Monday, April 16, 2012

persenda raja

ARKIB : 15/04/2012
Share on facebook Share on twitter Share on email Share on print More Sharing Services 8
Tubuh suruhanjaya siasat isu persenda raja

BAGAN DATOH 14 April - Suruhanjaya Diraja perlu ditubuhkan bagi menyiasat dan mengheret beberapa pemimpin pembangkang yang didakwa menghina serta mengejek raja-raja Melayu semasa majlis pertabalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Rabu lalu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, suruhanjaya itu perlu bagi melengkapkan siasatan pihak berkuasa, walaupun enakmen sudah ada kerana pihak bertanggungjawab wajar diberi pengajaran secara tegas.

Sambil memberi amaran institusi diraja bakal mengalami penghinaan lebih dahsyat jika pembangkang diberi kuasa untuk memerintah negara pada pilihan raya umum akan datang, beliau berkata, perbuatan beberapa pemimpin pembangkang itu tidak boleh dimaafkan.

"Saya sendiri hadir pada majlis pertabalan tersebut dan saya dimaklumkan mengenai kejadian ejekan sebaik sahaja majlis tamat. Ini soal prinsip asas dalam Perlembagaan, raja-raja serta Yang di-Pertuan Agong adalah ketua negara yang wajib dihormati dan bukan untuk dihina dan diejek sesuka hati.

"Ia sesuatu yang serius dan perlu disiasat demi pengajaran kepada semua agar lebih bertanggungjawab dan sentiasa menjunjung tinggi institusi diraja. Saya fikir perlu kita wujudkan Suruhanjaya Diraja di samping enakmen-enakmen sedia ada," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendedahan pengawai perubatan, Dr. Rahman Kadir yang mendakwa beberapa pemimpin pembangkang bertindak mempersenda dan mengejek pemimpin kerajaan serta Raja-raja Melayu pada istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong.

Terdahulu Ahmad Zahid merasmikan Program Peduli Jujur Sinar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali gus menjadikan Bagan Datoh sebagai kawasan Parlimen pertama yang mengisytihar kesediaan memerangi jenayah rasuah secara keseluruhan.

Hadir sama Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perak, R. Ganesan.

Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata, beliau percaya hukuman yang keras ke atas pihak yang bertanggungjawab bukan sahaja akan menyedarkan pemimpin pembangkang tetapi turut akan mematangkan mereka agar lebih berhati-hati selepas ini.

"Kita mempunyai saksi dalam kes ini untuk rujukan pihak polis dan juga Peguam Negara. Seharusnya ia tidak menjadi masalah untuk siasatan kerana tindakan biadab sebegini perlu dikenakan hukuman agar menjadi pengajaran," jelasnya.

Dalam perkembangan berasingan pula, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh meminta SPRM menempatkan pegawai penyiasat di atas bot-bot nelayan laut dalam kawasan Parlimen itu kerana mereka sering menjadi mangsa peras ugut oleh pihak berkuasa semasa menangkap ikan di lautan.

Katanya, para nelayan mendakwa pihak berkuasa terbabit di lautan bukan sahaja mengambil hasil tangkapan bahkan turut meminta 'cukai' tanpa resit setiap kali pemeriksaan ke atas bot dilakukan.

No comments:

Post a Comment