Tuesday, February 21, 2012

jangan rampas tanah

Tun Mahathir: 'Jangan rampas tanah Melayu'
Wartawan Sinar Harian
21 Februari 2012
Tun mahathir
PANTAI CHENANG - Segala perancangan dibuat perlu diteliti semula bagi mengekalkan imej dan identiti Pantai Chenang sebagai kawasan Melayu yang boleh bersaing dengan pusat pelancongan terkemuka lain.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Pantai Chenang mempunyai tarikan tersendiri dan ramai pelancong membanjiri kawasan ini, namun ia perlu dibuat penambahbaikan terhadap kualiti perkhidmatan agar seiring perkembangan semasa.

“Carilah bentuk atau susunan yang mencerminkan budaya setempat dan negara.

“Tak perlu bangunan beratus tingkat tetapi gagal mengekalkan karakter budaya Melayu kerana akan hilang terus tarikan, atau kurang memberi impak dalam menarik pelancong seterusnya identiti itu hilang selamanya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media, selepas mengadakan perjumpaan dengan penduduk, pengusaha hotel dan peniaga sekitar Pantai Chenang yang membantah pelan pembangunan semula Pantai Chenang, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), Tan Sri Khalid Ramli.

Perjumpaan itu bagi mencari penyelesaian permasalahan dihadapi selain mendapatkan pandangan Mahathir yang begitu sinonim dengan pembangunan pulau lagenda itu.

Mahathir turut menegaskan, beliau tidak bersetuju sekiranya tanah milik orang Melayu yang bergeran dirampas semata-mata bagi pembangunan.

“Walaupun kita kekurangan hotel bertaraf bintang, tetapi kita orang Melayu seharusnya memikirkan untuk lebih maju.

“Mereka ini (pengusaha) memerlukan sokongan dan bantuan kewangan kerajaan untuk dinaik taraf dan meningkatkan kualiti dalam perkhidmatan,” katanya.

Menurutnya, untuk mendapat pengiktirafan bintang, golongan berkenaan perlu menghadapi pelbagai peringkat dan sekiranya semua itu dapat dilalui dengan baik, beliau percaya menjelang tahun 3000 akan ada hotel bertaraf enam bintang dimiliki oleh pengusaha Melayu di
Pantai Chenang.

Katanya, beliau akan cuba menasihati Pusat dalam isu ini agar pengusaha di sini tidak dihalau dari tanah mereka.

“Sekiranya kerajaan sudi membantu dalam bentuk kewangan bagi menaik taraf hotel yang ada, sekurang-kurangnya pengusaha Melayu di sini dapat survive dalam perniagaan mereka.

“Nasihat saya, biarlah ia tetap menjadi Pantai Chenang, kekalkan identitinya dan secara tidak langsung pengusaha dan peniaga di sini dapat menjana lebih sumber pendapatan sekiranya pembangunan dilakukan,” katanya.

Mahathir berkata, kerajaan harus mengkaji secara menyeluruh terutama isu membabitkan pengusaha Melayu.


Pembangunan masih kabur

Berhubung pembangunan semula Pantai Chenang, Mahathir berkata beliau juga masih kabur dan tidak mendapat bayangan mengenai status pemilik tanah dan pengusaha hotel sekitar mengenai perancangan kerajaan jika tanah mereka diambil.

Menurutnya, itu adalah perancangan kerajaan Pusat yang mahu membangunkan kawasan tersebut setanding dengan tempat pelanco-ngan antarabangsa lain.

“Sebenarnya mereka ini bimbang, bukannya tidak menyokong pembangunan yang dibuat. Kita seharusnya melihat mengenai pula-ngan dan ke mana mereka akan pergi setelah tanah diambil,” katanya.

Mahathir berkata, pihaknya akan berbincang dengan Ketua Pegawai Eksekutif Lada, Tan Sri Khalid Ramli berhubung perkara itu atas kapasitinya sebagai Penasihat Lada.

Ditanya mengenai kerjasama mungkin dibuat antara pemilik tanah dan pengusaha hotel dengan pelabur asing atau kerajaan bagi membina hotel dan pembangunan semula, Mahathir berkata, kerajaan perlu mengkaji kaedah terbaik demi menjaga kepentingan Melayu di situ.

Beliau turut berharap pemilik tanah terlibat tidak menjual tanah mereka kepada pihak lain.

“Ini adalah perkara yang tak perlu dilakukan, hartanah adalah satu bidang menguntungkan, setiap hari nilai tanah meningkat. Jadi jangan cuba untuk jual tanah kepada orang lain.

“Saya juga akan berbincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berhubung isu ini. Kami akan bincang demi kepentingan dan kemajuan bersama,” katanya.

Mahathir berkata, pada pendapatnya, kerajaan tidak berniat menghalau atau mengambil alih tanah penduduk secara paksa.

Menurutnya, yang penting usaha menaik taraf termasuk kualiti perkhidmatan perlu diutamakan dan tidak perlu merombak perancangan sudah dirancang.


Bimbang nasib Melayu terjejas

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak, Osman Saad menegaskan, perancangan di Pulau Chenang hendaklah mendahului kepentingan pengusaha dan penduduk Melayu di situ.

“Kami menyokong pembangu-nan, tetapi sehingga sekarang pihak kami belum dipanggil untuk mendengar penjelasan dari pihak berkenaan. Kami bimbang kemana hala tuju pengusaha-pengusaha hotel ini pada masa hadapan.

“Kami khuatir sekiranya pihak Lada gagal dalam perancangan untuk menaik taraf perancangan yang bakal dilakukan. Seperti kita lihat, banyak projek terbengkalai atau menjadi gajah putih di Langkawi, adakah mereka mampu menjayakan semua ini,” katanya.

Menurutnya, mereka bimbang punca pendapatan terjejas teruk dan bertambah buruk sekiranya pihak pemaju gagal melaksanakan pembangunan semula itu dengan berkesan.

Osman berkata, kesalahan tidak wajar diletakkan pada Khalid yang baru mengambil alih tugas, namun persoalan ini perlu dijawab.

“Sebelum ini banyak tanah diambil alih oleh kerajaan kemudiannya dipajak balik kepada pihak swasta tetapi akhirnya semua terbengkalai.

“Pihak kami berharap kerajaan mengkaji mekanisme terbaik membantu peniaga Melayu tanpa menghakis kedudukan dan kepentingan mereka. Ada pemilik tanah mempunyai geran sebelum merdeka lagi, berbaloikah sekiranya menjual hak milik itu tanpa mendapat manfaat
dalam perancangan kerajaan itu,” katanya.

Osman berkata, pihaknya sedia memberi kerjasama sekiranya perancangan dibuat memberi kepentingan kepada mereka, yang juga terlibat kawasan pantai terakhir dimiliki Melayu, setelah semua pantai di Langkawi diambil kerajaan termasuk Pantai Kok, Kuala Sungai
Melaka dan Tanjung Rhu.

No comments:

Post a Comment