Saturday, November 19, 2011

berdikari

Pelajar KUIS harus ubah pemikiran agar lebih berdikari

SAYA merujuk tajuk Pelajar KUIS dakwa terseksa dalam forum bertarikh 14 November 2011 yang disiarkan akhbar ini.

Pada pandangan saya, isu ini tidak perlu ditimbulkan kerana sebabnya umum mengetahui bahawa setiap asrama yang dihuni oleh pelajar di mana-mana IPTS akan mengalami kenaikan setiap tahun akibat kenaikan harga barang dan inflasi.

Perkara ini sememangnya sudah diketahui dan ia tidak harus dihebohkan disebabkan anda seorang pelajar KUIS.

Saya juga hairan mengapa mengatakan ‘Pelajar terpaksa kerja sambilan?’ Sedangkan untuk mencari lebihan perbelanjaan dengan tidak mengharapkan pinjaman PTPTN, inilah saluran terbaik.

Ramai pelajar di IPTS/IPTA berlumba-lumba mengejar peluang menambahkan pendapatan termasuk melakukan kerja sambilan seperti MLM, Affiliate, Pemasaran Internet. Ini sudah lama dilakukan pelajar IPTA/IPTS walaupun hanya sebahagian.

Di sinilah pelajar membuktikan bahawa mereka mempunyai inisiatif untuk mencari jalan alternatif lain sekiranya berlaku sesuatu di luar jangkaan.

Berkaitan kos sara hidup yang didakwa tinggi, memang inilah lumrah kepada sesiapa sahaja kerana permintaan terhadap semua barangan meningkat sedangkan pengeluaran kurang.

Sesiapa yang lemah secara simboliknya mereka akan berkubur. Saya merasakan yang surat seperti ini langsung tidak membina sahsiah diri pelajar IPTA/IPTS kerana hanya mengharap pihak lain untuk bertindak bagi pihak diri sendiri.

Saranan saya agar mengubah pemikiran kita ke satu tahap yang lebih berdikari, bukan kerana kita pelajar kita hanya dilahirkan untuk belajar sahaja.

Realiti pelajar yang memegang diploma atau Ijazah pada masa sekarang didapati kaku apabila bergelar graduan nanti kerana jarang sekali memahami realiti kehidupan.

HAZWAN WAHAB

No comments:

Post a Comment