ARKIB : 03/09/2010
Tarawih dan imam import
HAIKAL FADZIL
haikal_fadzil@hotmail.com
RAMADAN di Malaysia tahun ini menampilkan kelainan berbanding tahun-tahun sebelumnya. Mungkin menjadi fenomena seluruh negara atau mungkin di ibu negara sahaja, kakitangan masjid menjemput imam-imam dari luar negara untuk mengimami jemaah solat sunat tarawih pada setiap malam.
Dari satu sudut, ia merupakan pembaharuan yang menarik. Namun dari satu sudut yang lain, tampak seperti ada kekurangan yang kelihatan akibat fenomena terbaru ini.
Pertama; Apakah kurangnya tahfiz-tahfiz berjenama Malaysia yang saban tahun dihasilkan? Adakah mereka tidak mampu untuk mengimamkan solat sunat tarawih pada setiap malam?
Pada solat Jumaat minggu pertama Ramadan baru-baru ini, khatib mengkhabarkan bahawa mereka sudah menghabiskan wang untuk menjemput para imam luar negara untuk mengimarahkan solat tarawih dengan menghabiskan bacaan satu juzuk al-Quran pada setiap malam.
Menurut khatib, ini memberi peluang kepada jemaah untuk merasa bagaimana solat sunat tarawih dilaksanakan di luar negara seperti di Mekah dan memberi peluang kepada jemaah mendengar bacaan al-Quran yang dilontarkan oleh imam berbangsa Arab yang lebih memahami isi kandungan bacaannya.
Bagi saya, para tahfiz dalam negara juga mampu untuk berbuat demikian. Mereka bukan semata-mata diajar untuk menghafal al-Quran, malah proses memahami isi kandungannya turut dipelajari dengan mendalam kerana proses itu akan memudahkan penghafazan.
Maka, tahfiz-tahfiz yang cemerlang dari dalam negara juga mampu untuk bersaing dengan imam-imam dari luar negara.
Kedua; Jemaah di Malaysia (majoritinya berbangsa Melayu) mempunyai bentuk badan fizikal yang kecil dan tenaga yang terhad jika dibandingkan dengan golongan-golongan Arab.
Masih saya ingat lagi satu peristiwa pada malam saya melaksanakan ibadah solat sunat tarawih, seorang lelaki berumur yang berdiri di sebelah saya, terketar-ketar menahan lututnya untuk terus kekal dalam saf akibat daripada bacaan imam luar negara yang terlalu panjang (kerana ingin menghabiskan satu juzuk pada setiap malam).
Niat untuk mengkhatamkan bacaan solat tarawih cukup 30 juzuk dalam jangka masa sebulan berpuasa itu baik. Namun begitu, Islam itu fleksibel dan memudahkan.
Sebagai seorang imam, seseorang itu juga perlu peka akan keadaan makmum yang mengikutnya. Bukan semua ahli jemaah berusia muda dan cukup tenaga untuk mengikut bacaan imam luar negara yang panjang.
Imam-imam ini pula mengekalkan cara ibadah yang sebegitu kerana menganggap keadaan di Malaysia adalah sama seperti di negara asalnya. Maka, kasihanlah jika dilihat keadaan golongan-golongan yang berusia ini untuk 'mengejar' tenaga muda yang jauh lebih hebat daripada mereka.
Ketiga; Antara penyeri solat sunat tarawih di Malaysia ini adalah sahutan selawat ke atas Rasulullah SAW setiap kali tamat 2 rakaat tarawih.
Sejak dari kecil, hingga dewasa, sahutan selawat tersebut menjadi daya tarikan kepada saya dan mungkin ramai lagi di luar sana untuk menunaikan solat tarawih di surau atau masjid.
Terdapat tempat-tempat yang sahutan selawat ke atas Nabi begitu meriah sekali dan tidak kurang juga ada yang seperti tidak bermaya. Namun begitu, ia telah menjadi satu lambang kemeriahan malam Ramadan dan simbol pengimarahan sunat tarawih saban malam pada bulan itu.
Agak malang pada tahun ini, bagi masjid-masjid yang menjemput imam luar negara yang pada amalan mereka di negara asal, tiada seruan selawat ke atas nabi setiap kali selesai dua rakaat tarawih, maka tiadalah kemeriahan solat sunat tarawih di situ.
Saya agak kecewa dengan keadaan ini dan mempertikaikan, kenapa kita perlu mengikut budaya negara luar sedangkan budaya kita di Malaysia ini sudah cukup manis untuk diamalkan?
Tidak ada salahnya kita berselawat ke atas Rasul Junjungan kita sesudah tamat dua rakaat tarawih.
Tanpa adanya seruan selawat ini, saya rasakan seperti sunat tarawih pada setiap malam, dilaksanakan dalam keadaan tergesa-gesa dan meletihkan makmum sedangkan tarawih itu sendiri bermaksud solat sunat istirehat.
Saya merasakan hilang satu nikmat Ramadhan apabila kita meninggalkan seruan selawat dalam sunat tarawih yang lazim menjadi kebiasaan jemaah di malaysia untuk melakukannya.
Mungkin ilmu agama yang saya miliki ini masih cetek, namun satu saja yang saya pinta, jadikan diri anda seperti lelaki berumur yang terketar-ketar menahan lututnya tempoh hari. Mungkin anda akan faham apa yang saya cuba sampaikan.
No comments:
Post a Comment