Mansuh ISA untuk rakyat, bukan pembangkang
Oleh Fauziah Arof
DALAM suasana menghirup udara 48 tahun usia Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin mengumumkan beberapa perkara penting iaitu dua pemansuhan akta - Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Buang Negeri 1959 yang akan digantikan dengan dua undang-undang baru yang lebih sesuai dan mengikut peredaran masa.
Sementara, tiga lagi akta akan dibuat kajian semula secara komprehensif yang membabitkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Kediaman Terhad 1933 dan Seksyen 27 dalam Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.
Pengumuman di luar jangkaan ini membangkitkan pelbagai reaksi daripada banyak pihak yang menganggap angin pembaharuan yang ingin dilaksanakan ini sebagai drastik, berani dan tidak kurang juga menyifatkan ia sebagai radikal.
Apa pun reaksi yang diberikan pelbagai pihak, sudah tentu Perdana Menteri telah membuat kajian mengenai perkara ini sedalam-dalamnya dengan memberi keutamaan terhadap kepentingan, kehendak dan keselesaan rakyat selain mengambil kira relevannya undang-undang tersebut pada masa kini.
Semasa dalam ucapannya sulungnya ketika mula-mula mengambil alih jawatan Perdana Menteri, beliau berjanji akan mengkaji akta ISA secara komprehensif dan jelas sudah, beliau telah menunaikan janji tersebut
Najib juga sebelum ini pernah berkata, bahawa kerajaan tidak boleh lagi mengambil pendekatan ‘tahu segala-galanya’. Justeru, kerajaan memerlukan pandangan rakyat dalam membuat sesuatu keputusan.
Dalam ISA, misalnya kajian terperinci mengenai pemansuhannya telah dilakukan selama dua tahun dengan mengkaji semua aspek, ia bukanlah satu keputusan yang dibuat secara drastik atau tergesa-gesa dan tidak juga tunduk kepada tuntutan pembangkang.
Jadi tidak perlulah pembangkang mendabik dada dengan pemansuhan ini, dengan menyifatkannya sebagai satu kejayaan besar kepada mereka sehingga akhirnya kerajaan Barisan Nasional (BN) terpaksa akur dengan desakan mereka dan mendakwa itulah dia hasil daripada protes di jalanan.
Perlu ditegaskan, kerajaan hanya melakukannya untuk rakyat. Apa yang dirasakan baik dan betul untuk rakyat dan negara, maka perkara baik dan betul itulah yang akan dilaksanakannya.
Maka pemansuhan ISA ini perlu dilihat sebagai kejayaan rakyat keseluruhannya.
Bukan kejayaan pembangkang, yang tetap menganggap apa sahaja yang datang daripada kerajaan itu salah dan tidak betul, walaupun mereka dan keluarganya turut menikmati faedahnya.
Dan kepada rakyat atau mana-mana pihak yang gusar dengan langkah ini, tidak perlu panik dengan pemansuhan ISA dan Akta Buang Negeri ini.
Pemansuhan ini bukan bermakna kerajaan telah meletakkan aspek ketenteraman awam dan keselamatan negara di tahap yang paling rendah.
Ini kerana dua undang-undang baru yang lebih sesuai dan berkesan akan digubal untuk mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah bagi memelihara ketenteraman dan keselamatan awam di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.
Kita belum tahu dan melihat, apa yang terkandung dalam undang-undang baru ini. Jadi tidak perlulah kita membuat spekulasi-spekulasi yang bukan-bukan mengenai kelonggaran kerajaan dalam aspek keselamatan negara ini.
Sudah tentu penambahbaikan akan dibuat supaya undang-undang mengenainya menjadi lebih baik, tegas dan berkesan daripada ISA dan pada masa sama mengambil kira dan memelihara hak asasi manusia.
Dan bagi pihak pembangkang, buatlah apa sahaja pun, semuanya pasti tidak betul. Jadi tidak hairanlah nanti, setelah kedua-dua undang-undang ini digubal, pembangkang akan tetap membuat bising dan tidak mustahil memuja pula ISA yang telah dimansuhkan.
Selain itu, bukti kerajaan tidak berkompromi dalam aspek keselamatan juga jelas dilihat apabila Perdana Menteri mengumumkan kerajaan akan mengkaji semula Seksyen 27 Akta Polis 1967 mengenai kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.
Kebenaran berhimpun akan diberikan selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan tetapi pada masa sama mengambil kira norma-norma antarabangsa.
Kita berharap dalam perkara ini, kerajaan bertindak lebih tegas terhadap penganjur dan peserta demonstrasi jalanan.
Pihak yang mencetuskan kekacauan dan menganggu urusan harian orang ramai ini, harus diberi pengajaran melalui peruntukan undang-undang yang lebih tegas, bukan dilepaskan begitu sahaja.
Kesimpulannya, dalam menyambut Hari Malaysia, kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif awal dalam transformasi politik.
Diharap inisiatif yang berpandangan jauh ini akan memberi manfaat kepada rakyat dalam jangka masa yang lama juga.
No comments:
Post a Comment