Azizan berani sanggah manifesto ‘Buku Jingga’ pakatan pembangkang
Oleh Zulkifli Jalil
DALAM ramai-ramai orang kanan parti pembangkang ini, ada seorang yang benar-benar sudah ‘nampak' apabila berani menyanggah isi kandungan Buku Jingga.
Bukan mahu memuji Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak kerana waktu pelancaran buku atau manifesto PRU-13 pembangkang tempoh hari pun dia tidak membantah langsung.
Cuma sekarang, barulah Azizan tersedar daripada lamunan untuk mengakui kenyataan-kenyataan dan alasan yang diberikan oleh para pemimpin kerajaan sedia ada bahawa 10 janji dalam ‘Buku Jingga’ untuk dilaksanakan oleh pembangkang dalam tempoh 100 hari sekiranya mereka berkuasa hanyalah janji-janji manis dan populis.
Benar dan tepat sekali kenyataan Azizan yang tidak semua kandungan Buku Jingga itu sesuai dilaksanakan di negeri tertentu. Memang berani sungguh Azizan untuk berkongsi nada dan pendapat dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) bahawa terdapat perkara-perkara dalam buku manifesto berkenaan yang perlu ditangguh pelaksanaannya sehingga suasana mengizinkan dengan mengambil kira keadaan politik dan masyarakat setempat.
Cuba kita rungkai kembali janji utama pembangkang ‘yang paling menusuk sanubari rakyat' dalam Buku Jingga iaitu menghapuskan tol.
Janji seperti ini sememangnya mampu menambat hati sesiapa sahaja kerana setiap rakyat pasti mengidamkan kemudahan lebuh raya yang percuma tanpa sebarang tol. Tetapi pada masa sama, lebuh raya berkenaan mestilah serba lengkap dan perkhidmatannya berkelas pertama.
Hakikatnya, adalah amat mustahil untuk memenuhi kedua-dua kehendak ini secara serentak. Tetapi apa yang realistiknya adalah kejayaan pelaksanaan sistem tol pada kadar paling minimum sekarang sekali gus mengekang kenaikannya dari semasa ke semasa dengan memikirkan beban rakyat.
Jika badan pelaburan milik kerajaan seperti Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diarahkan mengambil alih kesemua 19 syarikat konsesi lebuh raya yang ada ketika ini seperti yang dicanangkan dalam Buku Jingga, ia akan menelan belanja antara RM50 bilion hingga RM100 bilion. Jumlah ini bukanlah satu angka yang sedikit untuk dibelanjakan oleh kerajaan semata-mata untuk memberikan tol percuma.
Dengan pendapatan kerajaan hanya RM158.6 bilion (pada 2009), melaksanakan janji ini akan menelan kos hampir dua pertiga daripada jumlah keseluruhan pendapatan Kerajaan Persekutuan.
Malah, kos pengambilalihan konsesi lebuh raya di antara RM50 bilion hingga RM100 bilion itu juga belum termasuk kos operasi dan penyelenggaraan lebuh raya terbabit. Berdasarkan kos tahunan yang ditanggung oleh syarikat PLUS ketika ini, kos penyelenggaraan rutin adalah RM235 juta, kos pentadbiran (RM349 juta) dan melangsaikan hutang (RM410 juta). Secara kasarnya, kos operasi dan pengurusan lebuh raya akan menelan sekurang-kurangnya RM2 bilion setahun.
Ya! benar sekali tanggapan Azizan bahawa untuk melaksanakan janji dalam manifesto, ia perlu berpandukan ‘suasana yang mengizinkan'. Tentu rakyat Malaysia maklum dengan janji pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum 2008, dengan DAP dalam manifesto pilihan raya mereka telah berjanji untuk menghapuskan tol di Plaza Tol Sungai Nyior dan Jambatan Pulau Pinang.
Namun setelah dapat menubuhkan kerajaan negeri, janji itu tidak dilaksanakan sehingga kini. Jelas terbukti janji itu sekadar populis dan amat mustahil untuk dilaksanakan. Akibatnya, rakyat tertipu.
Itu baru satu janji daripada 10 janji pembangkang dalam Buku Jingga. Kalau dihuraikan sembilan yang lain, tentu banyak cacat celanya. Contoh paling mudah boleh diteliti terhadap janji pakatan pembangkang untuk meningkatkan pendapatan semua isi rumah kepada tahap minimum RM4,000 dalam tempoh lima tahun menjelang 2015.
Untuk melaksanakan satu janji ini sahaja, mereka memerlukan sekurang-kurangnya RM93.9 bilion setahun untuk diagihkan kepada 3.8 juta isi rumah berpendapatan rendah dengan kadar imbuhan purata RM2,045 bagi seorang isi rumah.
Padahnya nanti jika janji-janji pembangkang dalam Buku Jingga ini direalisasikan, Malaysia akan menerima nasib sama seperti Greece yang sudah bankrap susulan hutang dan perbelanjaan awam terlalu tinggi sehingga gagal ditampung pendapatan kerajaan.
Walaupun Greece sebuah negara di Eropah dan bersandarkan kepada kumpulan kerjasama ekonomi Eropah yang paling kukuh dan sistem kewangan tunggal diperakui paling stabil dengan peraturan ketat di bawah European Central Bank (ECB), namun Greece terpaksa berhadapan dengan krisis kewangan akibat perbelanjaan negara secara boros sehingga hutangnya mencecah lebih 300 bilion euro (RM1.23 trilion).
Akibatnya, ketika ini rakyat Greece hidup menderita susulan kesukaran mendapatkan pekerjaan, aktiviti perniagaan tidak berjalan, kebajikan dan pembangunan sosial terjejas dan program jangka panjang pembangunan negara terbantut.
Apa yang berlaku di Greece akan turut menimpa Malaysia dalam tempoh tiga tahun jika bersandarkan corak pentadbiran dan pengurusan seperti yang dirangka pakatan pembangkang. Dalam tempoh tiga tahun juga, hutang negara bakal mencecah RM1.22 trilion (124.1 peratus daripada KDNK). Dan sudah mengalahkan Greece yang hanya berada pada paras 120 peratus sahaja KDNK jumlah hutang negara mereka.
Syabas! diucapkan kepada Azizan kerana berani tanpa gentar menyanggah Buku Jingga yang dicanang-canangkan sekutunya sendiri.
Mana mungkin seseorang hanya bercerita mahu membeli itu dan ini, bukit dan gunung malahan hingga bulan dan bintang. Sedangkan sumber kewangannya sendiri tidak diperjelaskan untuk menyokong cita-citanya itu.
No comments:
Post a Comment