Bayar WikiLeaks siar berita fitnahkan PM
Oleh SAIFULIZAM MOHAMADpengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 8 Sept - Seorang bekas rakan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendakwa terdapat pihak tertentu yang membayar laman web WikiLeaks supaya portal itu menyiarkan berita bahawa kes liwat melibatkan Ketua Pembangkang itu merupakan satu konspirasi kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bekas pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ng Lum Yong berkata, beliau mempunyai bukti tentang perkara tersebut dan sedia mendedahkan kepada umum apabila tiba masanya.
Sehubungan itu, beliau meminta rakyat negara ini tidak mudah terpengaruh dengan berita fitnah itu seperti mana yang disiarkan di WikiLeaks.
''Ini merupakan satu berita fitnah yang sengaja direka dan kemudian disiarkan di dalam laman web WikiLeaks dengan tujuan mempengaruhi rakyat. Ia hanya sekadar satu berita fitnah tanpa disertakan dengan bukti kukuh.
''Kesahihan berita ini sememangnya diragui dan harus diragui apatah lagi ada bukti yang menunjukkan terdapat pihak-pihak tertentu membayar laman web ini supaya berita fitnah seperti itu boleh disiarkan,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Sebelum ini, WikiLeaks dalam laman webnya iaitu dengan berdasarkan kabel diplomatik Amerika Syarikat yang berjaya dibocorkan, Anwar tetap akan didapati 'bersalah' kerana meliwat iaitu hukuman kedua dalam tempoh 10 tahun.
Kabel itu melaporkan, Najib dan pemimpin utama UMNO akan melakukan apa sahaja supaya pendakwaan terhadap Anwar 'boleh diterima'.
Selain itu, Lum Yong berkata, kredibiliti laman web itu juga semakin tercalar apabila beberapa berita yang disiarkan didapati tidak benar seperti dakwaan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew yang dikatakan mengecam Islam.
''Kuan Yew dengan keras menafikan berita tersebut.
''Kredibilitinya juga semakin dipersoalkan apabila pengasasnya turut berhadapan dengan kes serangan seksual yang kini masih dalam proses perbicaraan," ujarnya.
Bagaimanapun, beliau berkata, berita-berita seumpama itu sering dipetik oleh portal berita propembangkang untuk tatapan rakyat negara ini kerana mereka sememangnya antikerajaan.
''Oleh itu rakyat harus menimbang secara rasional setiap berita yang disiarkan oleh portal-portal berita propembangkang sama ada ia fitnah atau sebaliknya," katanya lagi.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment