Ke mana selepas ini?
Oleh Dr. Puad Zarkashi
Para perwakilan mengangkat tangan menyokong usul ucapan Presiden semasa Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 di Dewan Merdeka PWTC, semalam.
APAKAH Perhimpunan Agung UMNO ke-61 ini dapat meningkatkan momentum UMNO untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13)?
Lebih penting, apakah perhimpunan ini dapat memberi gambaran jelas bahawa UMNO sedang berubah atau sekurang-kurangnya perwakilan sudah cukup faham betapa pentingnya usaha ‘bina upaya’, bukannya retorik tentang jasa UMNO sebagai umpan mendapat sokongan dan undi.
Oleh itu, wujud kebimbangan ketidakupayaan ahli UMNO mengikut Presiden parti untuk melakukan transformasi dan perubahan melalui pertarungan minda dan kemahiran. Masih ada suara-suara dalam perbahasan yang melihat UMNO sebagai privilege, bukannya amanah. Sebab itu, soal projek dan kontrak terus dibangkitkan.
Inilah yang mencacatkan Perhimpunan Agung UMNO termasuk menenggelamkan hujah beberapa pembahas yang masih ada isi tetapi kerana cara penyampaian tidak menarik, maka mesej penting mereka tidak dipedulikan. Dalam kecacatan itu, keupayaan pembahas dari Pergerakan Pemuda UMNO Bukit Gantang sepatutnya diberikan perhatian. Ucapan beliau mengandungi kritikan, muhasabah, cadangan, falsafah, sindiran dan gurauan. Tetapi semuanya menjadi kerana cara perbahasan yang articulate.
Analogi beliau, UMNO umpama rumah lama yang sudah berumur 64 tahun amat menarik sekali. Dalam umur tersebut, mungkin rumah berkenaan telah mengalami banyak kerosakan seperti kebocoran, kerosakan, dimakan anai-anai dan cat yang pudar. Oleh itu, UMNO perlu dibaik pulih, dinaik taraf atau dibina semula.
Untuk dibaik pulih, beliau mencadangkan supaya seluruh anggota bekerjasama. Majlis Tertinggi UMNO menjadi konsultan, Pemuda UMNO sebagai kontraktor dan Puteri UMNO membuat hiasan dalamannya. Justeru, rumah itu akan menjadi baru, berseri-seri, lebih kukuh, lebih selesa dan selamat.
Mesej analogi itu ialah semuanya perlu bekerja, bekerjasama, sama-sama berperanan menyumbang idea dan mendengar pandangan serta nasihat. Ini akan menjadikan UMNO berwajah baru dan kukuh.
Walaupun marah kerana dikritik keras oleh Setiausaha Agung UMNO, wakil Pemuda UMNO Perak itu mahu Pemuda UMNO mengelakkan ‘sindrom penafian’. Justeru, katanya pergerakan itu jangan menafikan tuduhan bahawa Pemuda UMNO turut menyumbang kepada persepsi negatif terhadap parti UMNO.
Pemuda UMNO dianggap sebagai liabiliti kerana imej ego dan elitisnya. Sama ada benar atau tidak, daripada 10 perkara biasanya tiga sahaja yang elok tetapi selebihnya tidak elok. Oleh itu, Pemuda UMNO harus mempunyai iltizam untuk membaikinya. Beliau menyarankan supaya Pemuda UMNO mesti gigih menyelami sanubari rakyat dan wujud sebagai gerakan massa.
Dalam konteks ini, makmal Pemuda BN mesti terus berfungsi, konsisten dan terbuka. Ia mesti menyediakan ruang suara hati nurani generasi muda dan bersifat outreach supaya pandangan hati nurani golongan muda dapat direalisasikan.
Sebab itu, cadangan Pemuda Bukit Gantang supaya insentif rumah pertama perlu diperluaskan kepada golongan muda di luar bandar yang tidak berpendapatan tetap harus dipertimbangkan. Mereka ini juga perlu memiliki rumah. Majoriti golongan muda tidak ada rumah sendiri, menumpang di rumah keluarga atau menunggu masa mewarisi rumah pusaka, itupun kalau ada.
Itulah cadangan touch point yang jarang didengar atau dilontarkan oleh perwakilan sepanjang perbahasan kecuali suara-suara sumbang yang masih lagi terikat dengan tradisi lama seperti sukar dapat projek walaupun sudah lama berbakti pada parti. Suara seperti inilah yang menyebabkan UMNO kadang-kadang dilihat sebagai arrogant.
Amat tepat sekali apabila Khairy Jamaluddin, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dalam ucapan penggulungannya menegaskan Pemuda UMNO mesti menolak 10 perkara termasuk budaya politik ‘sate’ iaitu cucuk, bakar dan kipas. Ini semua merosakkan imej pergerakan itu dan inilah persepsi rakyat.
Tetapi Khairy jangan lupa teguran Pemuda Bukit Gantang itu apabila mengatakan jawatan Ketua Pemuda UMNO adalah institusi. Maka tanggungjawab Khairy untuk memastikan institusi itu terpelihara dan bermaruah.
Kalau imej Ketua Pemuda UMNO terjejas maka rosaklah imej institusi itu. Padahnya Pergerakan Pemuda UMNO akan menjadi liabiliti kepada parti dan inilah cabaran besar Khairy.
Khairy perlu melaksanakan semangat kepimpinan melalui teladan. Dia mesti memulakan pada dirinya terlebih dahulu iaitu menjauhi 10 perkara negatif yang dia sendiri gariskan. Termasuk di dalamnya budaya ‘masuk frame’ dan budaya ‘punch card’ di mana pastikan pemimpin nampak kehadirannya tetapi balik lebih awal sebelum pemimpin beredar dari majlis (check in dan check out).
Kalau ini berjaya dilakukan oleh Khairy, beliau bukan sahaja semakin matang tetapi usahanya mengubah imej Pemuda UMNO akan menjadikan beliau berjasa besar kerana menarik kembali sokongan golongan muda kepada UMNO.
Ingatan Pemuda UMNO Bukit Gantang itu amat penting. Jangan hangat-hangat tahi ayam. Panas di Perhimpunan Agung UMNO tetapi kembali sejuk apabila balik ke medan perjuangan. Sebab itu soalan beliau: “Di mana Pemuda, apabila raja-raja dihina” perlu diambil perhatian.
DR. MOHD PUAD ZARKASHI
Ahli Majlis Tertinggi UMNO
No comments:
Post a Comment