Monday, April 16, 2012

wajah pkr

ARKIB : 15/04/2012
Share on facebook Share on twitter Share on email Share on print More Sharing Services 2
Wajah sebenar PKR

Oleh Zulkifli Jalil

APABILA YB Azan Ismail, ahli Parlimen PKR kawasan Indera Mahkota agak kurang turun padang untuk ‘mengasak’ isu loji nadir bumi Lynas di Gebeng, ramai kalangan anggota parti itu ‘pening kepala’.

Ini berbeza sama sekali dengan seorang lagi, ahli Parlimen dari Kuantan, Fuziah Salleh. Dengan Gebeng terletak antara Indera Mahkota dan Kuantan, sepatutnyalah Azan juga sekerap Fuziah untuk bersama-sama melemparkan fitnah terhadap loji yang begitu menjadi rebutan pelabur asing untuk penghasilan nadir bumi - bahan asas dalam pembuatan barangan.

Ini tidak. Seakan-akan sedar Lynas bukanlah isu yang membahayakan penduduk Gebeng, Azan barangkali lebih berpengetahuan dari Fuziah bahawa nadir bumi amat diperlukan untuk penghasilan scandium dalam pembuatan peralatan aeroangkasa. Atau Thulium untuk penghasilan lengkap mesin X-Ray mudah alih.

Fuziah tidak ambil peduli dah, biarpun diakui oleh pemimpin DAP, Leong Ngah Ngah seperti disiarkan dalam tabloid Cina yang projek Lynas merupakan satu kejayaan besar kerajaan dalam mendapatkan pelaburan asing dalam jumlah yang besar. Naib Presiden PKR ini juga bersikap ‘lantak lah’ akan pengesahan pakar radioaktif yang juga Ahli Parlimen Pas Hulu Langat, Dr. Che Rusli Che Mat bahawa projek Lynas tidak berbahaya malah mengikut piawaian antarabangsa.

Ketidaksepakatan Azan dan Fuziah jika dilihat dari gerakan agresif kedua-duanya menghentam isu Lynas, adalah antara antara tompok-tompok keraguan yang semakin bersarang dan berlegar dalam kepala ramai pemimpin PKR negeri dan ‘ahli akar umbi’ parti itu.

Itu belum lagi isu-isu besar bagaikan tsunami yang melanda kepemimpinan PKR saat ini. Sama ada kita sedar atau tidak dalam tempoh beberapa bulan ini rakyat Malaysia semakin membuka mata terhadap tembelang yang mula muncul satu persatu dari kemelut PKR ini.

“PKR semakin mengelirukan masyarakat Malaysia. Dan sejak dahulu lagi saya sentiasa berpegang bahawa PKR ini lebih tertumpu kepada soal individu yang berbeza langsung dengan DAP dan Pas yang perjuangkan sesuatu yang lebih besar,” kata bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan, Dr. Chandra Muzaffar kepada penulis Rabu lalu.

Sebenarnya ramai kalangan rakyat Malaysia yang cintakan kestabilan negara terkejut akan perihal Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail yang masih tidak keluar mulut sehingga hari ini untuk mempertahankan timbalannya, Azmin Ali apabila bekas rakan baik suaminya, Senator Datuk S. Nallakaruppan baru-baru ini mendedahkan yang Anwar Ibrahim pernah menjalin hubungan sulit dengan isteri Azmin, Shamsidar Taharin.

Berdiam diri

Sebagai isteri, Wan Azizah sepatutnya menafikan dakwaan Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) itu yang nampaknya tetap berpegang teguh mengatakan Anwar merupakan seorang biseksual. Dan dia berani pula menghadapi tindakan saman daripada Anwar walaupun sehingga RM500 juta. Sikap berdiam diri Wan Azizah itulah yang mengundang pelbagai persepsi dalam kalangan masyarakat Malaysia yang kini tertanya-tanya akan kebenaran di sebalik pelbagai tuduhan dilemparkan terhadap Anwar selama ini.

Demikian juga ramai kalangan pengikut dan penyokong PKR tersentak apabila Azmin ketika diminta mengulas desakan ketua penerangan PKR Cabang Ampang, Mohd. Isa Mohd. Saidi dan turut dihadiri naib ketuanya, H.M.Tan baru-baru ini supaya menjawab segala dakwaan yang dikaitkan dengannya, dia boleh pula sekadar menjawab: “Hanya orang buta dan tuli saja yang tidak tahu”. Jawablah! Kalau di pentas ceramah bukan main lagi.

Azmin juga tidak menjawab untuk mempertahankan dirinya apabila bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali mahukan penjelasan daripadanya terhadap lima perkara termasuk sumber kewangan Ahli Parlimen Gombak itu serta isterinya yang membeli saham bernilai RM2 juta antara tahun 1992 hingga 1994. Dia juga enggan menafikan dakwaan bahawa dia serta isterinya termasuk seorang ipar memiliki saham bernilai RM8.5 juta pada awal tahun 1990-an adalah tidak benar. Timbalan kepada Wan Azizah ini juga sengaja memekakkan telinga terhadap tuduhan yang dibuat dalam buku karangan Syed Hussin Al-Attas bertajuk Tuhan, Politik dan Seks yang diterbitkan pada tahun 2010 termasuk cabaran penulis-penulis blog untuk menentukan kesahihan nasab biologi seorang lagi ahli keluarga beliau.

Kalau diteliti, bukan sahaja Cabang Ampang yang mengambil tindakan demikian. Awal bulan ini kira-kira 50 ahli parti itu dari Cabang Ladang Perbadanan turut mengambil tindakan serupa. Tetapi lebih drastik dengan keluar parti. Mereka malu dengan sikap wakil rakyat PKR yang tidak tunaikan janji.

“Dahulu bukan main tabur janji, apabila sudah menang, muka pun tak pernah nampak. Apabila ditanya rakyat, kami selaku pemimpin PKR peringkat cabang turut tumpang malu,” kata ketua Cabang Ladang Perbadanan, M.Muruli yang menjelaskan antara sebab tindakan keluar PKR juga kerana kecewa dengan sikap pemimpin parti itu menganaktirikan kaum India di negeri itu.

Di sebalik ini, sebenarnya adalah ‘tragedi luar biasa’ sekiranya sebilangan rakyat Malaysia masih menyokong dan mengundi Anwar pada PRU-13 nanti. Dengan isu moral yang semakin banyak dihadapi pemimpin pembangkang tersebut dan segala tipu muslihat di sebalik ‘perawakan alim‘ yang didedahkan sendiri oleh bekas pengikut setianya dan lebih 30 pemimpin kanan, Ahli-Ahli Parlimen dan ADUN PKR yang pernah taksub, obses dan setia kepadanya tetapi akhirnya lari meninggalkannya, kita tentu tidak terkata apa.

Curiga

Ini kerana tuduhan itu pula bukan dibuat secara membuta-tuli. Sebaliknya berdasarkan bukti yang ada dan pengalaman mereka sendiri ketika bekerja dengan Anwar dalam tempoh yang lama. Tetapi Anwar biasa sahaja. ‘Buat bodoh’ seolah-olah tak ada apa. Boleh pula tu buat road show lagi ke seluruh negara. Itu tidak termasuk sokongannya terhadap keselamatan Israel dan elemen pluralisme kerana cuba beralih kepada sokongan kaum bukan Melayu dan bukan beragama Islam. Ramai kian curiga.

Kepada tokoh akademik, Tan Sri Ibrahim Abu Shah,” Anwar cukup terkenal sebagai individu yang hebat dalam memanipulasi keadaan.”

Kerana itu, ada pihak membangkitkan pentingnya supaya dilarang sama sekali golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) daripada menjadi ahli Dewan Rakyat serta Dewan. Kita tidak mahu ‘Perdana Menteri kita’ pusing satu dunia dengan pasangannya yang sama jenis. Ini akan memberi impak buruk kepada negara.

Bekas orang kuat Anwar di Pulau Pinang, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim pula memberi komen begini:

“Bagi saya, Wan Azizah memang tidak boleh terkata apa dah. Sebagai isteri, dia tidak mahu cerita kotor suaminya menjadi perbualan ramai dan seboleh-bolehnya cuba tutup, kerana itu menjadi Perdana Menteri sahajalah jalannya. Dengan menjadi Perdana Menteri, segala keraguan suaminya boleh tertutup.”

Di Pulau Pinang, penulis dikhabarkan PKR sudah tidak relevan lagi. Asyik mengalah sahaja. Takut nak takut tegur ‘si khalifah Umar Abdul Aziz’, yakni jolokan yang dimahukan sendiri Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Bukan sahaja rumah kos rendah dan sederhana rendah untuk orang susah sudah hilang di bahagian pulau negeri itu dengan pembinaan rumah-rumah kos tinggi belaka, sekolah dan masjid pun hilang juga. Mana hilangnya ‘sengat’ ADUN Batu Maung, Abdul Malik Kassim dan ADUN Penanti, Mansor Othman?

Sekarang ini, apa sahaja yang dibuat oleh kerajaan Pusat akan adalah yang tidak kena di mata PKR dan sekutunya. Bila ditubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) berhubung penambahbaikan proses pilihan raya dan diterima cadangan-cadangan yang dibangkitkan sendiri oleh pembangkang, tak puas hati pula. Lantas, mahu diadakan satu lagi perhimpunan haram. Rakyat nampaknya sudah jelak dan faham benar maksud yang tersirat - setidak-tidaknya adalah isu pembangkang dalam sebulan dua ini.

Namun, kalau kita boleh duduk sebentar dan renung-renungkan sejenak tentang PRU-13 yang akan menjelang, kita pastinya akan gusar. Setidak-tidaknya akan terbit sekelumit rasa gundah gulana atau gerak hati kita kalau-kalaulah tersilap percaturan memberikan undi kepada yang tidak sepatutnya. Sedangkan yang berhak diangkat sebagai pemimpin dengan partinya sekali, diketepikan dan ditulikan. Bayangkan, dalam tempoh lima tahun sahaja segala yang ada di depan mata - soal Islam, soal Melayu, soal kestabilan dan lebih penting masa depan anak-anak kita akan tergadai begitu sahaja. Pemimpin pula boleh senang diperas ugut oleh pihak asing gara-gara begitu banyak ‘rahsia’ tersimpan oleh peguam, penghulur dana pilihan raya dan penyokong LGBT seberang laut.

PRU-13 amat penting. Ia penentu masa depan rakyat Malaysia. Jika memberi mandat kepada yang salah dan tidak berhak, nak mengundur payah sekali. Kita kena realistik. Rakyat Malaysia yang diyakini bijak menilai tentu akan ‘buka mata’ seluas-luasnya soal ini.

No comments:

Post a Comment