Thursday, October 14, 2010

Kita Fikirkan


PATI ugut anggota JPNS dengan parang


Mohd. Norizan Manan memeriksa kayu bakau yang disita selepas cubaan mencurinya oleh pendatang asing tanpa izin berjaya digagalkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor di Pulau Ketam, Pelabuhan Klang, baru-baru ini.

SHAH ALAM 13 Okt. - Seorang kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) hanya mampu berserah kepada Allah tatkala diacu dengan parang di lehernya oleh dua pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dipercayai penyeludup kayu bakau di Pulau Ketam.

Perbuatan itu dilakukan dipercayai kerana marah dengan tindakan jabatan tersebut membongkar kegiatan haram mereka selain membakar rumah-rumah kongsi haram di pulau berkenaan.

"Hanya Allah yang tahu perasaan saya ketika itu. Saya hanya mampu mendiamkan diri dan ikut arahan mereka," kata mangsa, Mohd. Norizan Manan, 28.

Dia menceritakan detik-detik cemas ditahan dua lelaki dipercayai PATI di Hutan Simpan Pulau Tengah, Pulau Ketam, Pelabuhan Klang dekat sini, 7 Oktober lalu.

Mohd. Norizan kemudian dibawa berlegar-legar di laut dengan bot pada pukul 3 petang.

Katanya, sebelum kejadian, dia sedang menjalankan 'Ops Jejak Bakau' dan menunggu rakan-rakan setugasnya untuk membawa keluar kayu bakau yang sudah disita dari salah sebuah anak sungai di Pulau Ketam.

Turut bersamanya ketika itu ialah seorang pemandu bot swasta yang disewa khas untuk operasi tersebut.

"Ketika itu saya menunggu di dalam sebuah tongkang sementara pemandu bot pula berada di dalam botnya.

"Tiba-tiba datang dua lelaki yang menaiki bot kecil ke arah kami dan dalam sekelip mata, salah seorang daripada mereka terus melompat ke dalam tongkang dan mengacukan parang ke leher saya.

"Mungkin kerana takut, pemandu bot yang bersama-sama saya tadi terus melepaskan tali dan memecut botnya, meninggalkan saya seorang diri," katanya ketika dihubungi di sini.

Tambah Mohd. Norizan, tanpa mengalihkan parang dari lehernya, kedua-dua lelaki tersebut kemudian membawanya berlegar-legar selama kira-kira 30 minit di laut.

"Sambil itu, kedua-dua mereka yang berusia lingkungan 40-an mengugut dan memarahi saya berikutan operasi dijalankan oleh JPNS sejak dua bulan lalu.

"Saya tanya apa yang mereka hendak lakukan pada saya dan mereka kata ini hanya amaran sahaja.

"Jika operasi dilakukan lagi, mereka akan bertindak lebih daripada itu," ujarnya yang bersyukur kerana dibebaskan dan ditinggalkan di kawasan darat berhampiran Pelabuhan Klang.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi dan Penguatkuasaan JPNS, Mohd. Yussainy Md. Yusop yang dihubungi berkata, operasi tersebut dilakukan bagi membanteras kegiatan menyeludup keluar kayu bakau di kawasan berkenaan.

"Kita dapati lebih 20,000 batang pokok bakau diseludup keluar setiap bulan di kawasan itu," katanya.

Difahamkan, setiap batang kayu bakau itu dijual pada harga antara RM7 dan RM8 dan biasanya digunakan dalam sektor pembinaan.

Menurutnya, semasa operasi, pihaknya turut membakar rumah-rumah kongsi yang dibina secara haram oleh PATI di kawasan itu bagi mengusir mereka yang dipercayai turut menceroboh serta mencuri bakau.

"Saya percaya mereka marah kerana operasi itu. Namun ia tidak akan mematahkan usaha kami untuk membanteras kecurian kayu balak di kawasan itu," ujarnya lagi.

Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusof berkata, pihaknya telah menerima laporan kejadian pada 7 Oktober lalu dan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

"Kita telah mengambil kenyataan Mohd. Norizan dan Mohd. Yussainy bagi membantu siasatan. Bagaimanapun kita serahkan kes itu kepada Pasukan Gerakan Marin (PGM) untuk tindakan dan siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini.

No comments:

Post a Comment