Warkah Ramadan buat umat Melayu
PELBAGAI cerita telah disajikan oleh pihak media sepanjang bulan Ramadan yang hampir ke penghujung ini. Masih berkisar tentang isu yang serupa, sama ada masalah gejala sosial, pertikaian hak yang termaktub dalam Perlembagaan untuk orang Melayu dan kisah pencemaran surau/masjid.
Inilah akibatnya apabila fahaman politik dibawa ke dalam masjid ataupun surau, kelihatan yang jelas golongan ini hilang pertimbangan dan membiarkan diri mereka dipergunakan bagi memenuhi nafsu besar pihak-pihak tertentu dalam perjuangan politik.
Isu kehadiran semula si biadap ini yang menggelarkan dirinya Namewee juga turut memanaskan keadaan.
Iktibar yang perlu diambil oleh bangsa Melayu atas segala yang berlaku ialah orang Melayu perlu bersatu demi maruah agama dan bangsa tercinta.
Jangan kita bawa fahaman politik masing-masing dalam penyatuan ini dan akhirnya matlamat sebenar tidak tercapai. Ini merupakan satu jihad demi kekuatan ummah. Penyatuan inilah amat dinantikan oleh orang Melayu yang cintakan agama dan bangsa mungkin juga ia tidak disukai oleh orang lain.
Saya menyeru kepada semua bangsa Melayu, marilah kita bersama-sama dalam perjuangan ini demi memartabatkan semula maruah agama dan bangsa yang kian tercalar.
Jangan sesekali kita mementingkan kepentingan peribadi hingga kita lupa diri kita yang sebenarnya.
Kita tamatkan segala kemelut perbalahan yang tidak berkesudahan sesama kita. Kita kuatkan tali ikatan yang kian longgar. Kita perlu fikirkan masa depan anak-anak kita dan generasi akan datang.
Kita perlu ada satu suara dan isyarat yang jelas kepada pihak-pihak yang cuba mempertikaikan hak kita sebagai orang Melayu di tanah tumpah darah kita ini.
Jangan biarkan si kaduk naik junjung. Kita telah memberikan mereka segala-galanya, persoalannya adakah apa yang telah kita berikan akan dapat kembali dan adakah kita rela hak kita yang berbaki ini kita gadaikan juga demi untuk memuaskan nafsu besar mereka yang kita tidak ketahui niat mereka yang sebenarnya? Hak kita ini perlu kita pertahankan sehingga ke akhir hayat.
Selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-53 tahun. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menceritakan kepada anak-anak dan generasi muda tentang perjuangan orang Melayu ketika Tanah Melayu dijajah dan seterusnya pengorbanan yang telah dilakukan mereka termasuk harta benda juga wang ringgit bagi mencapai kemerdekaan.
JAMAL LULKHIR JALUDIN
Pasir Salak
No comments:
Post a Comment