Kematian Zulkifli belum dapat disahkan
|
|
JOHOR BAHRU 7 Feb. – Usaha pihak berkuasa Filipina untuk mengesahkan sama ada pengganas Jemaah Islamiyah (JI) kelahiran Johor, Zulkifli Hir @ Marwan (gambar) benar-benar terbunuh dalam serangan udara di selatan negara itu Khamis lepas masih menemui jalan buntu.
Menurut sumber keselamatan serantau, sehingga kini pihak berkuasa Filipina masih gagal menemui sebarang mayat di lokasi serangan udara terbabit yang terletak di kawasan hutan Pulau Jolo, selatan negara itu.
“Dakwaan kematian Zulkifli itu sehingga kini masih belum disahkan kerana mereka (tentera Filipina) sehingga kini masih gagal menemui sebarang mayat di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Katanya, penemuan mayat di lokasi kejadian adalah amat kritikal kepada sebarang usaha untuk mengesahkan sama ada Zulkifli yang dilahirkan di Muar itu, benar-benar terkorban sebagaimana yang didakwa.
Sumber keselamatan itu berkata, sebarang usaha pengesahan mayat menggunakan kaedah DNA bergantung kepada penemuan mayat.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut menghantar pegawainya ke Manila untuk mengesahkan sama ada Zulkifli merupakan salah seorang yang terkorban itu.
Khamis lepas, tentera Filipina mengumumkan Zulkifli dan pemimpin kanan pengganas Abu Sayyaf, Umbra Jumdail serta pengganas JI warga Singapura, Abdullah Ali @ Muawiyah termasuk dalam kira-kira 15 yang terkorban serangan udara itu.
Selain Zulkifli, terdapat juga laporan yang mendakwa seorang lagi pengganas rakyat Malaysia, Amin Bacho, dan Jeknal Adil yang kewarganegaraannya tidak dapat dipastikan turut terbunuh dalam kejadian itu.
Terdapat dakwaan mengatakan Jeknal itu adalah warga Malaysia, tetapi sumber keselamatan itu menafikannya dengan berkata, tiada kepastian mengenainya.
Dalam pada itu, sumber itu turut menyatakan kemungkinan mayat-mayat pengganas yang terkorban itu telah dikebumikan oleh rakan-rakan seperjuangan mereka. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment