Friday, August 27, 2010

Satukan Melayu

MELALUI tulisan ini, saya ingin memohon jasa baik dan tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom agar melakukan sesuatu untuk menyatupadukan perpecahan yang kian meruncing di kalangan umat Islam di negara kita.

Berikut ialah cadangan tersebut.

Memastikan peranan para mufti dan ulama digerakkan secara aktif dalam isu perpaduan ini. Apa yang dikesalkan ialah hanya seorang dua mufti yang bersuara dan bertindak untuk menyelamatkan musibah atau maksiat perpecahan yang berlaku kepada umat Islam di negara kita.

Saya mempersoalkan peranan mufti lain dan tokoh pendidikan mahupun ulama yang seharusnya boleh bersatu dahulu sebelum menyeru orang lain bersatu. Kebanyakan mereka masih pasif dan tidak kelihatan bersungguh-sungguh dalam isu ini.

Mengerakkan kenyataan dan komen majlis fatwa dengan lebih tegas dan berani tanpa dipengaruhi mana-mana unsur politik atau takut menyatakan pandangan.

Katakan benar sekalipun pahit kerana kenyataan atau fatwa yang dikeluarkan akan menutup mulut ahli politik yang kadangkala bercakap atas nafsu amarah dan kepentingan politik sempit mereka.

Menyediakan teks khas khutbah Jumaat di setiap masjid seluruh negara dengan doa khusus yang memohon agar umat Islam bersatu hati dan jiwa dalam mempertahankan kuasa politik bagi menjamin syiar agama terus dipertahankan.

Doa ini harus dibaca sebagai mengukuhkan lagi kasih sayang yang semakin terhakis di kalangan umat Islam di negara kita khususnya antara parti politik yang berbeza.

Menyediakan doa agar umat Islam ditunjukkan kebenaran akan kepimpinan 'yang betul' atau 'yang salah' semoga Allah SWT memakbulkan doa kita untuk melihat dari 'mata hati' kita akan sikap sebenar pemimpin yang akan memandu kita ke jalan kebenaran atau 'menyingkirkan' pemimpin yang akan membawa negara ke lembah kehancuran.

Mendidik jemaah di masjid atau mendidik para imam yang 'gagal' merapatkan saf dalam solat.

Pandangan saya mengatakan bahawa antara punca perpaduan ini semakin luntur apabila kasih sayang sudah tidak diterapkan melalui saf dalam solat. Imam yang bertugas gagal memastikan saf yang benar-benar rapat kerana kesannya amat besar dalam mengukuhkan kasih sayang serta sentuhan hati sesama Islam.

Malah kajian mendapati jika bersentuhan bahu akan berlaku banyak kesan positif tetapi malangnya jemaah kita semakin suka bersolat dalam keadaan lapang tanpa bersentuhan bahu.

Ini amat berbeza apabila kita bersolat di Masjid Nabawi atau di Masjidil Haram. Keasyikan dan rasa insaf amat dirasai walaupun kita bersolat dalam keadaan yang cukup sempit. Sayangnya di masjid negara kita keadaan sebaliknya apabila setiap jemaah cuba menjauhkan diri dari jemaah yang lain.

Maka dalam keadaan ini para imam harus ditarbiah untuk memastikan setiap makmum 'merapatkan saf' sebelum sesuatu solat dimulakan.

Menjelang musim haji akan datang, satu teks doa khas patut dibekalkan kepada jemaah haji agar mereka mengambil kesempatan untuk mendoakan kesejahteraan negara kita yang kini berada di ambang politik yang cukup menakutkan.

Semoga doa yang dibaca oleh jemaah semasa di tanah suci ini akan diterima oleh Allah SWT untuk kesejahteraan agama Islam, kemakmuran dan keselamatan negara pada masa akang datang dengan diberikan kita pemimpin yang benar, jujur dan ikhlas dalam mentadbir negara.

Semoga pandangan ini dapat dilaksanakan oleh pihak berkuasa agama di negara kita demi memelihara perpaduan sesama Islam dan menjaga kesucian agama kita.

CR. LUKMAN MOIDIN

Kaunselor Berdaftar, Kedah Darulaman

No comments:

Post a Comment