Rahim Noor dituduh burukkan negara!
TAN MALAKA,
Putrajaya
Seorang bekas Duta Malaysia, Dennis Ignatius yang sekarang menjadi penulis tetap kolum Diplomatically Speaking di akhbar The Star telah membuat rumusan bahawa nama Malaysia terkeji dari segi penyalahgunaan hak asasi manusia kerana sikap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor (The Star, 1 November 2011).
Ignatius yang tidak mendengar sendiri ucapan Rahim di Mesyuarat Agung Perkasa baru-baru ini telah membuat kesimpulan ini berasaskan kepada amaran Rahim tentang ancaman kepada keselamatan negara yang didatangkan oleh aktivis hak-hak asasi manusia di Malaysia.
Beliau tidak senang dengan kenyataan Rahim bahawa mereka itu adalah mewakili 'Agama Baru' (Hak Asasi Manusia) yang diwujudkan oleh Barat dan memperkecilkan Perlembagaan negara.
Sebaliknya kata Ingnatius, Rahimlah yang memperkecilkan Perlembagaan negara dan juga nilai-nilainya.
"With people like him once helming our police force, is it any wonder that our country has become notorious for civil rights abuses?" tanya beliau.
Ignatius telah berkhidmat selama 36 tahun dengan Kementerian Luar Malaysia dan pernah berkhidmat di London, Beijing dan Washington dan juga menjadi Duta Malaysia di Chile dan Argentina serta pernah bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Amerika.
Dengan konsep pemikiran dan kepercayaannya yang terserlah selepas persaraannya, maka tentunya kita tertanya-tanya bagaimanakah peranannya semasa beliau mewakili negara terutama dalam era Tun Dr. Mahathir Mohamad yang banyak menghadapi masalah dengan negara-negara Barat dan media Barat kerana beliau mahu membina bangsa bermaruah di atas nilai-nilai kemerdekaan negara.
Saya percaya Rahim Noor sebagai Ketua Polis Negara dan pengawal kepada keselamatan negara dan agama yang juga pernah menjadi Pengarah Cawangan Khas telah terdidik atau terpupuk dengan doktrin nilai-nilai sendiri walaupun negara mengamalkan asas demokrasi Barat.
Polis Diraja Malaysia yang mempunyai keagungan sejarah dalam mengalahkan perjuangan komunis telah didoktrinkan oleh kepercayaan kepada tatasusila kebebasan Parlimen dan di luar Parlimen, batasan pasaran bebas dan amalan demokrasi Barat yang tidak mutlak di negara ini.
Pegangan kepada nilai-nilai inilah yang telah memberikan kepada kita keupayaan untuk membiayai usaha peningkatan ilmu dan taraf hidup rakyat yang membawa kepada keterbukaan negara yang lebih luas tanpa rakyat sedar berada dalam suatu euphoria kebebasan sehingga merasakan 'bila bebas, bebas sekali.'
Pasukan keselamatan negara, institusi pelajaran, sosial dan agama telah disebatikan tentang keterbatasan dan kewajaran amalan demokrasi dalam sebuah masyarakat berbilang kaum dan berbilang agama walaupun menerima beberapa nilai Barat, sebaliknya kita mempunyai kehormatan diri yang sewajarnya dihormati oleh negara lain.
Bagaimanapun, jika dibaca tulisan Ignatius, maka ternyata beliau berada dalam semangat globalisasi yang menolak semua nilai sendiri. Kita berharap beliau bukan salah seorang yang sealiran dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia yang sekarang memperjuangkan hak asasi manusia yang termasuk dalamnya 'Seksualiti Merdeka', kebebasan kepada amalan homoseksual dan lesbian, perkahwinan sejenis dan hak untuk agama lain menjalankan dakwah atau memurtadkan orang Islam dan sebagainya.
Jika benar Rahim seorang yang telah menjijikkan atau memburukkan nama negara kerana menunjukkan bahaya perjuangan aktivis hak asasi manusia, maka bagaimana dengan tindakan Rahim menyelamatkan nyawa pengganas-pengganas komunis dan tidak membunuh kesemua mereka walaupun dalam keadaan mampu untuk berbuat demikian?
Rahim lebih bersedia membantu kerajaan berunding dengan mereka bagi perdamaian walaupun Parti Komunis Malaya telah lumpuh.
Adalah menjadi rahsia umum bahawa pihak Angkatan Tentera Malaysia dan sentimen rakyat mahu meneruskan peperangan terakhir dengan Parti Komunis Malaya kerana mereka telah pun berada dalam keadaan yang boleh dihapuskan sama sekali.
Bagaimanapun Rahim dan Tun Dr. Mahahir lebih mementingkan nilai-nilai kemanusiaan, memikirkan lebih baik wang bagi meneruskan peperangan itu dibelanjakan untuk pembangunan negara dan nyawa pemimpin-pemimpin parti komunis dan juga anggota-anggotanya diselamatkan supaya mereka insaf.
Apakah ini bukan suatu nilai kemanusiaan yang sangat tinggi yang menjadi bukti Rahim telah berpegang kepada hak asasi manusia sebelum Ignatius berani bercakap mengenainya?
Tulisan Ignatius ini mengingatkan saya kepada wawancara Mingguan Malaysia dengan Rahim tidak lama dahulu bahawa ejen asing sebenarnya telah pun menerap dalam negara kita dan berada di tengah-tengah masyarakat Malaysia sekarang.
Tulisan ini sekadar untuk menyedarkan dan memperkenalkan kepada rakyat, siapakah mereka ini dan di mana mereka sedang berjuang.
No comments:
Post a Comment