Menanti pencen bulanan zaman darurat
SAYA merupakan salah seorang anggota polis yang berkhidmat dalam Unit A.S.U pada zaman darurat iaitu pada tahun 1948 sehingga 1961.
Ketika itu saya ditugaskan untuk memburu pengganas komunis di kawasan hitam tanpa mengira waktu siang atau malam.
Pada waktu itu ramai antara rakan seperjuangan yang terkorban dan ada juga yang cacat akibat terkena jerangkap samar dan tembakan pengganas.
Persoalan sekarang, bantuan pencen yang diuar-uarkan melalui Persatuan Bekas-bekas Polis Malaysia (PBBPM) sehingga kini masih belum kami peroleh.
Berita mengenai bantuan pencen itu sudah mula diketahui sejak Januari tahun lalu tetapi hingga hari ini kami yang berkhidmat pada zaman darurat masih belum memperoleh sebarang bantuan yang dijanjikan.
Kami dijangka menerima bantuan pencen bulanan sekurang-kurangnya RM360 sebulan.
Dengan adanya bantuan seperti itu, ia secara tidak langsung dapat mengurangkan bebanan yang kami tanggung selama ini.
Semasa zaman darurat dulu kami merupakan 'wira bangsa' yang berjuang mempertahankan kemerdekaan negara tetapi kini kami hanyalah warga emas yang sedang meniti hari-hari akhir dalam kehidupan.
Semoga cetusan rasa ini mendapat perhatian semua pihak yang berkaitan.
M.G Ali
Perumahan Awam Fasa III,
Renggam, Johor.
No comments:
Post a Comment