan memancing undi pada pilihan raya umum tidak lama lagi.
Saya bukan hendak memperlekeh agensi berkenaan, tetapi usaha penambahbaikan sistem pengurusan pembayaran tersebut serta hal lain perlu menepati acuan dasar kerajaan negeri bagi merealisasikan kemiskinan sifar menerusi tanggungjawab semua agensi kerajaan.
Harapan kami agar kepimpinan Barisan Nasional (BN) Pahang memberi fokus masalah berkenaan membabitkan agensi kerajaan menerusi kekerapan agenda 'turun padang' menyelami masalah peserta atau penduduk luar bandar.
No comments:
Post a Comment