ARKIB : 15/04/2012
Share on facebook Share on twitter Share on email Share on print More Sharing Services 1
Felda tidak paksa peneroka
KUALA LUMPUR 14 April - Felda menafikan dakwaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahawa Felda memaksa para peneroka mengambil pinjaman untuk membeli saham-saham Felda Global Ventures Holdings (FGVH).
Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, kebanyakan syarikat membuka peluang kepada pemegang-pemegang berkepentingan membeli saham-sahamnya semasa proses penyenaraian.
Menurut beliau, syarikat-syarikat itu juga kebiasaannya mengaturkan pembiayaan menerusi institusi kewangan terpilih kepada pihak-pihak yang berminat.
“Felda turut melakukan perkara serupa untuk mempermudahkan urusan para peneroka mendapatkan sumber kewangan bagi membeli saham-saham FGVH selepas disenaraikan di Bursa Malaysia kelak.
“Bagaimanapun, peneroka-peneroka yang berkemampuan boleh membeli saham dengan menggunakan wang sendiri,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Isa mengulas dakwaan PKR yang kononnya peneroka Felda tidak akan menerima ‘duriah runtuh’ dijanjikan kerajaan sebaliknya mereka dipaksa membuat pinjaman dengan institusi kewangan untuk membeli saham-saham FGVH.
Tambah beliau, peneroka juga boleh memilih untuk tidak membeli saham-saham FGVH sekiranya mereka mendapati ‘durian runtuh’ yang bakal diterima sudah memadai.
Berhubung tindakan PKR memperkecil-kecilkan pemberian ‘durian runtuh’ oleh kerajaan, menurut Mohd. Isa, parti pembangkang itu sebenarnya memandang remeh terhadap segala pengorbanan peneroka dalam memajukan Felda.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah berulang kali menyatakan para peneroka berhak menerima ‘durian runtuh’ sebagai ganjaran atas sokongan, kecekalan dan dedikasi mereka terhadap Felda sejak beberapa dekad lalu,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment