Sunday, August 29, 2010

1Malaysia VS Malaysaian Malaysaian (DAP)

Perbezaan 1Malaysia, Malaysian Malaysia


2010/08/29

Gagasan diperkenal Najib dokong ideologi menyeluruh imbangi perpaduan rakyat pelbagai kaum

KONSEP ‘Malaysian Malaysia’ adalah agenda politik yang diperjuangkan parti pembangkang DAP. Ia pada mulanya adalah rancangan untuk menentang dasar etnik pada Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan oleh People’s Action Party (PAP), sebuah parti politik Singapura yang dipimpin Lee Kuan Yew.

Konsep ini bukan saja tidak mendapat tempat di hati rakyat Malaysia yang berbilang kaum, malah didapati amat subversif sehingga boleh memecahbelahkan rakyat. Konsep inilah yang membawa kepada penyingkiran Singapura daripada Persekutuan Malaysia pada 1965.

Konsep ‘Malaysian Malaysia’ adalah perjuangan DAP terhadap apa yang didakwanya sebagai pencerobohan hak kaum bukan Melayu oleh kaum Melayu. Ia dipersepsikan wujud dalam bentuk tindakan afirmatif yang mendiskriminasi kaum bukan Melayu.

Persepsi ini bukan saja tidak betul, malah pencabulan terhadap persetujuan etnik yang dicapai kaum Melayu, Cina dan India dalam pakatan kemerdekaan.

Pakatan kemerdekaan ini kemudian menjadi salah satu lunas penting dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia adalah tolak ansur antara isu kerakyatan dalam kalangan bukan Melayu dengan apa yang kemudian dikenali sebagai Ketuanan Melayu.

Ketuanan Melayu – walaupun istilah yang kurang disenangi sesetengah pihak – sebetulnya adalah legitimasi watan mengenai bahasa, kedudukan, lambang kuasa serta agama penghuni asal negara ini. Secara fitrahnya ia dilindungi di mana-mana negara, apatah lagi yang majmuk seperti Malaysia.
Pakatan kemerdekaan juga dikenali sebagai kontrak sosial. Walaupun berjaya dicapai akhirnya, ia sebenarnya menerusi banyak proses rumit yang kadangkalanya memperlihat ketegangan ketika rundingan.

Ia perlu terus diterima pakai pada masa kini, walaupun dianggap sudah lapuk oleh sesetengah pihak. Ini antaranya adalah kerana ia bukan saja tolak ansur etnik yang adil, malah sesuai untuk sebuah negara majmuk seperti Malaysia.

Walaupun dengan simbol Melayu seperti bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa Bumiputera sebagai penghuni asal, lambang kuasa Melayu dalam bentuk pemerintahan beraja dan Islam selaku agama Persekutuan, kepentingan asas kelompok lain tidak sekali-kali terjejas.

Malah ia, sama ada dalam bentuk kelayakan ekonomi mahupun kebebasan budaya, dilindungi dengan cukup sasa dalam Perlembagaan Persekutuan.

Legitimasi watan ini – yang seolah-olah mengenakan kedominanan Melayu – sebenarnya terus membenarkan, misalnya bahasa ibunda kelompok lain dikembangkan. Ini termaktub pada Artikel 152. Dengan ini, pendidikan vernakular Cina misalnya, bukan saja berkembang dengan pesat di negara ini, malah menjadi sistem paling lengkap di Asia Tenggara.

Walaupun Islam menentukan kelakuan moral nasional, bukan saja kebebasan beragama diperuntukkan pada Artikel 3, keunggulan Islam tidak sekali-kali diguna untuk menjadikan agama lain tidak penting di Malaysia.

Konsep ‘Malaysian Malaysia’ menganggap legitimasi watan pada Artikel 153 sebagai diskriminasi etnik dan menggunakan Artikel 8 untuk menganjurkan keadilan dalam kalangan semua warga Malaysia.

Ini dilakukan untuk memperoleh kesamarataan bagi semua kaum tanpa mengambil kira sejarah tanah air, khususnya sejarah sosial dan budaya orang Melayu.

Oleh itu, ia amat bertentangan dengan gagasan 1Malaysia, selain langsung tidak mengendahkan semangat muhibah serta tolak ansur yang penuh dengan semangat setia kawan pada kontrak sosial 1957.

Gagasan 1Malaysia pula ingin mengimbangi Artikel 153 dengan Artikel 8 dengan tidak sekali-kali membelakangkan kontrak sosial yang dipersetujui bersama itu. Ini antaranya akan dicapai melalui prinsip keadilan sosial antara kedudukan istimewa orang Melayu dengan kepentingan asas kaum lain.

Ini akan dilakukan berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Inilah perbezaan besar antara 1Malaysia dengan ‘Malaysian Malaysia’ yang ingin menghapuskan Artikel 153 dan hanya menggunakan Artikel 8 sebagai dasar etnik di negara ini.

Dengan kata lain, konsep ‘Malaysian Malaysia’ mengambil pendekatan sosialis tanpa mengambil kira sentimen semua pihak, khususnya kelompok dominan di negara ini. Gagasan 1Malaysia pula menggunakan pendekatan demokratik dengan berpandukan persetujuan yang dicapai bersama pada 1957.

Selain itu, restu dan kemuliaan hati semua pihak, sama ada majoriti mahupun minoriti ikut diperoleh dari semasa ke semasa.

Dengan pendekatan demokratik ini, satu lagi kontrak sosial dicapai pada 1971, iaitu Dasar Ekonomi Baru (DEB). Tindakan afirmatif ini dan juga yang sebelumnya sebetulnya tidak boleh dipersoal, apatah lagi dipertikai.

Ia sudah dipersetujui bersama dan dirancangkan untuk membawa kesejahteraan kepada negara. Biarpun demikian, ia boleh dibincangkan dari semasa ke semasa secara berhemah untuk memastikan tidak berlaku penyelewengan dan hal yang seumpamanya.

Untuk Malaysia bergerak ke hadapan, khususnya mencapai status negara maju seperti dihasratkan dalam Wawasan 2020, gagasan 1Malaysia adalah satu-satunya alat yang mampu membawa perubahan ke arah itu.

1Malaysia sebagai konsepsi perpaduan dan kemajuan negara, wujud dalam bentuk pelan tindakan mempunyai hala tuju yang jelas. Ini satu lagi perbezaan besar antara gagasan ini dengan ‘Malaysian Malaysia’ yang sehingga kini hanya idea yang bukan saja tidak mempunyai perincian, malah lebih kepada hujah bercakap ketika berucap saja.

Kaedah kesamarataan yang dianjurkan dalam konsep ‘Malaysian Malaysia’, selain tidak jelas kerana tidak mampu dikupas dengan baik akibat tiadanya natijah yang baik, menolak hakikat kewujudan lebih awal kaum Bumiputera, khususnya orang Melayu di bumi yang namanya Tanah Melayu.

Ini dilakukan antaranya dengan memanggil sesetengah orang Melayu sebagai pendatang kerana berhijrah ke Tanah Melayu dari pelbagai tempat di Nusantara, iaitu Kepulauan Melayu yang luas itu.

Dengan ini, konsep ‘Malaysian Malaysia’ menganjur identiti nasional yang terdiri daripada semua nasionalisme etnik yang ada di Malaysia tanpa bersandar pada sebarang teras. Ia langsung tidak mengambil kira orang Melayu sudah bermastautin di sini lama sebelum kemasukan kaum lain pada abad ke-19 dan ke-20.

Sehubungan ini, gagasan 1Malaysia dalam menganjurkan keadilan untuk semua, memastikan ia dilakukan dari sudut sosiologi Malaysia yang berbilang kaum. Ia sentiasa mengambil kira kaum asal dan tidak sekali-kali meminggirkan kaum bukan asal dalam agenda pembangunan negara.

Ia tetap mengiktiraf, malah menggalakkan nasionalisme etnik terus wujud dalam bentuk utuh, seperti yang dipersetujui bersama dan disenangi semua kaum.

Pada masa sama, gagasan 1Malaysia mengikat semua kaum melalui satu identiti nasional dalam bentuk ‘kesatuan dalam kepelbagaian’. Dalam hal ini, ia tidak sekali-kali membelakangkan kaum asal dan tidak akan pula cuba mengasimilasikan kaum bukan asal.

Inilah kemuliaan yang ada pada gagasan 1Malaysia. Ia adalah ideologi yang menyeluruh kerana meliputi kedua-dua rancangan perpaduan dan kemajuan serta penuh pula dengan pelbagai perincian. Tambahan lagi, ia amat realistik dan praktikal sekali.

Penulis ialah Felo Penyelidik Utama dan Profesor Sosiolinguistik Bahasa Melayu di Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM.

No comments:

Post a Comment