Monday, May 28, 2012

air terengganu

MB Selangor mahu rakyat ada pilihan selain air Pahang
RISWANDI RAZAK
28 Mei 2012
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
SHAH ALAM - 'Perang' isu air melibatkan Kerajaan Selangor dan Kerajaan Pusat berterusan dengan penegasan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini bahawa rakyat wajar ada pilihan lebih murah bagi mendapatkan bekalan air bersih, selain  projek penyaluran air Pahang menerusi pembinaan Loji Rawatan Langat 2.

Oleh itu katanya, cadangan penyaluran air dari Tasik Kenyir, Terengganu merupakan salah satu pilihan yang lebih baik.

Menurutnya, rakyat perlu mengetahui proses pembinaan projek penyaluran air dan Loji Rawatan Langat 2 dan sama ada wujud pilihan lain atau tidak.

"Kerajaan Negeri mahu tunjukan kepada rakyat bahawa ketika keputusan membawa air dari Pahang diambil, tiada sebarang pilihan lain diperbincangkan.

"Saya mahu mengimbas semula keputusan tersebut, sama ada ia satu tindakan terbaik untuk rakyat Selangor dan Wilayah Persekutuan," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas sama ada Kerajaan Negeri serius untuk melaksanakan penyaluran air dari Tasik Kenyir sebagai pilihan kedua penyaluran air dari Pahang ke Selangor.

Abdul Khalid berkata, penyaluran air dari Terengganu lebih murah kerana tidak perlu membina terowong, sebaliknya hanya perlu membina paip bersebelahan paip gas sedia ada.

"Pembinaan terowong bagi menyalurkan air dari Pahang melibatkan kos lebih tinggi berbeza dengan membina paip dari Terengganu, begitu juga pembinaan paip dari Perak ke Selangor," katanya.

Menurutnya, perkara ini akan dibincangkan dalam Forum Air pada 12 Jun ini yang turut disertai oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), golongan profesional dan wakil agensi luar negara.

Beliau berkata, cabaran Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar supaya beliau meminum air empangan tidak relevan kerana penyaluran air dari Pahang juga merupakan air mentah.

Menurutnya, sekiranya Noh bersetuju bahawa jumlah air mentah di negeri ini masih banyak, mengapa perlu dilaksanakan projek penyaluran air mentah dari Pahang.

"Loji Langat 2 adalah untuk merawat air mentah, oleh yang demikian jika Noh sendiri bersetuju bahawa air di empangan masih banyak, mengapa perlu dibawa air dari Pahang.

"Mereka kata sebelum ini, air mentah tidak boleh minum, tetapi secara lojiknya jika air mentah di Selangor tidak boleh minum bagaimana pula air mentah di Pahang," katanya.

No comments:

Post a Comment