Thursday, September 30, 2010

Akhbar Cina

Hantu-hantu perkauman

Isu perkauman yang masih menghantui masyarakat ketika ini menjadi topik utama artikel bertajuk ‘Pandang jelas, tetapkan pendirian’ tulisan editor eksekutif Sin Chew Jit Poh, Lin Ming Hua. Artikel itu tersiar di ruangan pendapat akhbar tersebut terbitan 28 September lalu.

Tulis Ming Hua, isu perkauman telah menyakitkan dan menyusahkan pemikiran orang ramai. Hantu-hantu perkauman sebaliknya menganggap ia sesuatu yang hebat kerana berjaya mencipta pelbagai isu. Semuanya akan terpisah melalui rasis dengan fakta-fakta yang tiada penghujungnya.

Sesuatu isu yang tidak dapat dihuraikan untuk menutup kebenaran, menjadi semakin pudar kerana salah tafsiran. Inilah yang menjadi adat dan resam dalam masyarakat sekarang.

Ming Hua menulis lagi, dalam masyarakat hari ini, ada pihak yang takut dan risaukan keamanan. Mereka lebih suka suasana yang tidak tenteram.

Hari ini mereka menuding jari mengatakan anda penumpang, esok mereka menyuruh pula anda supaya balik ke negeri asal.

Cuba fikirkan konsep rasis mereka. Dalam masa yang sama, mereka kata anda pula tidak tahu berterima kasih, tidak tahu kontrak sosial dan telah lupa siapa sebenarnya diri anda.

Tidak boleh dinafikan, baik konsep 1Malaysia atau Malaysian Malaysia, hakikatnya kita masih tidak dapat keluar daripada isu perkauman. Sedangkan Malaysia mempunyai tarikan yang begitu kuat kerana kita mempunyai pelbagai kaum.

Bukankah kekuatan negara kita bergantung kepada kepelbagaian kaum yang boleh menjana satu inovasi tinggi dalam pergaulan sesama kita?

Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah pernah berkata, tidak kira bumiputera atau bukan bumiputera, semuanya suka memainkan isu perkauman. Kita tidak dapat menafikannya kerana ia adalah kenyataan.

Kita cuba mengelak daripada menuduh orang lain sebagai perkauman bagi membersihkan diri daripada dianggap fanatik. Pada masa sama, kita perlu lebih berhati- hati untuk ‘memuaskan hati tiang-tiang politik di belakang tirai’.

Sebenarnya bukan penjajah British sahaja yang mengamalkan dasar pecah dan perintah. ‘‘Saya setuju dengan kata-kata seorang penyelidik dari Southern College Johor, Dr. Tan Chong Ho yang berkata, hari ini kumpulan kaum di Malaysia masih terasa diancam dan masih berasa syak wasangka antara kaum dalam fikiran mereka. Perasaan diancam itu adalah racun daripada politik ‘pecah dan perintah’,” tulis Ming Hua.

Tulisnya lagi, disebabkan kurangnya keyakinan dan kefahaman, kaum-kaum tertentu akan berdepan dengan kaum lain secara menunjukkan ego mereka. Ini disebabkan mereka berasa tersisih dan rendah diri. Sikap seperti ini boleh menjurus kepada perbuatan fanatik.

Walaupun hari ini kita berusaha untuk meningkatkan perpaduan dan saling menerima dan memahami antara satu sama lain, halangan dalam masyarakat tetap timbul. Jika ini memang caranya untuk kita meneruskan hidup, maka kita mesti mempertahankannya secara berterusan dan jangan sesekali mengabaikannya.

Pembangkang tawan Putrajaya?

Survival pakatan pembangkang dalam menerajui negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang dibincangkan oleh seorang penulis, Cheng Yi Hui menerusi artikelnya yang bertajuk ‘Bolehkah menawan Putrajaya pada pilihan raya akan datang?’

Artikel itu tersiar di dalam akhbar China Press terbitan 27 September lalu menerusi ruangan perbincangan umum.

Menurut Yu Hui, pakatan pembangkang ketika ini masih berseronok selepas pilihan raya umum lalu dan berhasrat lebih jauh untuk menawan Putrajaya pada pilihan raya akan datang.

Bagi rakyat yang sudah matang dengan fenomena politik di rantau ini, mereka yakin sasaran pakatan pembangkang itu masih boleh dipertikaikan.

Sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim masih boleh menjadi pemimpin pembangkang, ia adalah sesuatu yang tidak boleh dijangkakan.

Sekiranya beliau dipenjara kerana kes liwat yang dihadapi ketika ini, pemimpin berwibawa mana pula yang akan menggantikan beliau menerajui pakatan pembangkang dan mengimbangi ketiga-tiga parti itu?

Tiga parti dalam pakatan pembangkang ketika ini mempunyai perselisihan besar yang masih terpendam. Pemilihan kepimpinan PKR dicemari kekecohan dan sudah timbul puak-puak serta perasaan syak-wasangka.

Dalam DAP pula, ada isu surat sokongan yang tidak dapat diperjelaskan. Pemimpin-pemimpin DAP yang selalunya membasmi gejala rasuah, tidak dapat menutup kecacatan mereka. Rakyat berasa hampa dan kecewa kerana parti itu tidak menunjukkan sikap lebih telus dan terbuka.

Pas pula kerana isu kerjasama dengan UMNO menyebabkan parti itu terjerumus ke jurang persengketaan. Rakyat dapat melihat perbalahan antara pemimpin Pas dan bagi orang bukan Islam, mereka kurang senang dan berasa curiga tentang masa depan serta hala tuju Pas.

Tulis Yi Hui, melihat kepada keadaan itu hasrat pakatan pembangkang untuk menawan Kerajaan Pusat agak tidak memberangsangkan.

‘‘Tetapi usah risau kerana jika kita ikhlas dan terus memperbaiki kelemahan yang ada, harapan itu sentiasa ada. Apa yang lebih penting ketika ini, kepimpinan ketiga-tiga parti dalam pakatan pembangkang di empat buah negeri perlu bersungguh-sungguh. Benar-benar berkhidmat untuk rakyat, mempercepat agenda membasmi gejala rasuah dan tidak menyorok penjenayah rasuah kerana mata rakyat lebih halus dan melihatnya dengan jelas.

‘‘50 tahun tiada perubahan ditukar kepada lima tahun yang boleh berubah, bukankah itu adalah pilihan yang tidak menyusahkan,” tulis Yi Hui.

No comments:

Post a Comment