Lagi rungutan kepada KUIS
SAYA, Puan Siti Rozana Kassim dari Pulau Pinang merupakan seorang ibu kepada seorang pelajar di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) yang merupakan kolej universiti di bawah pentadbiran Kerajaan Selangor dan kini sedang berada di tahun 2 dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Syariah & Undang-Undang di kolej universiti tersebut.
Saya telah menyenaraikan beberapa masalah utama yang sering dihadapi oleh anak saya dan rakan-rakannya. Antaranya ialah :
MASALAH YURAN
* Yuran terlalu mahal. Pada semester lepas, yuran meningkat sekali ganda dan ini mengundang kemarahan pelajar. Sedangkan jika dilihat, tiada sebarang perubahan pun yang dibuat untuk kemudahan pelajar. Yang dilakukan hanyalah untuk perkara yang tiada kaitan langsung dengan pelajar seperti mencantikkan tasik KUIS, mencantikkan landskap taman dan sebagainya. Perkara yang seharusnya diambil berat dan harus dilakukan perubahan tidak pula pihak KUIS lakukan, sebagai contoh membantu pembayaran buku, menambah baik sumber dan kuantiti buku di perpustakaan, menambah baik sistem interner tanpa wayar (wireless) dan sebagainya.
* Pihak KUIS kebiasaannya tidak memberi duit PTPTN yang seharusnya pelajar dapat dengan sepatutnya. Sebagai contoh, pelajar Ijazah Sarjana Muda Syariah & Undang-Undang akan mendapat RM8,000 sebagai bantuan daripada pihak PTPTN. Yuran keseluruhan yang harus dibayar ialah RM6,850.20. jika dihitung, seharusnya pelajar akan dapat RM1,149.80, tetapi, kami tidak akan dapat jumlah yang begitu sebaliknya pelajar akan dapat lebih kurang dalam RM1,000/RM1,050 sahaja.
Ini telah mengundang rasa tidak puas hati dan pelajar tertanya-tanya, ke manakah baki yuran yang sepatutnya diterima oleh para pelajar dan ke manakah duit pelajar tersebut telah disalurkan?
* Yuran naik terlalu mendadak sehingga memaksa para pelajar ‘mengikat perut’ dengan baki yuran yang tidak seberapa.
* Ada juga beberapa kes yang berlaku apabila ada beberapa mata pelajaran yang tiada kena mengena dengan jurusan yang diambil namun ia telah disenaraikan di dalam yuran.
ASRAMA
* Pemilihan bilik semasa daftar pengajian; pelajar tidak bebas membuat sebarang pilihan bilik dan ini menimbulkan rasa kurang puas hati terhadap pihak pengurusan KUIS. Pemilihan bilik juga memainkan peranan terhadap keselesaan pelajar.
* Struktur bangunan asrama yang dilihat terdapat banyak keretakan di beberapa bahagian dan ia hanya ditampal dengan polistrin. Ini mengundang bahaya terhadap keselamatan pelajar.
Seharusnya pihak KUIS menggunakan waktu cuti panjang pelajar sebagai masa untuk membaiki kerosakan-kerosakan tersebut namun ia tidak dilakukan.
* Peralatan yang disediakan tidak berkualiti.
* Pekerja asrama/pihak KUIS mengambil mudah dan tidak mengendahkan aduan dari pelajar hingga terpaksa membuat aduan berkali-kali, baru tindakan diambil.
* Barangan elektrik juga perlu dibuat bayaran secara berasingan daripada yuran dan ini menimbulkan rasa beban kewangan pelajar.
* Hak privasi pelajar di asrama tidak sepatutnya dicerobohi oleh warden ataupun mana-mana pekerja/kakitangan KUIS.
PENGANGKUTAN
* Jika dilihat, pengangkutan bas/ van KUIS kini tidak lagi digunakan pada setiap hari dan hanya digunakan pada hari-hari tertentu seperti Jumaat, Sabtu, Ahad dan Isnin sahaja.
IBU RISAU
Pulau Pinang
No comments:
Post a Comment