Renungan buat pemimpin UMNO
AZMI YAHYAKuala Lumpur
SEKALI lagi seluruh perhatian diberikan kepada Perhimpunan Agung UMNO yang sedang berlangsung di PWTC. Ini kali ke-61 orang Melayu berhimpun dalam perhimpunan raksasa atas nama politik melalui UMNO sebagai parti keramat orang Melayu. Sekali lagi, pasti ia menjadi medan kepada seluruh pemimpin politik Melayu berbincang dan menggubal resolusi serta gerak kerja untuk masa depan orang Melayu.
Secara tradisinya, Perhimpunan Agung UMNO akan menjadi lambang manifestasi orang Melayu di negara ini. Setiap jiwa perwakilan UMNO yang hadir, pasti membawa bersama seluruh tanggungjawab kepada orang Melayu. Namun begitu, apakah perhimpunan raksasa orang Melayu ini akan dianggap perhimpunan 'rasis' mengikut kaca mata Lim Guan Eng, Lim Kit Siang, Chua Soi Lek, hatta Nik Aziz dan Anwar Ibrahim? Hanya seluruh perwakilan UMNO boleh tentukan.
Apakah sekali lagi perhimpunan ini menjadi medan orang Melayu memohon maaf atas sebab yang kadangkala tidak sepatutnya. Itu juga hanya para perwakilan yang akan menentukan. Saya terpanggil untuk berkongsi pandangan setelah menjadi pemerhati setiap kali Perhimpunan Agung UMNO, bahkan menjadi pemerhati 'landskap' politik UMNO dengan sebahagian pemimpinnya kini bergelar ahli Kabinet atau Menteri yang membawa harapan akar umbi Melayu.
Saya ingin memetik '7 WASIAT RAJA MELAYU' yang telah dijadikan asas pembentukan Perlembagaan Persekutuan yang telah diterima oleh seluruh warga, sejak negara ini merdeka.
"Kami Wasiatkan Kepada Zuriat Keturunan Kami, 7 Perkara Yang Mana Jika Kamu Bersatu Padu, Dan Berpegang Teguh Kepadanya, Selama Itulah Kamu Akan Aman Dan Damai Dan Selamat Sejahtera."
1. Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia)
2. Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.
3. Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kami, serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan Rejimen Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara.
4. Kami kekalkan dan kami jamin kerajaan dan kedaulatan raja-raja Melayu memerintah negara ini.
5. Kami isytiharkan Islam adalah agama Persekutuan
6. Kami tetapkan bahasa kebangsaan adalah Bahasa Melayu
7. Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada raja-raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain (kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak)
Setelah mengambil kira dan menghayati roh wasiat raja-raja Melayu itu, dan pandangan Mufti Negeri Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria yang pernah menyatakan orang Melayu akan hilang kuasa dalam PRU-13 jika tidak bersatu, maka Perhimpunan Agung UMNO pada tahun ini harus benar-benar menjadi medan yang membolehkan orang Melayu berasa selamat di bawah UMNO.
UMNO perlu menyedari bahawa ia adalah parti tunjang kepada Barisan Nasional. UMNO harus mengiktiraf kekuatan diri sendiri kerana UMNO mewakili komposisi terbesar orang Melayu dan bumiputera sebanyak 66.6 peratus penduduk negara. UMNO perlu mengetahui bahawa kawasan Parlimen majoriti Melayu menyaksikan sebanyak 134 kawasan Parlimen daripada jumlah 222 kawasan atau 60.36 peratus adalah kawasan pengundi melebihi 51 peratus Melayu. Inilah kawasan yang menjadi taruhan dalam PRU 13.
Memang menjadi harapan seluruh orang Melayu supaya orang Melayu boleh bersatu tanpa batas politik kepartian, walaupun UMNO pernah berusaha ke arah itu, tetapi realitinya harus diterima kerana sebahagian orang Melayu kini sanggup menjadi alat politik bukan Melayu.
Lantaran itu, untuk menyelamatkan 7 Wasiat Raja-Raja Melayu dan peringatan Mufti Perak, lebih mudah sekiranya orang Melayu dalam UMNO benar-benar bersatu tanpa sebarang syarat dan pertimbangan lain.
Jika orang Melayu dalam UMNO betul-betul bersatu tanpa mengira sentimen kedudukan, ia sudah cukup untuk memberi peringatan kepada orang bukan Melayu, supaya lebih menghormati kaum majoriti dan tidak mempermainkan Melayu dengan begitu mudah sebagaimana yang sedang berlaku.
Sejak PRU-12, sudah terlalu banyak peristiwa berlaku yang amat mencabar orang Melayu, malangnya UMNO mengajar orang Melayu menjadi bangsa yang 'apologatik'. Apakah ini kesan apabila UMNO yang menjadi tunjang kepada BN hilang 2/3 majoriti?
Satu demi satu kes yang dilihat mencabar kedudukan Raja seperti ingin mengheret Sultan Perak ke mahkamah, Namewee melalui video klip 'Negarakuku' dan 'Nah Suck Banana', selain mempertikaikan Perkara 153 dalam Parlimen. Maka berebut-rebutlah pemimpin Melayu dan BN memaafkan atas nama 'perkongsian kuasa'.
Sebaliknya, apabila berlaku kes seperti seorang pengetua di Johor, seorang guru di Kedah dan seorang pegawai Biro Tata Negara (BTN) mengeluarkan kenyataan yang dianggap 'rasis', tanpa menyelidik terlebih dahulu, berebut-rebutlah juga pemimpin Melayu dan BN mendesak supaya hukuman dijatuhkan.
Ketika pemimpin pembangkang bukan Melayu mendesak untuk tunjukkan bahawa mereka adalah wira kaum mereka, pemimpin BN dan UMNO terikut-ikut. Malangnya segelintir pemimpin Melayu sama ada pemimpin politik atau pentadbiran seakan-akan menjadi 'tali barut' untuk menjayakan agenda politik pembangkang bukan Melayu.
Suasana-suasana ini menjadi perhatian orang Melayu dan mereka berfikir "apakah UMNO yang sudah 61 kali mengadakan perhimpunan ini akan terus menjadi parti yang boleh menyelamatkan Wasiat Raja-Raja Melayu?"
Kenapa harus wujud double standard antara kes Namewee dan kes pengetua di Johor, antara kes bakar gereja di Petaling Jaya dan kes menyimbah cat serta botol arak di Negeri Sembilan? Rasanya seluruh orang Melayu dan penjawat awam sedang memerhati keadaan ini.
Kepada pemimpin-pemimpin UMNO yang hari ini menjadi menteri, akar umbi Melayu pasti berfikir "apakah mereka menjadi ahli Kabinet kerana sokongan bukan Melayu sahaja?" Bila dilihat statistik, ahli-ahli Kabinet Melayu itu datangnya dari kawasan majoriti Melayu.
Bahkan ada juga ahli-ahli Kabinet bukan Melayu yang menjadi ahli Kabinet atas 'ihsan' pengundi Melayu. Barangkali, tranformasi budaya dan Model Politik Baru disarankan oleh Presiden agar UMNO menyedari situasi ini. Jika seluruh pimpinan UMNO yang bersidang kali ini tidak boleh bertindak selaku parti tunjang kepada BN dan parti penyelamat orang Melayu, dibimbangi persepsi orang Melayu akan berubah sekali gus memberi kesan kepada tahap sokongan serta kepercayaan kepada UMNO.
Kita tidak hairan, apabila Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Karpal Singh termasuklah Nik Aziz dan Anwar Ibrahim sering membina persepsi yang buruk terhadap UMNO kepada orang Melayu. Ini kerana sememangnya itulah niat mereka. Mereka tahu, untuk merampas Putrajaya, mereka perlu 'membunuh UMNO'.
Sebab itulah psywar mereka kini ialah A.B.U. (Asal Bukan UMNO, 'Anything But UMNO'). Namun orang Melayu akan sedih apabila ahli Kabinet Melayu sendiri, pemimpin kerajaan termasuklah pemimpin parti komponen terperangkap dan sudah dilihat oleh orang Melayu sebagai dalang yang tidak boleh dipercayai.
Mujurlah ada waktunya, muncul Raja Muda Perak, Sultan Selangor dan Sultan Johor yang mengeluarkan kenyataan tegas memberi amaran kepada segelintir mereka yang melampau, menyebabkan orang Melayu secara keseluruhannya merasakan masih lagi selamat. Ketika itu, di manakah pemimpin UMNO yang sepatutnya menjadi wira orang Melayu.
No comments:
Post a Comment