Tuesday, September 13, 2011

ms,dap,pas

Mat Sabu, Bukit Kepong dan DAP

Oleh FAUZIAH AROF
rencana@utusan.com.my

SEPERTI rakyat Malaysia lain yang tidak buta sejarah negaranya, Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Ibrahim walaupun berada dalam parti pembangkang, mempunyai sebab yang sama untuk merasa marah dan kesal dengan kenyataan pemimpin Pas, Mohamad Sabu mengenai tragedi serangan terhadap sekumpulan anggota polis di Balai Polis, Bukit Kepong, Johor.

Tidak seperti Mohamad Sabu atau Mat Sabu, Tunku Abdul Aziz jelas menegaskan, bahawa pejuang-pejuang kemerdekaan yang dicatat dalam sejarah negara sebagai wira negara, walau apa jua pegangan politiknya.

Ternyata dalam memperkatakan tentang lipatan sejarah negara, sekutu Pas ini, tidak bersekongkol, berkompromi dan menyokong membuta-tuli apa sahaja yang dikatakan oleh Mat Sabu.

Dalam surat beliau kepada akhbar New Straits Times (NST) baru-baru ini, Tunku Abdul Aziz menyifatkan Timbalan Presiden Pas itu, sebagai 'pelawak politik' yang memang 'mahir' membuat orang ketawa dalam ucapan-ucapannya, tetapi cetek dengan isi.

Bagaimanapun tidak semua lawak Mat Sabu menghiburkan, dan boleh diterima akal walaupun kepada budak-budak sekolah.

Pada saya, kali ini beliau tertembak dengan lawaknya sendiri, apabila mempercayai bahawa 180 hingga 200 penyerang Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari, 1950 termasuk lelaki Melayu Muhammad Indera yang menyerang dan membunuh anggota polis dan keluarga mereka itu sebagai hero dan pejuang kemerdekaan yang sebenar.

Adalah amat pelik apabila ada pemimpin seperti Mat Sabu boleh menilai dan mengangkat penyerang yang ramai jumlahnya berbanding anggota polis itu, menembak mati anggota keselamatan terbabit termasuk keluarga mereka dan menghumbankan mayat dalam bangunan yang terbakar sebagai hero dan wira sebenar negara? Bukankah tindakan seperti itu hanya dilakukan oleh seorang pengganas?

Tunku Abdul Aziz berkata, Mat Sabu telah memutarbelitkan dan mengusutkan fakta mengenai tragedi itu dengan cara yang tidak bijak, tidak berperasaan dan tidak sensitif dengan mendakwa pengganas-pengganas yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong adalah wira-wira negara yang sebenar.

Menurut beliau, walaupun Mat Sabu tidak menyatakan bahawa penyerang tersebut adalah komunis, tetapi hakikat dan faktanya, penyerang termasuk Muhammad Indera itu adalah komunis.

''Saya mengakui haknya dalam pendapat beliau, tetapi apabila Mat Sabu berada dalam hierarki Pas dan juga seorang pemimpin dalam sebuah gabungan parti pakatan rakyat yang tidak sabar menunggu untuk memerintah negara, maka beliau tidak boleh bercakap seperti seorang pelawak. Dia tidak lagi menghiburkan," tegas Tunku Abdul Aziz yang juga datangnya daripada keluarga polis itu.

Tunku Abdul Aziz turut mempersoalkan sama ada Mohamad mempunyai keberanian moral dan integriti untuk memuliakan wira kemerdekaan yang sebenar.

"Saya tertanya-tanya sama ada Mohamad mempunyai keberanian moral dan integriti untuk berpaling arah di atas hakikat ini, tahap kebinatangan dan kebaculan pihak yang dia sedang cuba muliakan sebagai wira sebenar Merdeka," kata beliau.

Pun begitu, tidaklah menghairankan kenyataan yang dibuat oleh Tunku Abdul Aziz ini tidak memberikan kesan kepada Mat Sabu.

Sedangkan desakan Karpal Singh sebelum ini yang mahu beliau menarik semula kenyataan kontroversinya itu pun tidak diendahkan langsung. Sebaliknya, Mat Sabu hanya menyifatkan reaksi pemimpin DAP itu adalah peribadi mereka.

DAP tentu sedar, kenyataan Mat Sabu itu pastinya merugikan Pas, tetapi itu bukan merisaukan mereka, yang paling membimbangkan, ia akan memberi kesan kepada pakatan pembangkang sendiri kerana sememangnya sejarah merekodkan betapa ramainya anggota keselamatan yang terkorban semasa mempertahankan negara daripada pengganas komunis. Yang ini bukan satu pembohongan.

Karpal juga sebelum ini menegaskan, rentetan peristiwa Bukit Kepong itu tidak boleh dipertikaikan dan mesti diterima kerana dokumen sejarah telah menyatakan bahawa anggota polis dan keluarga mereka berjuang menentang gerila komunis.

Sementara itu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) setakat ini lebih selesa mengambil pendekatan mendiamkan diri, mungkin bersetuju atau mungkin juga tidak kerana tidak mahu terbabit dalam kedangkalan Mat Sabu.

Atau sekurang-kurangnya kontroversi yang dicetuskan oleh rakan sekapalnya itu, dapat mengalihkan perhatian umum terhadap kes liwat, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk jangka masa yang agak lama juga.

Seperti biasa segala kenyataan merapu serta meraban Mat Sabu, sentiasa disokong oleh pemimpin Pas lain. Pendirian para pemimpin Pas mengenai perkara ini, tidak akan memberi kesan kepada penyokong fanatik parti itu sungguhpun Pas telah menggugurkan perjuangan menjadikan Malaysia sebagai negara Islam serta melupakan hasrat melaksanakan hukum hudud.

Seperti biasa juga, memperlekehkan polis bukan satu tindakan luar biasa Pas kerana pemimpin-pemimpin mereka sudah terbiasa dengannya.

Dan kenyataan kontroversi mengenai Bukit Kepong ini memasuki fasa paling buruk parti itu dalam memperlekehkan pasukan keselamatan tersebut dengan membawa niat bersama menafsir semula sejarah negara melalui kepercayaan mereka.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment