Wujudkan 'Warisan Melayu' seperti 'Little India'
Y HUSSIN
Bandar Baru Bangi, Selangor
SEMPENA cuti panjang selepas menyambut Maulidur Rasul baru-baru ini, saya dan isteri ke Kuala Lumpur untuk mengintai peluang perniagaan. Kesempatan ini saya gunakan untuk melawat beberapa tempat menarik dan tumpuan orang ramai di KL. Ini termasuk Jalan Tuanku Abdul Rahman, Masjid India, Bukit Bintang dan KLCC.
Dalam pemerhatian, saya dapati rata-rata peniaga di kawasan ini bukan Melayu. Orang Melayu hanya berniaga di kaki lima, pinggiran gedung dan kedai. Kebanyakan mereka hanya berniaga di pasar malam di mana khemah didirikan di waktu petang dan terus berniaga hingga malam.
Saya juga memantau ke Pasar Seni dan Bangunan Aked Mara di mana terdapat Melayu berniaga tetapi tidak serancak di kedai-kedai yang terdapat di Bukit Bintang.
Seperti sedia maklum, gedung-gedung membeli belah dan kedai-kedai di KL semuanya dimiliki oleh bukan Melayu. Kalau adapun hanya tiga hingga lima peratus sahaja dimiliki Melayu. Sewa pula terlalu mahal untuk peniaga Melayu. Kalau begini sampai bila kita hendak melihat lebih ramai Melayu terlibat dalam perniagaan di bandar-bandar besar.
Saya juga ke Petaling Street dan Little India di Brickfields kerana sudah tiga tahun tidak ke sana. Tempat ini lebih cantik dan menarik berbanding apa yang saya pernah lihat dahulu. Ini kerana ia telah dinaik taraf oleh kerajaan untuk menarik pelanggan dan juga pelancong. Saya melihat identiti Petaling Street sebagai dimonopoli oleh kaum Cina dan Little India oleh kaum India.
Setelah pergi ke semua tempat ini saya bertanya kepada diri sendiri di manakah orang Melayu berniaga di KL seperti kaum Cina dan India yang masing-masing ada Chinatown dan Little India?
Apakah kaum Melayu yang terdiri daripada majoriti rakyat Malaysia tidak ada tempat untuk memperagakan ke-Melayuan kita? Haruskah dibiar bangsa kita terpinggir hinggakan tiada identiti di negara sendiri?
Saya ingin cadangkan agar kerajaan menyediakan tempat perniagaan untuk orang Melayu dengan identiti Melayu. Kerajaan perlu berkorban mencari tanah, tempat yang strategik, boleh berdaya maju serta menarik, lengkap dengan kemudahan awam. Jadikan tempat ini sebagai kawasan yang melambangkan bangsa Melayu dan juga boleh berjaya dalam bidang perniagaan.
Dapatkan tanah di tengah kota atau pinggir kota untuk usaha ini. Bina seperti 'mall' yang terdapat di dalam dan di luar negara, barisan kiri-kanan bangunan dua hingga tiga tingkat yang berunsur Melayu. Di tengahnya pula dijadikan kawasan kaki lima yang luas dihias dengan gerai-gerai kecil, berbumbung serta berudara nyaman.
Letakkan juga pondok jual barangan cenderamata seperti kain batik, songket, produk kraftangan, juga warung kopi, kafe dan restoran. Sediakan dataran dan pentas bagi upacara budaya dan surau untuk beribadat.
Jadikan ia tempat tumpuan beli belah keluarga yang beriadah di hujung minggu serta tarikan pelancong. Biarlah tempat ini nampak ada kelas dan selesa.
Kalau kerajaan telah berbelanja berjuta-juta ringgit untuk menaik taraf Petaling Street, Little India dan baru-baru ini Perdana Menteri umumkan peruntukan RM2 juta untuk sediakan Pusat Budaya India di Batu Caves, apalah kiranya kerajaan menyediakan peruntukan untuk membina kawasan 'Warisan Melayu' ini supaya kita tidak dilihat terpinggir?
Saya terkilan melihat rata-rata tidak ada satu pun pusat beli belah yang dikendalikan sepenuhnya oleh bangsa Melayu di KL. Kepada bangsaku yang telah dilimpahkan Allah dengan rezeki yang luas, lihatlah di keliling kita, bantulah usaha ini. Kita mahu bangsa kita juga berjaya.
Kepada syarikat bumiputera dan juga syarikat milik kerajaan (GLC) yang telah berjaya, inilah masanya untuk sama-sama memberi sumbangan dengan membantu kerajaan memajukan projek 'Warisan Melayu' tersebut demi maruah anak bangsa kita.
Diharap kerajaan bantulah anak bangsa kita dari kaca mata yang lebih luas, lebih besar dan lebih jauh. Bantulah mereka untuk memasarkan produk dan perkhidmatan yang terdapat di kompleks warisan ini supaya terus maju dan berkembang. Masukkan ia dalam kelendar pelancongan sebagai satu lagi tempat untuk dilawati pelancong dari dalam dan luar negara.
No comments:
Post a Comment