Kg. Baru ala Pulau Roosevelt
SAYA ingin mengucapkan terima kasih dan syabas kepada saudara Y Hussin melalui surat beliau dalam Forum bertarikh 13 Februari 2012 yang menyatakan pendapatnya bahawa orang Melayu (khususnya di Kuala Lumpur) perlu mempunyai satu kawasan khas untuk memperagakan budaya bangsa Melayu dan pada masa yang sama menjadi satu pusat atau hab untuk perniagaan mereka di Kuala Lumpur, sebagaimana kaum Cina yang mempunyai Petaling Street (atau Chinatown) dan kaum India yang mempunyai Little India, Brickfield.
Seperti saudara Y Hussin, pernah terdetik persoalan dalam minda saya pada satu ketika dulu, kenapa orang Melayu, selaku penduduk asal negara ini, tidak mempunyai satu pusat sedemikian di Kuala Lumpur?
Hasil tinjauan rambang saya, saya dapat membuat beberapa kesimpulan yang agak ‘kurang menyenangkan’ bagi saya sendiri.
* Mungkin kerana orang Melayu masih berasa ‘selesa’ dengan mentaliti bahawa seluruh negara ini adalah ‘Tanah Melayu’ jadi tidak perlu mempunyai kawasan warisan Melayu yang bersaiz kecil walaupun di Kuala Lumpur.
* Mentaliti jual tanah (terutamanya tanah bandar) kepada kaum lain untuk mendapat ‘kekayaan segera’ masih lagi bertakuk dalam pemikiran orang Melayu.
Buat permulaan, tidak perlu membina kompleks perniagaan yang besar untuk peniaga Melayu di situ tetapi MENAMBAH BAIK dan MENAIK TARAF apa yang ada. Kemudian seperti yang disarankan oleh saudara Y Hussin, kumpulkan kesemua kebudayaan dan identiti Kaum Melayu di Kampung Baru. Pelihara Kampung Baru sebagai sebuah ‘Kampung’ untuk tujuan pelancongan dan perniagaan.
Antara cadangan penambahbaikan saya adalah:
* Rumah penduduk Kampung Baru harus ditambah baik atau dinaik taraf untuk dijadikan sebagai homestay/hotel/kafe ala Kampung atau pusat pameran /galeri kraf atau budaya Melayu ataupun muzium persendirian milik tuan rumah tersebut. Sebarang renovasi harus mempunyai ciri-ciri kemelayuan. Reka bentuk boleh diambil dari rumah-rumah Melayu dari setiap negeri. Elakkan atap zink kerana ia mencacatkan pemandangan.
* Menambah baik sistem saliran/longkang dan pembetungan untuk mengelakkan banjir dan bau yang tidak diingini. Pemilik rumah juga digalakkan menanam bunga atau pokok yang redup agar kawasan Rumah Orang Melayu Kampung Baru kekal seperti yang kita dapat lihat di kampung-kampung Melayu yang mempunyai pangkin dan pokok bunga di halamannya.
* Menyediakan tempat untuk penjaja kecil Melayu di beberapa batang jalan di Kampung Baru. Mungkin di pusat komersial sedia ada iaitu di sepanjang Jalan Raja Muda Musa atau di tempat yang baharu seperti di Jalan Hamzah atau mungkin di semua jalan di Kampung Baru.
Dengan adanya penjaja-penjaja ini, maka dapat mewujudkan satu lagi kawasan Downtown Hawker untuk orang Melayu. Saya percaya dengan pengurusan yang cekap dan ditambah dengan sifat peramah dan layanan mesra dari penjaja Melayu, Downtown Hawker Kampung Baru akan terkenal dengan sendirinya, baik di dalam dan luar negeri.
Mungkin akan lebih terkenal dari Petaling Street yang kita sedia maklum, terkenal dengan sikap kurang ajar penjajanya. Jika pihak Tourism Malaysia masih berkeras mahu mempertahankan Petaling Street sebagai khazanah negara dengan mempromosikannya seantaro dunia, biarkan.
Saya yakin dengan idea kreatif dan semangat orang muda Melayu dari Kampung Baru dan juga dari luar, kita dapat mempromosikan Kampong Baru Street Mall ini dengan cara tersendiri.
* Membina bumbung tinggi di beberapa batang jalan di Kampung Baru untuk keselesaan pelawat dan pelancong , khususnya untuk ‘Kampong Baru Street Mall’. Jika kerajaan dapat memperuntukkan berjuta ringgit untuk Green Dragon Petaling Street (bumbung tinggi hijau Petaling Street), mengapa tidak dapat memperuntukkan wang untuk membina ‘ATAP’ yang bereka bentuk dan bercirikan seni bina Melayu di Kampung Baru?
* Mengawal keluar masuk kenderaan atau menghentikan terus kenderaan pelawat ke dalam Kampung Baru. Ini untuk mengelakkan kesesakan lalu-lintas dan untuk keselesaan pelancong dan pelawat itu sendiri.
Satu bangunan letak kereta bertingkat untuk kenderaan luar harus dibina di pintu masuk Kampung Baru (sama ada di Jalan Raja Muda Abdul Aziz atau di Jalan Raja Abdullah).Sediakan beberapa perkhidmatan untuk para pelawat seperti basikal sewa, beca atau buggy car berkuasa elektrik sebagai bas atau teksi untuk memasuki Kampung Baru.
Sediakan wakaf atau pangkin di tepi jalan untuk pelawat yang berjalan kaki merehatkan badan. Konsep ini telah sebenarnya telah dipraktikkan di beberapa negara barat, contohnya di Pulau Roosevelt, New York, Amerika Syarikat di mana semua kenderaan milik pelawat dan kebanyakan penduduk pulau tersebut diletakkan di sebuah letak kereta bertingkat dikenali sebagai Motorgate yang dibina sebagai pintu masuk pulau tersebut dari Roosevelt Island Bridge yang menghubungkan pulau tersebut dengan kawasan Queens.
Ini adalah untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas dan juga untuk keselesaan penduduk pulau tersebut. Untuk makluman, seperti Kampung Baru yang kini mempunyai Perbadanan Pembangunan Kampung Baru, Pulau Roosevelt juga mempunyai entiti yang hampir sama iaitu Roosevelt Island Operating Corporation.
* Sediakan tempat untuk kesusasteraan dan kesenian Melayu di Kampung Baru. Buat permulaan, tidak perlu satu bangunan besar atau ‘kompleks budaya’. Cukup dengan sebatang jalan atau dataran yang dipenuhi dengan aktiviti kesenian seperti muzik tradisional dimainkan secara langsung, panggung bangsawan dan sebagainya. Biarkan ia terbuka supaya para pelancong dapat menyaksikannya secara bebas dan santai.
* Untuk keselamatan dan ketenangan para penduduk dan pelawat, saya menyarankan agar Kampung Baru dibersihkan dari pendatang asing.
* Sifat semulajadi orang Melayu yang peramah, penyayang dan bertolak ansur harus ditonjolkan di Kampung Baru sebagai produk pelancongan.
Buatkan para pelancong yang datang berasa tenang dan selamat apabila berada di Kampung Baru walaupun tanpa kehadiran anggota polis. Jadikan Kampung Baru sebagai satu oasis di tengah hiruk pikuk kota Kuala Lumpur untuk mereka.
* Jika cadangan ini diterima, para pengendali agensi pelancongan Bumiputera/Melayu harus bekerjasama untuk mempergiatkan promosi pelancongan untuk Kampung Baru. Daripada membawa pelanggan luar negara anda ke Petaling Street dan ‘dibuli’ adalah lebih baik jika pelanggan anda dapat menikmati suasana dan layanan mesra orang Melayu sendiri.
* ‘Para Pembesar’ dan ‘Orang Kaya’ Melayu harus melihat cadangan ini sebagai satu survival orang Melayu pada masa hadapan. Mereka juga harus mengenepikan fahaman politik mereka dan bersatu demi bangsa.
Mereka juga harus ‘kuat’ untuk menolak godaan dari pemaju (terutamanya bukan Melayu) yang sentiasa mencari peluang untuk mendapatkan tanah milik orang Melayu; dan yang paling penting, mereka harus menghentikan sikap mementingkan diri sendiri agar orang Melayu tidak lagi dihalau dari tanah sendiri. Untuk ingatan semua kaum Melayu, beberapa tahun dahulu peniaga-peniaga/penjaja kecil Melayu pernah dihalau dari berniaga di satu lokasi yang amat popular iaitu di Uptown Damansara.
Jika ada pihak yang berminat untuk merealisasikan cadangan ini, sila hubungi saya di ravers_x79 @yahoo.com. Saya amat berminat untuk turut serta sebagai sukarelawan dalam projek ini, tanpa bayaran. Sekurang-kurang ini adalah jihad saya untuk membangunkan bangsa saya sendiri.
KM, Dutamas
Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment